Taiga Siberia adalah salah satu tempat paling terpencil di dunia. Ia juga merupakan salah satu kawasan yang paling sukar untuk dilalui dan hampir mustahil untuk manusia tinggal di sana.

Musim sejuk yang sangat lama dengan cuaca yang sangat ekstrem membuatkannya tidak sesuai kediaman manusia dan menjadikan tempat ini sebagai hutan belantara terbesar di dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kawasan seluas 13.2 juta kilometer persegi (40 kali ganda keluasan Malaysia) meliputi sekitar 10% permukaan tanah Bumi dan hampir keseluruhannya menjadi habitat haiwan.

Dari beruang dan musang pada siang hari hinggalah ke serigala yang berburu pada waktu malam, taiga Siberia didiami oleh haiwan yang dapat bertahan hidup dengan kesejukan melampau.

keadaan hutan taiga siberia ketika musim sejuk

(Keadaan hutan Taiga Siberia ketika musim sejuk)

Bercakap tentang suhu yang sangat sejuk, suhu purata kawasan ini adalah di bawah paras beku manakala musim panas tidak bertahan lama di sini.

Anda mungkin pernah terdengar kisah tentang tentera Jepun yang kadang-kala muncul dari hutan, bersembunyi sejak Perang Dunia Kedua.

Satu kisah seperti itu adalah mengenai Shoichi Yokoi, tentera Jepun, yang tinggal di Hutan Guam selama 28 tahun selepas berakhirnya Perang Dunia II.

Pada tahun 1978, ahli geologi Rusia di Siberia terserempak dengan sebuah keluarga berlima yang telah tinggal di sini secara terasing selama lebih dari 40 tahun.

karp lykov dan anaknya agafia

(Keluarga Lykov)

Ia adalah keluarga Lykov, keluarga Old Believers yang tinggal sebagai pertapa di kawasan taiga yang jauh terpencil, di Pegunungan Sayan di Siberia Selatan dari tahun 1936 sehinggalah ahli geologi tersebut menjumpai mereka pada tahun 1978.

Mereka ditemui kira-kira 240 kilometer dari penempatan yang terdekat di mana ia tidak pernah diterokai.

Sebelum tahun 1936, keluarga Lykov tinggal di wilayah Rusia namun selepas peronda Soviet membunuh saudara Karp Lykov, dia mengumpul ahli keluarganya dan melarikan diri ke taiga Siberia yang sangat luas.

Selepas kejadian itu, mereka tidak pernah lagi dilihat atau ditemui sesiapa. Selama lebih empat dekad, Karp Lykov bersama isteri dan anak-anaknya, tinggal di pondok kayu hanya beberapa kilometer dari sempadan Mongolia.

lokasi tempat keluarga lykov tinggal

(Lokasi di mana keluarga Lykov tinggal)

agafia dan natalia lykov

(Agafia dan ibunya Natalia Lykov)

Menurut artikel dari Smithsonian, ketika keluarga Lykov pertama kali memutuskan untuk pergi ke taiga Siberia, mereka hanya berempat, iaitu Karp Lykov; isterinya, Akulina; anak mereka Savin dan Natalia.

Dua lagi anak dilahirkan di dalam hutan tersebut iaitu Dmitry pada tahun 1940 dan Agafia pada tahun 1943.

Sebuah kitab Injil dan buku doa lama yang dibawa oleh keluarga Lykov bersama mereka cukup untuk anak-anak mereka belajar membaca dan menulis.

Namun untuk meneruskan hidup di kawasan itu adalah cabaran sebenar yang mereka hadapi.

lykov famili

Makanan mereka kebanyakannya terdiri daripada buah beri dan sayur-sayuran Siberia yang ditanam sendiri. Selain itu, mereka belajar bagaimana untuk memburu tanpa senjata atau busur.

Namun, itu tidak cukup membuatkan mereka sering berlapar.

Kehidupan yang sememangnya sudah sukar menjadi semakin buruk bagi keluarga ini pada penghujung tahun 1950-an apabila isteri Karp iaitu Akulina meninggal dunia akibat kelaparan, meninggalkan Karp dan anak-anaknya meneruskan hidup di hutan Siberia. 

rumah yang didiami keluarga lykov

(Kabin yang didiami keluarga Lykov)

Apabila ahli geologi tersebut menemui mereka, mereka terkejut dengan keadaan keluarga ini yang masih hidup dalam keadaan zaman pertengahan.

Walau bagaimanapun, Karp Lykov tetap menyambut orang yang tidak dikenali itu. Smithsonian melaporkan bahawa pada mulanya, mereka menolak semua yang ditawarkan oleh ahli geologi tersebut kecuali satu perkara, iaitu garam.

Sudah 40 tahun Karp tidak merasai garam dan dia tidak dapat menolak tawaran itu.

Lebih memeranjatkan, keluarga Lykov langsung tidak sedar tentang berlangsungnya Perang Dunia II atau hakikat bahawa manusia telah sampai ke bulan.

Apabila ahli geologi tersebut mula mendapatkan kepercayaan mereka, keluarga ini dapat melihat "kejaiban" kehidupan moden. 

agafia dan karp lykov

(Agafia dan Karp Lykov)

Pada musim luruh tahun 1981, tiga daripada empat orang anak Karp iaitu Dmitry, Natalia, dan Savin meninggal dunia dalam beberapa hari berselang.

Dua daripadanya disebabkan oleh kegagalan buah pinggang dan satu lagi disebabkan radang paru-paru.

Ahli geologi tersebut cuba meyakinkan Karp dan anak perempuannya Agafia untuk berpindah ke kawasan saudara-mara mereka di sebuah kampung 240 kilometer dari tempat mereka namun ditolak setiap kali ditawarkan.

Karp Lykov meninggal dunia pada 16 Februari 1988 manakala anak perempuannya Agafia kekal tinggal berseorangan di gunung di Siberian taiga.

Rujukan:

1. Vintage News

2. Smithsonian

3. Siberian Times




Hakcipta iluminasi.com (2017)