Pada tanggal 2 September 1944, seorang juruterbang pesawat tentera Amerika Syarikat yang berusia 20 tahun telah terhempas di Kepulauan Bonin di Jepun, apabila pesawatnya terkena tembakan tentera Jepun.
Juruterbang ini, bersama-sama dengan lapan lagi anak kapal yang lain telah berjaya melepaskan diri daripada pesawat yang terhempas ini. Namun begitu, nasib juruterbang ini adalah lebih baik berbanding lapan anak kapal yang lain kerana tidak ditangkap, diseksa atau dimakan oleh tentera Jepun yang berada di darat. Juruterbang yang bernasib baik itu ialah George H.W. Bush.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada hari tragedi itu berlaku, Bush telah dilantik untuk mengetuai pesawat Avenger milik Tentera Laut Amerika Syarikat. Bush yang menyertai Angkatan Tentera Laut sejak berusia 18 tahun itu bersama pasukannya telah ditugaskan untuk menyerang sebuah stesen radio di pulau kecil yang bernama Chichijima.
Pulau Chichijima, Jepun
Semasa Bush dan pasukannya menjalankan misi mereka, tentera Jepun di Pulau Chichijima pula sedang mempersiapkan serangan anti-pesawat dengan ketat. Serangan balas tentera Jepun membuahkan hasil apabila berjaya menembak jatuh pesawat yang dipandu Bush.
Bush menceritakan kepada CNN bahawa pesawatnya terbakar, kokpit mula dipenuhi asap dan dia menyangka bahawa pesawat itu akan meletup. Ketika itu Bush memutuskan untuk meninggalkan pesawat yang terbakar itu. Namun, plat perisai di belakang tempat duduknya menghalang daripada dia menyampaikan hasratnya itu kepada dua orang anak kapalnya yang lain iaitu Ted White dan John Delaney.
Bush memberitahu lagi bahawa dia memanjat keluar ke sayap pesawat. Ketika itu dia menarik tali kecemasan terlalu awal dan apa yang berlaku ialah kepalanya telah terhentak pada bahagian penstabil ekor pesawat. Tidak lama selepas itu dia menyedari dirinya sudah berada di dalam air.
Bush dan pasukan tentera Amerika
Rakan-rakan Bush yang lain juga mendarat dalam air sebelum nasib yang lebih buruk menanti mereka. Tidak lama selepas itu mereka ditangkap oleh tentera Jepun, diseksa, dipancung dan ada juga yang ditikam. Separuh daripada pasukan itu telah dimakan oleh tentera Jepun atas arahan Lt. Jen. Yoshio Tachibana.
Menurut salah seorang mangsa yang terselamat iaitu James Bradley, di dalam bukunya Flyboys: A True Story of Courage, Tachibana telah mengarahkan empat juruterbang dibunuh serta diambil lengan dan paha mereka untuk dijadikan makanan tentera Jepun di situ.
Salah seorang tentera Jepun yang terlibat iaitu Admiral Kinizo Mori membuat pengakuan bahawa, seorang tukang masak tentera Jepun telah menyucuk jantung dan hati tentera Amerika pada beberapa bilah buluh dan memasaknya bersama-sama dengan sos soya dan sayur-sayuran. Hidangan yang disediakan oleh tukang masak itu nampak menyelerakan dan Mori percaya makanan itu adalah "baik untuk perut".
Walaupun pegawai tentera Jepun yang bertanggungjawab atas kekejaman yang mereka lakukan itu mengakui tindakan mereka semasa perbicaraan jenayah perang di Guam dan dijatuhkan hukuman kerananya, ahli keluarga mangsa yang terkorban masih lagi tidak tahu dengan tepat bagaimana orang yang mereka sayangi menemui ajal.
Oleh kerana tidak mahu butiran bagaimana tentera mereka itu terkorban membebankan lagi ahli keluarga yang sememangnya sedih dan tertekan, pihak tentera Amerika Syarikat memutuskan agar fail-fail yang mengandungi perincian kejadian itu dijadikan sebagai "rahsia sulit".
Sehinggalah Bradley menerbitkan bukunya Flyboys pada tahun 2003, barulah orang ramai mengetahui apa yang terjadi kepada sebahagian anak kapal yang terkorban dan betapa bernasib baiknya Bush berjaya melepaskan diri daripada menjadi mangsa.
Pada penghujungnya, ia adalah nasib baik dan pemikiran pantas yang membolehkan Bush menghindari nasib mengerikan yang telah menimpa rakan-rakannya. Bush meninggalkan pesawatnya yang terhempas agak jauh dari Chichijima berbanding rakan-rakannya dan berjaya mencari rakit kecemasan yang juga dijatuhkan daripada pesawat.
Walau bagaimanapun, ia tidaklah berjalan lancar bagi Bush pada mulanya. Ini kerana bot tentera Jepun sedang bergerak ke arah Bush untuk menangkapnya juga. Akan tetapi, kebakaran dari pesawat Amerika itu telah berjaya menyebabkan tentera Jepun berundur.
Bush memberitahu ketika itu dia sedang menangis, muntah dan berenang sekuat hatinya. Bush juga sempat bergurau dengan mengatakan pada waktu itu, dia pasti boleh mengalahkan perenang Olimpik kerana terlalu takut ditangkap oleh tentera Jepun.
Bush ketika diselamatkan oleh kapal selam Amerika
Akhirnya sebuah kapal selam milik Amerika telah datang untuk menyelamatkan Bush. Apabila Bush menyaksikan kapal selam tiba dan dia memasukinya, dia mengucapkan ayat yang tidak akan dilupakannya iaitu "Gembira untuk menaiki kapal".
Beberapa dekat selepas kejadian itu, Bush telah kembali semula ke Chichijima, di mana dia telah berkongsikan pendapatnya bersama dengan krew CNN. Bush memberitahu dia tidak rasa bahawa dia bertanggungjawab di atas kematian White dan Delaney dan tidak dihantui oleh perasaan itu.
Walau bagaimanapun, tragedi ini meninggalkan kesan trauma untuk bekas presiden Amerika itu dan dia sering tertanya-tanya mengapakah dia yang terselamat? Mengapakah dia yang bernasib baik dan masih hidup?
Kini, mendiang George Herbert Walker Bush atau lebih dikenali sebagai George Bush Senior yang pernah bertugas sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-41 dari 20 Januari 1989 hingga 20 Januari 1993, baru sahaja meninggal dunia pada 30 November 2018 di Texas pada usia 94 tahun.