Richard James Verone merupakan seorang lelaki biasa yang berumur 59 tahun pada tahun 2011.
Selepas kehilangan pekerjaannya sebagai seorang penghantar minuman Coca-Cola yang menjadi sumber pendapatannya selama 17 tahun, kehidupan Richard berubah.
Dia cuba menampung kehidupan dengan bekerja sebagai seorang pemandu trak serta pekerja di kedai serbaneka, namun tahap kesihatannya yang semakin merudum membuatkan dia sukar mendapatkan pekerjaan tetap.
BESARKAN TEKS A- A+
Richard meneruskan hidup menggunakan wang simpanan yang semakin berkurang sementara makan minumnya pula datang daripada bantuan setem makanan kelolaan kerajaan Amerika Syarikat.
Di belakang tabir, sudah hampir 3 tahun Richard hidup menanggung seksa kesakitan bengkak tulang belakang. Kakinya sakit membuatkan dia tempang apabila berjalan.
Tidak pernah dia cuba mendapatkan rawatan, ekoran ketiadaan insurans perubatan dan kemampuan kewangan.
Sehinggalah pada satu hari wujud benjolan bengkak pada dadanya, memaksa Richard mengambil tindakan mendapatkan rawatan. Sakit pada dadanya jauh lebih kuat berbanding kesakitan yang sedang dialami, memerlukan Richard memikirkan apa langkah yang boleh diambil.
Akhirnya dia memilih satu jalan yang dapat membantu dia mendapatkan rawatan; melakukan jenayah.
Merancang 'jenayah terancang'
Beberapa hari sebelum melaksanakan rancangannya, Richard membayar sewa rumah terakhir beliau dan mendermakan semua perabotnya dan berpindah ke sebuah hotel bajet.
Pada 9 Jun 2011, Richard menghantar sepucuk surat kepada sebuah akhbar tempatan bernama Gaston Gazette, menjelaskan tindakan yang akan cuba dia lakukan pada hari tersebut.
Selesai urusan pos, Richard menahan sebuah teksi dan bergerak ke sebuah bank berdekatan.
Sampai di bank pada jam 1 tengahari, Richard mendekati salah satu kaunter yang diurus oleh seorang wanita lalu menyerahkan sehelai kertas yang tertulis "ini adalah satu rompakan, tolong berikan saya 1 dollar."
Selepas dihulurkan $1, Richard menjelaskan kepada pegawai wanita itu yang dia akan duduk di sofa dengan tenang, menunggu ketibaan pihak polis.
Pegawai bank yang menerima mesej tersebut melakukan panggilan kepada pasukan keselamatan dalam keadaan cemas, sambil melihat Richard beredar tenang duduk di atas sofa. Punyalah cemas wanita itu selepas insiden itu selesai dan Richard 'berjaya' ditangkap, wanita itu terpaksa dimasukkan ke dalam hospital akibat tekanan darah tinggi.
Hasil siasatan polis membuktikan jenayah yang dilakukan oleh Richard dilakukan dengan terancang, disokong dengan surat kepada pihak akhbar yang dihantar terlebih dahulu.
Rancangannya sejak dari mula adalah untuk melakukan rompakan di bank meminta $1 dan kemudian duduk menunggu ketibaan polis. Sakit jantung yang dihadapi oleh pegawai yang menerima nota itu berlaku di luar perancangan Richard.
Dengan ikhlas hati, Richard memohon maaf atas perbuatannya.
Kelemahan sistem insurans perubatan Amerika Syarikat
Semasa perbicaraannya Richard mengkritik sistem perubatan Amerika Syarikat yang meminggirkan golongan seperti dia, sehinggakan dia terpaksa memilih jalan melakukan jenayah hanya untuk mendapatkan rawatan yang sempurna.
Bagaimanapun, tindakan Richard ini turut mendapat kritikan beberapa pihak yang mendakwa apa yang dilakukan sebenarnya mengambil kesempatan ke atas sistem sedia ada, dengan wang pembayar cukai akan digunakan bagi membiayai kos rawatan beliau.
Peguambela Richard, Michael Neece berhujah tindakan Richard itu menunjukkan wujudnya krisis besar dalam sistem perubatan negara itu kerana Richard adalah seorang yang baik dan bertanggungjawab, tanpa ada sebarang rekod jenayah.
Apabila ditanya kenapa tidak meminta bantuan kewangan daripada anak-anak, Richard menjawab yang dia tidak mahu menyusahkan anak-anaknya.
Selepas kisah Richard James Verone didedahkan pada orang ramai, baharulah kesedaran tentang taktik menggunakan kelemahan pada sistem undang-undang yang tidak diketahui ramai ini terbongkar.
Sistem perubatan bagi banduan di penjara diakui lengkap dan semua banduan yang tidak mampu dirawat dalam penjara oleh doktor yang ditugaskan, akan dibawa keluar sebagai pesakit ke hospital-hospital yang ada.
Seorang banduan hanya perlu membayar $5 ke $7 untuk setiap kali rawatan atau perubatan kecemasan, jauh lebih rendah berbanding kadar orang awam.
Lebih menguntungkan, bagi banduan yang tidak mempunyai wang untuk pembayaran, mereka berhak untuk mendapatkan rawatan secara percuma untuk penyakit yang membahayakan nyawa seperti penyakit tibi, HIV, tekanan darah tinggi, diabetes dan lain.
Juga sebarang penyakit berkaitan abnormaliti pada anggota badan seperti benjolan pada dada yang dialami Richard.
Richard didapati bersalah namun..
Kisah Richard tidak berakhir dengan gembira.
Menurut pengakuan dalam mahkamah, rancangan awal Richard adalah untuk mendapatkan hukuman penjara selama 3 tahun bagi dia mempunyai masa yang cukup mendapatkan rawatan.
Selepas tamat tempoh hukuman, Richard mengaku sudah merancang berpindah ke Florida dan menggunakan wang persaraan beliau bagi membeli sebuah pangsapuri di sana.
Bagaimanapun, amaun wang yang diminta oleh Richard hanyalah $1 menyebabkan hukuman yang disabitkan kepada Richard hanyalah hukuman kecurian daripada individu dan bukannya rompakan bank, yang menjatuhkan hukuman penjara lebih ringan pada kadar tempoh yang singkat.
Bagaimana pandangan anda?
Kini anda tahu di Amerika Syarikat, ada individu yang sanggup mengorbankan kebebasan mereka semata-mata kerana tidak mampu membayar kos perubatan sendiri.
Begitulah teruknya sistem insurans perubatan di negara Amerika Syarikat yang sangat gah reputasinya.
Rujukan