Penulisan ini ditulis oleh saudara Adli Azamin Shukri di laman Facebook beliau dan pihak iluminasi mendapat kebenaran mengulang siar penulisan ini untuk manfaat bersama.

Penulisan ini telah disunting bagi memudahkan pembacaan.

Ketika ini, majoriti orang mengeluh dan merungut dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Antara sebab yang paling utama adalah kerana pendapatan yang berkurang malah ada yang kehilangan mata pencarian.

Akan tetapi, waktu-waktu sebegini sebenarnya mampu membuatkan kita berfikir di luar kotak dan menjadi lebih kreatif untuk mengambil peluang yang ada.

Kisah di bawah menunjukkan bahawa walaupun apa sekalipun situasi yang kita hadapi, pasti ada jalan keluar jika berusaha mencarinya.

ekonomi meleset akibat covid 19

Ketika tahun 1997 dahulu, terdapat seorang pemuda yang bekerja di pasar borong Selayang sebagai pembantu kedai sayur-sayuran. Pada ketika itu, dunia mengalami kemelesetan ekonomi dan membuatkan pemuda ini terpaksa dibuang kerja.

Akibatnya, dia merayau-rayau ke sana dan ke sini mencari pekerjaan, terdesak akibat kehilangan kerja dengan si isteri yang merintih serta anak yang menadah tangan meminta wang belanja ke sekolah.

Hati ayah manakah yang tak berasa gelisah dengan situasi ini, kan?

Dalam situasi memeningkan itu, pemuda ini teringat akan pelanggan-pelanggannya ketika bekerja di kedai sayur dahulu. Ada di antaranya merupakan pemilik kedai makan, iaitu kedai makanan tomyam.

Maka, pemuda tersebut pergi mencari pelanggan tersebut.

Setelah menemuinya, dia menawarkan perkhidmatan untuk membeli dan menghantar bahan mentah kepada mereka. Dengan ini, pemilik kedai makan tersebut tidak lagi perlu pergi ke pasar seperti biasa untuk membeli barangan yang diperlukan.

Pemuda itu mengenakan upah sebanyak RM10 untuk setiap bakul. Apa yang dimaksudkan dengan bakul dan mengapa memilih kedai tomyam?

Sebabnya adalah masakan tomyam mempunyai banyak perencahnya, ada sayur dan ada barang basah seperti ayam serta udang.

kedai tomyam

Sayur dikira satu bakul dan barang basah juga dikira satu bakul. Jadi, pemuda ini dapat 2 bakul dengan bayaran RM20.

Lagipun, sangat fleksibel kerana kedai tomyam biasanya buka waktu malam dan tutup pada siang hari. Ambil pesanan pagi dan hantar barang tengah hari atau petang, jadi tak perlu bangun awal-awal pagi untuk beli barang.

Selepas mencari pelanggan, pemuda ini menerima 10 pelanggan yang ingin khidmatnya.

Akan tetapi, terdapat satu masalah besar yang dihadapinya iaitu modal. Ini kerana mengambil pesanan dari kedai tomyam tersebut hanyalah melalui panggilan telefon dan wang pendahuluan tidak diberikan.

Wang akan dibayar ketika menghantar barangan yang dipesan, jadi pemuda ini memerlukan modal untuk membeli barangan tersebut.

Pemuda ini mendapat satu idea yang sangat bernas di mana dia  pergi bertemu dengan majikannya yang memiliki kedai sayur-sayuran di pasar tempat dia bekerja dahulu.

Dia meminta jasa baik bekas majikannya untuk mengambil barang terlebih dahulu dan bayar keesokan harinya. Permintaan ini dipersetujui bekas majikan, malah memberikan harga diskaun kepada pemuda itu kerana membuatkan jualannya meningkat.

beli barang di pasar

Dengan ini, pemuda tersebut boleh menjalankan perkhidmatannya tanpa memerlukan modal.

Dia memperoleh RM200 sehari, bersamaan dengan RM1,400 semingg dan RM5,600 sebulan.

Tempoh yang diperlukan untuk kerja ini hanyalah 4 jam sehari, namun memberikan pendapatan jauh lebih tinggi daripadi bekerja sebagai pembantu kedai sayur satu ketika dahulu.

Dari kisah pemuda ini, banyak perkara yang kita boleh pelajari:

1. Ketika kita boleh terbang tinggi, gunakan mata helang untuk mencari makanan dan ketika kita tercampak ke dalam lautan, kita juga boleh guna mata ikan untuk mencari peluang.

2. Ketika dalam situasi sukar, lihat dan nilai balik apa yang diberikan kepada kita ketika waktu senang dulu.

3. Ketika ekonomi dalam keadaan baik, pemuda ini diberikan pengalaman bekeraj di kedai sayur membuatkan dia bertemu dengan ramai pelanggan. Dia menyedari kesukaran di alami pelanggannya. Dia juga bekerja dengan baik dan menjaga hubungan dengan majikannya. Ketika dia mengalami kesusahan, pemuda ini menggunakan semula apa yang dia ada.

4. Selepas dibuang kerja, pemuda ini menerima takdirnya dan tidak mencetuskan masalah dengan bekas majikan.

5. Selagi kita redha dengan takdir Allah, insyaAllah Dia akan menggantikan dengan yang lebih baik dan berlipat kali ganda.




Hakcipta iluminasi.com (2017)