Credit : sportillustrated

Robert "Bobby" Fischer dianggap oleh ramai orang sebagai salah seorang pemain catur Amerika terhebat yang pernah wujud. Dia mempunyai kisah yang luar biasa tetapi kehidupan dan legasinya dicemari oleh pelbagai kontroversi.

Fischer dilahirkan pada tahun 1943 dan mula bermain catur pada usia yang sangat muda, bersaing dengan kakak dan ibunya sehingga mereka tidak berminat lagi untuk berlawan dengannya. Selain itu dia juga sering bermain sendiri sehinggalah dia dapat mencari jurulatih dan bimbingan yang tepat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

juara catur dunia yang diburu

Pada tahun 1956, Fisher yang berusia 13 tahun telah menjadi Juara Catur Junior Amerika Syarikat termuda dengan pengalahkan pesaing di seluruh negara yang lebih tua daripadanya. Setahun kemudian, dia memenangi Kejohanan Catur Amerika termuda yang pernah memegang gelaran itu.

IQ luar biasa

bobby fischer muda

Credit : sfgate

Pada usia 12 tahun, berdasarkan IQ yang tinggi (sekitar 180 hingga 187, mungkin antara yang tertinggi) dan kehebatannya bermain catur, dia diberikan biasiswa untuk belajar di Brooklyn Community Woodward. Dia kemudian pergi pula ke Sekolah Tinggi Erasmus Hall tetapi berhenti sekolah pada usia 16 tahun. Fischer berkata bahawa dia "tidak belajar apa-apa di sekolah".

Bermula pada tahun 1957, Fischer telah memenangi lapan Kejohanan Catur Amerika Syarikat selama 10 tahun ke depan. Kemenangan berterusannya itu terputus kerana dia memilih untuk tidak menyertai kejohanan pada 1961 kerana membuat persiapan kejohanan catur antarabangsa dan pada tahun 1964 kerana kejohanan tidak diadakan pada tahun itu.

Bukan sahaja dia memenangi semua lapan kejohanan yang disertainya tetapi dia juga menguasai hampir semua perlawanan. Daripada semua perlawanannya dalam kejohanan itu, Fischer menang 61 kali, seri 26 kali dan hanya kalah sebanyak 3 kali sahaja.

Grandmaster termuda dunia

fischer vs najdorf

Najdorf vs Fischer, 1962. Credit : chessgames

Pada kejohanan Olimpik Catur 1962 di Varna, Bulgaria, Fischer telah mendapat peluang menentang seorang Grandmaster Argentina, Miguel Najdorf. Fischer terlebih dahulu telah meramalkan bahawa dia akan mengalahkan Najdorf dalam hanya 25 langkah tetapi dia berjaya melakukannya dalam 24 langkah sahaja. Fischer hanya berusia 19 tahun ketika itu.

Dari tahun 1970 hingga 1972, Fischer mendominasi pesaingnya di mana-mana pertandiangan "pantas" selama lima minit dan perlawanan tradisional. Dia masih tidak berpuas hati dan bersemangat untuk menjuarai Kejohanan Catur Dunia.

Apabila Fischer bersetuju untuk berlawan dengan Juara Catur Dunia iaitu Boris Spassky di Reykjavik, Iceland, ia menjadi satu acara antarabangsa. Fischer pernah kalah satu perlawanan berhadapan Spassky pada tahun sebelumnya.

Ironinya, tiada satu pun rangkaian media utama Amerika berminat untuk membuat liputan perlawanan itu. Hanya PBS (Public Broadcasting Service) yang bersetuju untuk menyiarkan perlawanan catur bersejarah antara Kesatuan Soviet menentang Amerika.

Perlawanan itu penuh dengan kontroversi bermula dengan Fischer tiba lambat. Dia kemudian kalah dalam dua perlawanan awal dan diberikan dorongan oleh Henry Kissinger (ahli politik Amerika) untuk bersaing dalam baki perlawanan selebihnya.

Juara catur dunia

spassky vs fischer

Spassky vs Fischer, 1972. Credit : sportsinquirer

Fischer kembali mendominasi perlawanan dan kemudian menang ke atas Spassky. Perlawanan itu memberikan rating terbaik PBS dalam sejarah dan menaikkan nama Fischer kepada seorang selibriti. Tidak lama selepas itu, catur menjadi begitu popular di Amerika.

