Oleh pada 11 Nov 2017 kategori

Kredit foto: blogmazeer.com

Aktres Anzalna Nasir enggan lagi berbicara tentang isu yang membabitkan adiknya, Afifah Nasir bersama pasangan Aliff Aziz dan Bella Astillah.

Menurut aktres berusia 29 tahun ini, fokusnya tertumpu kepada kerjaya dan tidak mahu lagi mencampuri hal yang tidak berkaitan.

"Apa yang saya belajar tentang perkara yang telah berlaku sebelum ini adalah saya perlu sentiasa berjaga-jaga supaya tidak terkait dengan kontroversi.

"Saya rasa setiap hari adalah hari baru untuk kami lalui dan hal yang telah terjadi saya tidak perlu ulas lagi. Full stop!

"Kami sekeluarga ingin mencari kegembiraan dan perkara yang boleh membuatkan kami berjaya dalam kehidupan," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.

Malah pelakon drama Dendam Aurora ini juga tidak mahu berkongsi pendekatan yang telah diambil keluarganya selepas dihimpit kontroversi berkenaan.

"Tentang apa pendekatan yang keluarga saya lakukan susulan kontroversi yang telah terjadi tidak perlu saya hebahkan kepada orang ramai," tegasnya.

Anzalna mengulas konflik hubungan antara Afifah dan pasangan selebriti Aliff dan Bella yang berlaku sejak hujung Julai lalu.

Kemelut mereka bertiga dilihat seperti tidak bernoktah kerana seringkali melancarkan perang dingin di laman sosial.

Mengenai perkembangan terbaru, Anzalna baru sahaja muncul dengan produk semburan anti jerawat, Bye-Bye Zits hasil kerjasama dengan produser Global Station Sdn. Bhd, Alia dan Adila Ramly.

Produk penjagaan kulit ini dijual dengan harga RM69.90 dan boleh dibeli menerusi Empire Medispa serta stokis seluruh negara.

Sumber berita: Astro Gempak 




Hakcipta iluminasi.com (2017)