Ketika Redbull dilancarkan, pasaran minuman tenaga masih belum wujud dan kajian menunjukkan bahawa idea ini tidak akan berjaya.

Namun, pengasas minuman ini berjaya menambat hati pengguna dan pendapatan syarikat ini mencecah RM24.82 bilion pada hari ini.

Kisah ini bermula dengan seorang penternak itik yang menyedari bahawa pekerja buruh dan kolar biru memerlukan sesuatu yang boleh meningkatkan tenaga dengan cepat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada 17 Ogos 1923, Chaleo Yoovidhya dilahirkan di Phuket, Thailand dalam keluarga yang miskin di mana ibu bapanya merupakan imigran China yang menternak itik dan menjual buah-buahan sebagai sumber kewangan.

Disebabkan tidak mempunyai pelajaran tinggi, Chaleo membantu ibu bapanya sebelum berpindah ke Bangkok. Dia bekerja di kedai milik abangnya yang menjual ubat-ubatan dan seterusnya menjadi jurujual farmasi.

chaleo yoovidhya pengasas redbull

(Chaleo Yoovidhya)

Kemudian, Chaleo memulakan syarikat pengeluaran sendiri iaitu T.C. Pharmaceutical Industries yang menghasilkan antiobiotik.

Pengalaman yang dilalui Chaleo membolehkan dia membuat penemuan yang mengubah kehidupannya, iaitu minuman tonik tenaga.

Dipenuhi dengan vitamin dan kafein tambahan, ia popular dalam kalangan pemandu lori, petani dan pekerja kilang yang bekerja dalam tempoh yang lama dan memerlukan lonjakan tenaga.

Pada ketika itu, hanya terdapat satu sahaja jenama dalam pasaran dari Jepun yang dikenali sebagai Lipovitan D.

Minuman ini sampai ke Thailand apabila pekerja Jepun berpindah untuk mengawasi operasi di kilang mereka.

Digambarkan mempunyai rasa seperti ubat, Chaleo mendapat idea untuk menghasilan versi yang lebih manis yang menarik bagi penduduk tempatan.

krating daeng thailand red bull

Pada tahun 1976, dia melancarkan jenama minuman berperisa sendiri diberi nama Krating Daeng bermaksud "Lembu Jantan Air Merah" dalam bahasa Thai.

Chaleo mempromosikan Krating sebagai minuman yang akan meningkatkan ketahanan, daya tumpuan dan kepantasan, dijual dengan harga $0.30.

Walaupun tidak popular pada awalnya, jualan Krating Daeng mengatasi semua pesaing kecuali Lipovitan D hanya dalam tempoh setahun dan menjadi bahagian pasaran terbesar di Thailand.

Kejayaan awal Krating Daeng adalah disebabkan oleh cara Chaleo yang luar biasa dalam melakukan sesuatu.

Dia mempunyai pandangan dan visi dalam menghasilkan logo Krating Daeng, iaitu matahari mewakili tenaga, dua ekor lembu jantan mewakili haiwan yang kuat dan warna merah untuk mewakili ketekunan.

Chaleo juga menggunakan strategi yang mensasarkan pekerja buruh dan pekerja kolar biru, dan bukannya golongan elit di Bangkok. Ini merupakan satu strategi yang agak aneh pada ketika itu.

muay thai krating daeng

Pengiklanan awal Krating Daeng memaparkan gambar-gambar pekerja buruh berehat di atas platform kayu di kawasan luar bandar sambil minum minuman tersebut.

Untuk mempromosikan Krating Daeng, Chaleo menaja juara muay Thai berprofil tinggi dan acara tinju, sekaligus mewujudkan hubungan antara minuman ini dan sukan kegemaran Thailand.

Pada tahun 1980-an, minuman ini mula dijual di peringkat antarabangsa bermula di Singapura dan kemudiannya di Hong Kong.