Selepas menjadi seorang selebriti, Fischer memilih untuk tidak mempertahankan gelaran juara Kejohanan Catur Dunia dan dia kemudian menyerah kalah kepada Juara Soviet, Anatoly Karpov pada tahun 1975.

Bermulalah era yang aneh dalam kehidupan Fischer. Dia mengumumkan telah meninggalkan agama Judaisme yang dianutinya dan mula menyertai gereja baru bernama Worldwide Church of God. Dia mendermakan sebahagian besar wang kepada gereja itu dan ia kelihatan menghina kepercayaan yang dianutinya terdahulunya.

Ketika itu juga penampilan Fischer tidak terurus sehingga dia pernah dissalah kenal pasti sebagai salah seorang suspek dalam sebuah rompakan. Dia ditahan pihak berkuasa selama dua hari di Pasadena sebelum dibebaskan kemudiannya.

Pada tahun 1992, seorang ahli perniagaan Yugoslavia ingin menganjurkan pertandingan semula antara Spassky dan Fisher dengan hadiah keseluruhan USD 5 juta (USD 3 juta untuk pemenang). Kedua-dua pemain bersetuju untuk perlawanan itu.

Walau bagaimanapun, Jabatan Negara Amerika Syarikat tidak membenarkan Fischer menyertai pertandingan itu kerana Yugoslavia ketika itu dikenakan sekatan politik oleh Amerika Syarikat. Mereka tidak mahu mana-mana rakyat Amerika menyertainya dan mendapati ia "berbahaya" terhadap dasar asing Amerika.

Mengingkari arahan Amerika Syarikat

spassky vs fischer 1992

Spassky vs Fischer, 1992. Credit : reuters

Namun, Fischer tetap berdegil dan pergi ke Yugoslavia untuk menyertai perlawanan itu. Dia akhirnya menang menentang Spassky yang lebih tua dan kurang kompetitif ketika itu. Fischer juga dilaporkan meludah pada surat yang diberikan kepadanya oleh Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat yang memberi peringatan kepadanya tentang implikasi pernyertaannya itu.

Pada ketika itu, Fischer tidak lagi kembali semula ke Amerika Syarikat sebaliknya tinggal di Asia tenggara selama hampir sedekad. Jabatan Keadilan Amerika Syarikat telah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.

Fischer kemudian berpindah ke Jepun pada tahun 2000 dan tinggal di sana selepas serangan 9/11 yang menyaksikan perubahan ketara dalam cara Jabatan Negeri Amerika mengendalikan perihal visa dan pasport.

Walaupun memiliki pasport Amerika yang terkini, dia telah ditahan di lapangan terbang di Jepun ketika cuba terbang ke Filipina kerana Amerika telah membatalkan pasportnya. Negara asalnya meminta pegawai di Jepun untuk menahannya atas waran tertunggak dari Yugoslavia pada tahun 1992.

Melepaskan kewarganegaraan Amerika Syarikat

fischer ketika tua

Fischer ketika usia tua

Dia ditahan di penjara Jepun selama beberapa minggu ketika menunggu untuk diekstradisi ke Amerika Syarikat. Walaupun banyak rayuan dibuat oleh komuniti catur dan para wartawan, pihak kerajaan Amerika tidak berganjak dengan keputusan mereka.

Fischer kemudian memohon kewarganegaraan yang baru di Jerman tetapi ditolak. Dia seterusnya memohon pula pada Iceland. Kerana perngaruhnya yang ketara dalam "meletakkan Iceland pada peta dunia" pada tahun 1972 kerana popularitinya, parlimen Iceland meluluskan permohonan kewarganegaraannya dan memberikannya pasport.

Fischer akhirnya melepaskan kewarganegaraan Amerika Syarikat dan berpindah ke Iceland. Dia menghabiskan sisa hayatnya tinggal di sana. Pada 17 Januari 2008, Bobby Fischer meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang pada usia 65 tahun. Dia dikebumikan di tanah perkuburan Kristian yang terletak 30 km di luar Reykjavik, Iceland.

Rujukan:

1. iChess

2. Telegraph

3. Ranker




Hakcipta iluminasi.com (2017)