Kredit foto: Instagram Astro Gempak
Program realiti Gegar Vaganza 2019 (GV2019) membuat kelainan apabila menampilkan dua pemenang utama pada peringkat akhir yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, sebentar tadi.
Naqiu Boboy dan Hady Mirza berkongsi gelaran juara sekaligus menewaskan empat bintang lain yang turut bertanding.
Naqiu menyampaikan Srikandi Cintaku dipopularkan Bloodshed, manakala Hady Mirza memukau menerusi Ku Bersuara nyanyian asal Ernie Zakri.
Kedua-dua mereka turut berkolaborasi di pusingan battle menerusi lagu Haa Tepok dendangan asal MeerFly, MK K-Clique dan Kidd Santhe.
Kemenangan itu membawa kepada ganjaran berupa wang tunai berjumlah RM100,000 setiap seorang.
Sementara itu, Jatt Ali berada di kedudukan ketiga membawa pulang RM30,000, diikuti Nurfatima yang menerima habuan RM20,000 di tangga keempat.
Tempat kelima dan keenam masing-masing diberikan kepada One Nation Emcees dan Sham Visa yang meraih RM15,000 dan RM10,000.
Persembahan enam finalis dinilai oleh juri tetap, Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang, selain Datuk Rizalman Ibrahim selaku juri jemputan.
Berikut adalah kedudukan dan markah para peserta berdasarkan penilaian juri profesional.
Kredit foto: Instagram Astro Gempak
CARTA KEDUDUKAN DAN MARKAH PESERTA KONSERT AKHIR GEGAR VAGANZA MUSIM 6 (2019)
1. Naqiu Boboy (Srikandi Cintaku, Haa Tepok) - 87%
1. Hady Mirza (Ku Bersuara, Haa Tepok) - 87%
3. Jatt (Without You, Angguk Angguk Geleng Geleng) - 76%
4. Nurfatima (Insan, In The End) - 68%
5. One Nation Emcees (Melompat Lebih Tinggi, In The End) - 67%
6. Sham Visa (Haruskah Diuji, Angguk Angguk Geleng Geleng) - 65%
Konsert kemuncak yang ke udara secara langsung di saluran Astro Ria itu dikemudikan oleh pasangan hos, Nabil Ahmad dan Jihan Muse, bersiaran daripada Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam.
Kredit video: [LIVE] Gegar Vaganza 2019 Live + (Akhir)