Pengembangan ini menjadikan Thailand sebagai salah sebuah negara "Tiger Cub Economies" (lima negara dominan di Asia Tenggara termasuk Malaysia).

Sementara itu, Dietrich Mateschitz baru sahaja mengetahui tentang Krating Daeng ketika dalam perjalanan perniagaan ke Thailand. Dia menjadi tertarik dengan minuman itu apabila Krating Daeng memulihkan gangguan ritma harian (jetlag) yang dialaminya.

dietrich mateschitz pengasas bersama red bull

(Dietrich Mateschitz)

Sama seperti Chaleo, Dietrich juga mempunyai tabiat yang lain daripada yang dalam melakukan sesuatu. Dietrich dilahirkan di Sankt Marein, Austria pada tahun 1944.

Sebahagian besar daripada keluarganya adalah konservatig, terdiri daripada paderi, pegawai kerajaan dan guru.

Dietrich meyakinkan ibunya untuk menyambungkan pengajian dalam bidang pembinaan kapal di Vienna, satu-satunya program yang tidak terdapat di wilayah tempat tinggalnya.

Dia kemudiannya bertukar-tukar universiti beberapa kali dan akhirnya menyambung pengajian dalam bidang perdagangan di Universiti Ekonomi dan Perniagaan Vienna.

Dietrich mengambil tempoh yang agak lama untuk menamatkan pengajian ijazah sarjana muda iaitu 10 tahun.

Ketika itu, Dietrich tidak terburu-buru untuk menamatkan pengajiannya sebaliknya menikmati hidupnya dan bekerja sebagai pengajar ski.

Selepas tamat pengajian, dia bekerja di sebuah syarikat ubat gigi Jerman dan menjadi pengarah pemasaran antarabangsa syarikat itu.

lipovitan d

Walaupun jawatannya membolehkan Dietrich berjalan ke seluruh dunia, namun dia berasa bosan dengan kerjanya.

"Apa yang saya lihat adalah pesawat sama, suit yang sama dan muka yang sama, membuatkan saya bertanyakan kepada sendiri sama ada saya mahu menghabiskan tahun-tahun akan datang seperti mana tahun-tahun sebelumnya," kata Dietrich.

Setelah sepuluh tahun bekerja di syarikat tersebut, dia membuat penemuan yang mengubah hidupnya.

Ketika ke Hong Kong untuk tujuan kerja, Dietrich terbaca tentang Lipovitan D sebagai pembayar cukai terbesar di Jepun.

Dan pada ketika itu dia memutuskan untuk berhenti kerja dan menjejaki Chaleo untuk memulakan syarikat serta memasarkan Krating Daeng di Eropah. Pada ketika itu, tiada minuman seperti ini di Barat.

Dietrich bertemu dengan Chaleo di Bangkok memberitahu cadangannya, namun Chaleo agak ragu-ragu pada awalnya.

Namun Dietrich berjaya meyakinkan Chaleo, di mana kedua-dua mereka melaburkan $500,000 dan masing-masing memperoleh pemilikan sebanyak 49%.

Baki pemilikan 2% diberikan kepada anak Chaleo, Chalerm Yoovidhya.

chalerm yoovidhya

(Chalerm Yoovidhya)

Untuk tempoh 3 tahun kemudian, Dietrich menganalisis pasaran dan mengusahakan konsep serta reka bentuk. Ketika dia mengupah sebuah firma penyelidikan untuk menguji produk itu, hasilnya adalah sangat teruk,

Mereka memberitahu bahawa rasa minuman tersebut sangat menjijikkan dan meninggalkan rasa melekit dalam mulut. Mereka tidak mempercayai rasa, logo dan jenama minuman ini.

"Saya tidak pernah merasa seteruk ini," kata Dietrich.

Namun Dietrich yakin bahawa mereka salah dan meneruskan usahanya dengan mendirikan pejabat di Austria serta mula mengedarkan produk tersebut.

Ketika ini dia mengalami masalah yang lebih besar.

