Kredit foto: Instagram Zamani

Vokalis kumpulan Slam, Zamani, menegaskan dia masih memenuhi undangan nyanyian biarpun sedang berhadapan masalah kesihatan.

Pemilik nama lengkap, Zamani Ibrahim, 47, itu bagaimanapun mengakui sudah sekian lama tidak tampil dalam program televisyen.

"Saya masih menerima undangan nyanyian seperti biasa tetapi untuk acara di luar dan korporat.

"Cuma saya akui saya sudah lama tidak menyanyi dan keluar dalam mana-mana program TV.

"Lagi pun saya ada masalah kesihatan," katanya kepada Astro Gempak.

Dikenali menerusi lagu-lagu fenomena, antaranya Gerimis Mengundang dan Jika Kau Rasa Getarnya, Zamani ketika diminta mengulas tentang status kesihatannya, bagaimanapun berkata, dia sedang menghidapi masalah tulang belakang.

kurus melidi dan membongkok akhirnya zamani dedah penyakit sebenar 2

Kredit foto: Instagram Zamani

"Fizikal saya yang semakin kurus dan membongkok ini kerana saya menghidap masalah tulang belakang.

"Saya akui kesan salah guna dadah suatu ketika dulu menyebabkan tulang saya membengkok.

"Saya masih menerima rawatan susulan, cuma saya sudah tidak mengikuti rawatan fisioterapi seperti sebelum ini," luahnya.

Katanya, tubuhnya yang kurus melidi itu adakalanya disalahtafsir kononnya masih terlibat dengan gejala dadah.

Positif menghadapi persepsi masyarakat, Zamani akur tidak mempunyai kuasa untuk menghalang tohmahan mereka.

"Saya harap tiada pandangan negatif bila orang tengok keadaan saya begini.

"Ini kerana bila orang lihat saya begini, mereka tanya adakah saya masih mengambil benda (dadah) yang tidak elok itu.

"Tapi, apa-apa pun saya tidak boleh hendak menghalang apa jua yang mereka katakan," katanya. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)