Kredit foto: Instagram Siti Nordiana
“Untung jadi ‘single’, tidak perlu ada ‘drama’, bergaduh, menangis, risau, kekeliruan dan sebarang masalah."
Begitulah tulisan penyanyi Siti Nordiana, 34, yang akhirnya menjawab status sebenar dirinya yang sebelum ini dikatakan sedang hangat bercinta.
Kata Siti Nordiana atau lebih akrab disapa Nana, apa yang diluahkan di laman Instagram itu hanyalah ucapan untuk diri sendiri dan tidak berkisar tentang mana-mana pihak lain.
“Kenyataan ini lebih kepada ‘peringatan mesra’ yang mana solo lebih baik daripada bercinta. Melainkan, jika sudah ada calon berkahwin adalah jalan terbaik.
“Dalam masa sama, kenyataan ini adalah kata-kata semangat untuk diri sendiri termasuk semua yang solo dan belum ada jodoh, tapi disampaikan dalam bentuk kiasan,” katanya.
Namun penyanyi Terpaut Sayang Padamu ini menepis dakwaan kononnya kenyataan itu melambangkan dirinya masih trauma dengan perkahwinan lalu.
Kredit foto: Instagram Siti Nordiana
“Saya solo sampai sekarang sebab belum ada jodoh. Saya sama seperti wanita lain yang inginkan pasangan hidup. Cuma, Allah belum pertemukan dengan lelaki terbaik," katanya.
Nana berkata, dia tidak tertekan untuk membina 'mahligai' baru, dan dalam masa sama akur sekiranya jodoh yang ditentukan sudah sampai.
“Sebagai manusia, siapa saya untuk melawan takdir dan ketentuan Allah. Kalau Dia kata jodoh saya esok, saya pasti berkahwin juga. Namun, dalam perkara ini saya belum terdesak nak cari pasangan," katanya.
Apatah lagi beliau merasa selesa dengan kehidupan yang dilalui kini, selain meletakkan sasaran untuk menggembirakan keluarganya.
“Saya selesa dengan kehidupan sekarang. Lagi pula, masih banyak yang perlu saya kecapi terutama nak membahagiakan keluarga,” katanya.
Kata Nana, dia juga tidak akan mengenepikan pihak media dan peminat apabila hari bahagia itu muncul.
“Seperti yang pernah dikatakan sebelum ini, saya sedia berkongsi berita gembira kepada semua.
“Terima kasih atas doa dan keprihatinan terhadap saya selama ini. InsyaAllah, kalau ada jodoh, adalah. Saya juga sentiasa berdoa ke arah itu,” katanya.
Sumber berita: Harian Metro