Untuk memasarkan Krating Daeng, Dietrich perlu mendapatkan kelulusan daripada kementerian kesihatan di kebanyakan negara Eropah kerana sebahagian besar daripada bahan-bahan dalam minuman tersebut belum pernah lagi digunakan dalam mana-mana produk dalam pasaran.

redbull di eropah

Akhirnya pada tahun 1987, Kementerian Kesihatan Austria memberikan kelulusan.

Pada tahun yang sama, produk ini dilancarkan dengan rasa dan nama baharu, iaitu RedBull.

Dietrich menggantikan botol ubat tersebut dengan tin biru aluminium dan menambahkan karbonat untuk menarik minat orang Eropah.

Namun hasil penyelidikan firma tersebut terbukti tidak salah sepenuhnya, di mana orang ramai masih ragu-ragu dengan minuman ini.

"Beberapa tahun pertama adalah sangat sukar dan mencabar. Kadang-kala saya terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membantu syarikat," kata Chaleo.

Chaloe dan Dietrich mencipta kategori minuman tenaga dengan Redbull, jadi mereka memerlukan masa untuk memenangi hati pengguna.

Ketika inilah Dietrich memutuskan untuk mengikut salah satu strategi Chaleo dan menggabungkan perniagaan mereka dengan minatnya iaitu sukan ekstrem.

gerhard berger red bull

Dia mempromosikan Redbull dengan menaja atlet berprofil tinggi, pertandingan berbasikal gunung, papan luncur salji, payung terjun dan banyak lagi.

Pemandu perlumbaan Formula Satu dari Austria iaitu Gerhard Berger adalah atlet pertama yang ditaja oleh Red Bull.

Strategi ini berhasil dan Red Bull mula diterima di Eropah.

Tak lama kemudian, produk ini sekali lagi berhadapan dengan masalah di mana beberapa minggu selepas dilancarkan di Jerman, mereka kehabisan tin.

Malah. selepas Red Bull dilancarkan di United Kingdom, mereka berhadapan dengan persaingan yang sengit di mana pengguna tempatan lebih sukakan minuman yang telah lama wujud di pasaran UK iaitu Lucozade.

Lucozade adalah minuman bikarbonan berperisa oren yang pada mulanya dipasarkan sebagai penawar penyakit dan kemudiannya sebagai minuman tenaga.

Namun segalanya berubah apabila pemain papan salji dan pengunjung kelab mula minum Red Bull di pesta-pesta, membuatkan sebahagian besar daripadanya dijual di bar dan kelab.

red bull extreme sport

Walaupun Dietrict kecewa kerana sesetengah pengguna menggunakan Red Bull hanya sebagai campuran dalam minuman, dia terus mensasarkan pengunjung kelab dan peminat sukan ekstrem.

Dia menaja para pelajar untuk mengadakan pesta dan memandu kereta dengan botol Red Bull dipasangkan di atas bumbung, serta terus menaja pertandingan-pertandingan yang agak aneh.

"Kami tidak membawa produk kepada pengguna, kami bawa pengguna kepada produk kami. Kami menyediakan produk ini dan mereka yang sukakan gaya kami, akan datang kepada kami," kata Dietrich.

Dietrich menjadikan minuman pekerja buruh dan kolar biru kepada produk gaya hidup premium, bertentangan dengan apa yang dilakukan oleh Chaloe dengan Krating Daeng.

Selepas dilancarkan di Amerika Syarikat, Red Bull menjual produk ke-1,000,000,000 dan menjadi syarikat bilion dolar.

Disebabkan penghasilan Red Bull, Chaleo menjadi orang ketiga terkaya di Thailand dan secara kebetulan, Dietrich juga menjadi orang ketiga terkaya di Austria.

Kisah penghasilan Red Bull ini adalah salah satu daripada kisah produk yang mencipta pasarannya sendiri.

Rujukan:

1. Complete

2. Mashed

3. Hook




Hakcipta iluminasi.com (2017)