Oleh pada 26 Jan 2018 kategori

Sumber foto: Reuters & Fox News

Seorang kru syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd (AirAsia) meninggal dunia sewaktu berkhidmat dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bandung, Indonesia kelmarin.

Justeru itu, penerbangan AK416 berkenaan dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor.

Menerusi satu kenyataan oleh AirAsia, pihak mereka mengakui pesawat AK416 dari Kuala Lumpur ke Bandung itu dilencongkan ke Senai akibat hal kecemasan bagi tujuan perubatan.

Terangnya, kru penerbangan rakyat Indonesia tersebut menerima rawatan kecemasan sebaik pesawat mendarat. Tetapi, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lapangan terbang tersebut.

"AirAsia bersedih dengan kehilangan itu dan menyampaikan rasa simpati kepada keluarga mangsa.

"Kami akan memberikan segala bantuan yang diperlukan keluarga mangsa dalam menghadapi dugaan ini," ujarnya.

Pesawat AK416 itu kemudiannya berlepas dari Senai pada pukul 9 pagi dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Husein Sastranegara , Indonesia pada pukul 10.11 pagi.

Pihak AirAsia memberitahu, keselamatan penumpang tidak pernah dikompromi dan segala pertolongan disediakan demi memastikan kesenangan mereka.

Dalam pada itu, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar selaku Ketua Polis Daerah Kulai, semasa dihubungi mengakui AirAsia sudah membuat laporan tentang insiden berkenaan.

Jelasnya, mangsa merupakan lelaki warganegara Indonesia dan berumur 46 tahun. Tetapi, maklumat terperinci tentang mangsa tidak diberitahu.

Kes berkenaan disifatkan sebagai kematian mengejut.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)