Oleh pada 12 May 2017 kategori

Bayangkan anda atau anak anda merupakan seorang pelajar pintar yang sedang belajar di kolej atau universiti terbaik di dunia. Kemudian anda ditawarkan wang tunai USD100,000 (RM435,000) untuk berhenti belajar serta-merta bagi memulakan perniagaan dalam bidang pilihan hati selama dua tahun. 

Bunyi macam skrip program realiti. Tapi memang itulah yang dilakukan oleh lelaki bernama Peter Thiel sejak beberapa tahun lalu. Menurut Peter, kolej dan universiti hanya membazirkan wang dan idea bernas anak-anak muda ini tidak boleh ditangguh sehingga habis pengajian.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Siapa Peter Thiel?

Peter Andreas Thiel yang berasal dari Jerman merupakan salah seorang pengasas PayPal pada tahun 1999. Beliau juga dikenali sebagai pelabur profesional pertama yang menyediakan dana untuk mengembangkan Facebook dengan pembelian saham sebanyak 10.2% bernilai USD500,000 pada tahun 2004.

Pada November 2016, Peter telah dinamakan sebagai salah seorang jawatankuasa eksekutif semasa kempen pilihanraya Donald Trump dan telah menjadi penasihat bagi Presiden Amerika Syarikat itu.

Peter juga terkenal sebagai seorang aktivis dan dermawan yang banyak menyumbang untuk masyarakat. Sebelum ini Peter dengan sukarela telah membantu Hulk Hogan untuk menyaman sebuah syarikat media gergasi di Amerika kerana menyebarkan berita palsu berkenaan bekas ahli gusti terkenal tersebut sehingga berjaya menerima pampasan sebanyak USD31 juta.

fellowship thiel

Thiel Fellowship

Peter menubuhkan Thiel Fellowship pada tahun 2010 di mana beliau menyediakan dana melalui Thiel Foundation untuk membayar anak-anak muda di bawah 20 tahun supaya berhenti belajar untuk memulakan perniagaan.

Anak-anak muda ini kemudian akan dibimbing secara hands on dan dipantau secara rapi oleh pakar dan usahawan berpengalaman luas daripada bidang perniagaan masing-masing. Penyelidikan, kajian dan selok-belok perniagaan semuanya disampaikan. Setiap langkah dan keputusan yang diambil akan diberikan panduan dan tunjuk ajar.

Walaupun ia merupakan suatu strategi perniagaan yang berkesan dengan adanya bimbingan mentor, namun mereka tidak dijanjikan dengan jaminan kejayaan.

Fellowship ini berlangsung selama dua tahun (maksimum) dari tarikh pemilihan peserta. Selepas tempoh ini, usahawan muda akan dibiarkan mengemudi sendiri perniagaan masing-masing.

laura deming thiel fellowship

Macam mana nak jadi anak didik Peter Thiel?

Calon-calon yang terpilih bukanlah calang-calang remaja. Salah seorang anak muda yang terpilih telah memulakan pengajian kolej semasa berusia 9 tahun. Ada seorang lagi yang memiliki keputusan ujian SAT sebanyak lebih dari 5,500 markah. Pendek kata, insan-insan terpilih ini majoritinya luar biasa.

Peter Thiel memastikan kesemua calon terpilih benar-benar pintar dan matang menjangkau usia. Jadi, kalau anda dapat SPM 25A sekalipun, belum tentu anda boleh terpilih kalau masih berperangai dak dak wicet.

Isu Hutang Pendidikan

Apa yang paling menarik tentang Thiel Fellowship ialah ia menyediakan geran 'percuma' sebanyak USD100,000 bagi usahawan muda terpilih. Sekiranya perniagaan mereka gagal dalam jangka masa panjang, mereka tidak perlu membayar semula geran itu kepada yayasan.

Keadaan ini berbeza dengan membuat pinjaman bagi membayar yuran kolej. Sekiranya pelajar-pelajar pintar ini meneruskan pengajian dengan membuat pinjaman, mereka mungkin akan dibebani hutang seumur hidup walaupun mereka hanya dapat bekerja sebagai juruwang di kedai runcit selepas tamat pengajian.

isu bebanan hutang pelajar

Ibarat PitiPitiEn di sinilah. Kerja gaji besar atau tidak, yang penting hutang puluhan ribu masih perlu dibayar.

Walaupun nampak macam tak patut betul kempen Peter Thiel yang menggalakkan anak muda berhenti belajar, namun jumlah hutang yang menghantui pelajar di Amerika Syarikat sebanyak USD1.2 trilion amat membimbangkan. Fellowship ini membuka peluang bagi anak muda untuk hidup bebas daripada dibelenggu hutang pendidikan.

Lagipun, menurut Peter, sekiranya anak-anak muda ini menceburkan diri dalam perniagaan lebih awal, ia adalah jauh lebih baik daripada pemegang ijazah yang menganggur akibat kesukaran mendapat kerja.

steve jobs juga berhenti belajar untuk meneruskan cita cita

Kalau anda berpeluang menyertai fellowship ini, adakah anda akan pilih untuk sambung belajar di University of Harvard atau terus berniaga?

Rujukan:

1. Newsweek

2. Wikipedia : Thiel Fellowship

3. Business Insider




Hakcipta iluminasi.com (2017)