Ratatouille adalah filem animasi komedi tahun 2007 yang dihasilkan oleh Pixar dan dikeluarkan oleh Walt Disney Pictures. Ia adalah filem kelapan yang dihasilkan oleh Pixar. Judulnya merujuk kepada "ratatouille" sejenis hidangan dari Perancis dan juga merujuk kepada haiwan watak utama filem ini yang merupakan seekor tikus.
Plot filem animasi ini adalah berkenaan seekor tikus bernama Remy yang mempunyai impian menjadi tukang masak dan berusaha mencapai cita-citanya dengan menjalin kerjasama dengan seorang tukang masak dari sebuah restoran di Paris.
BESARKAN TEKS A- A+
Ratatouille adalah filem yang menarik dengan watak-watak yang hebat dan yang paling penting turut memaparkan banyak makanan Perancis yang sedap. Tidak hairanlah banyak chef sebenar di Perancis yang nyata terkesan dengan filem Hollywood ini mengulas bagaimana filem ini berjaya memaparkan kehidupan sebenar di dapur kelas tinggi.
Hal ini kerana pihak di Pixar menghabiskan banyak masa di restoran Paris yang sebenar untuk menemuramah chef dan merakam pemandangan dan keadaan dapur yang sebenar. Namun, kehidupan chef yang masih hidup bukanlah satu-satunya yang memberi inspirasi kepada plot filem keluaran Pixar ini.
Kisah Chef Bernard Loiseau
Dalam filem animasi ini, watak "Gusteau", seorang chef yang mempunyai berat badan berlebihan yang mati dalam kesedihan setelah kehilangan status bintang "Michelin" untuk restorannya dan hanya muncul sebagai teman khayalan Remy si tikus dikatakan diinspirasikan daripada seorang watak Chef yang sebenar.
Kisah watak Gusteau dipercayai didasarkan pada seorang chef lelaki bernama Bernard Loiseau. Sehingga tahun 2003, Bernard Loiseau adalah chef paling terkenal di Perancis. Menurut satu majalah, 9 dari 10 orang Perancis dapat mengenali Bernard Loiseau, umpama beliau adalah seorang chef yang bertaraf selebriti.
Bernard Loiseau adalah pencipta utama masakan "nouvelle", gerakan yang menekankan persembahan artistik, bahan-bahan segar, makanan yang lebih ringan dan chef sebagai pengarah persembahan masakan mereka sendiri.
Selain mencipta produk makanan sejuk beku sendiri, menjadi bintang TV dan menulis banyak buku masakan, Bernard Loiseau memperoleh status tiga bintang Michelin untuk restorannya, La Cote d'Or.
Dengan rekabentuk dalaman yang indah, restoran tersebut yang lengkap dengan hotel dan kedai cenderamata menyajikan hidangan lazat yang biasanya berharga $240 - 340 bagi setiap pasangan, tidak termasuk hidangan minuman beralkohol. Di belakang tabir, beliau dilihat sebagai seorang ketua yang sentiasa mendorong dan memuji pekerjanya.
Obsesi terhadap tahap penarafan Michelin
Bagi yang tidak tahu apa itu tahap penarafan Michelin, boleh baca artikel kami mengenai sejarah penarafan Michelin. Bernard Loiseau benar-benar taksub untuk mengekalkan status tiga bintang Michelin yang diperolehinya. Secara mudahnya, lagi banyak bintang, lagi bagus hidangan restoran tersebut.
Oleh itu, Bernard Loiseau menjadi paranoid dan sentiasa memeriksa setiap hidangan yang dihidangkan. Agak sukar mengekalkan status tiga bintang Michelinnya kerana setiap hidangan perlulah sempurna dan konsisten setiap kali dihidangkan.
Bagi hidangan yang tidak menepati piawaiannya, makanan tersebut akan terus dibuang ke dalam tong sampah bagi mengelak status Michelinnya terkesan. Malah, kehilangan satu bintang Michelin sahaja dikatakan boleh menyebabkannya kerugian dan menjejaskan perniagaannya sebanyak 40 peratus.
Benar. Terdapat golongan tertentu yang mempunyai citarasa tinggi terhadap makanan dan berkemampuan daripada segi kewangan akan menjadikan penarafan jumlah bintang Michelin sesuatu restoran sebagai sandaran. Maka, sekiranya sesebuah restoran kehilangan bintang Michelin, secara tidak langsung pelanggan mereka berkurangan.
Pengakhiran yang menyedihkan
Masakan Perancis sentiasa berkembang dan berevolusi dan banyak pengkritik berpendapat makanan ciptaan Bernard Loiseau walaupun enak tetapi "membosankan". Maka, tidak hairanlah terdapat ura-ura bahawa restorannya akan dikurangkan tahap penarafan Michelin kepada dua bintang sahaja.
Pengkritik makanan utama majalah Perancis Le Figaro, Françcois Simon, pada awalnya telah membocorkan petikan dari majalah yang baru ditemui yang memberi bayangan bahawa status penarafan Michelin milik restoran Bernard Loiseau yang terancam adalah sah.
Bernard Loiseau pernah mengatakan kepada seorang wartawan Perancis bahawa dia akan membunuh diri jika kehilangan tiga bintangnya dan bahawa perniagaannya akan kehilangan 40 peratus dari pendapatannya sekiranya dakwaan tersebut adalah benar.
Bernard Loiseau yang sememangnya sudah bergelut dengan kemurungan kerana tertekan mahu mengekalkan status restorannya, akhirnya telah mengambil tindakan drastik yang mengejutkan banyak pihak. Pada Februari 2003, chef hebat itu meninggalkan restorannya, pulang ke rumah dan membunuh diri dengan senapang memburu.
Selepas kematiannya, terdapat protes besar terhadap Michelin walaupun organisasi itu pada mulanya menolak niat untuk menurunkan restoran Bernard Loiseau. Namun, pada tahun 2013, majalah Perancis L'Express mendedahkan dokumen yang menunjukkan pihak Michelin benar-benar berniat mengurangkan satu bintangnya.
Cubaan menyembunyikan perkara itu akhirnya terdedah dan dunia kini memahami tekanan menjadi tukang masak yang hebat. Malangnya, ia sudah terlambat untuk chef paling terkenal di Perancis satu ketika dahulu ini. Kisah menyedihkan Bernard Loiseau inilah yang dipercayai menjadi inspirasi watak Gusteau dalam filem ‘Ratatouille'.
Kredit: