Anda ada mengalami masalah ketuat pada kulit?

Bagi mereka yang tak memahami apa itu ketuat atau memang jenis individu yang mempunyai kulit jenis flawless gitu, ketuat yang digelarkan 'warts' merupakan ketulan-ketulan kecil yang mampu tubuh pada mana-mana bahagian kulit sehingga menyebabkan kulit tadi menjadi keras dan berbintik.

Ketuat walaupun dilihat seperti abnormaliti pada kulit, sebenarnya berpunca daripada jangkitan virus yang digelarkan human papillomavirus atau HPV, yang memasuki lapisan kulit kita disebabkan berlakunya kesan calar atau luka pada bahagian anggota badan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Masalah ketuat ini boleh merebak dengan beberapa cara, dengan cara paling biasa berlaku adalah disebabkan sentuhan dengan individu lain yang membawa virus ini. Sekiranya anda menggunakan tuala yang telah disentuh individu tersebut, virus ini akan merebak menjangkiti anda.

Kes ketuat paling tua ditemui setakat ini

mumia queen liye mempunyai ketuat

Jangkitan ketuat ini sudah lama ditemui, dengan penemuan jangkitan ini telah pun ditemui penyelidik pada mumia-mumia masyarakat terdahulu.

Salah satu kes jangkitan ketuat yang mendapat perhatian ramai penyelidik adalah ketuat yang ditemui pada mumia yang dipercayai nenek kepada Raja Tutankhamun, Permaisuri Liye yang hidup pada tahun 1300BC.

Ini menandakan masalah ketuat ini bukanlah satu masalah baru, malahan telahpun wujud beribu tahun lamanya. Ketuat kebiasaannya tidaklah merbahaya tetapi apabila tumbuh pada tempat yang terbuka seperti muka misalnya, mampu membuatkan seseorang itu merasa gusar dengan penampilannya.

Jenis-jenis ketuat yang kerap menjangkiti anda

ketuat biasa

Penyelidik mentakrifkan terdapat lima jenis ketuat kesemuanya yang ditemui setakat ini. Yang pertama adalah ketuat biasa, yang biasanya menyerang jari tangan dan kaki, malahan muka. Ketuat jenis ini mempunyai permukaan kasar dengan bentuk bulat berwarna keputih-putihan.

plantar wart dollar paid 300x225

Ketuat yang menyerang tapak kaki pula dinamakan sebagai 'plantar warts.' Untuk membezakan ketuat 'plantar' dengan ketuat biasa, lihat bagaimana ketuat itu tumbuh. Sekiranya ketuat itu tumbuh ke dalam tapak kaki, sehingga menyebabkan wujud lubang kecil pada kaki anda, itu adalah serangan ketuat 'plantar.' Anda akan merasa kurang selesa bila berjalan apabila ada terkena serangan ini.

Ketuat jenis rata atau 'flat' pula biasanya menyerang bahagian wajah, peha dan lengan. Ketuat ini tidak tumbuh seperti ketuat biasa, kerana permukaannya rata sahaja namun perubahan pada warna kulit yang dijangkiti akan berlaku. Warna kulit yang berjangkit akan bertukar menjadi kemerahan, coklat ataupun sedikit kekuningan.

filiform ketuat warts

Satu jenis ketuat yang boleh merendahkan keyakinan seseorang adalah ketuat jenis 'filiform.' Ketuat jenis ini akan menyebabkan ketumbuhan seperti lebihan kulit terkeluar daripada kulit dan bertukar menjadi keras. Kebiasaannya, ketuat 'filiform' tumbuh di bahagian mulut, hidung, leher dan dagu.

ketuat pada bahagian kuku

Ketuat yang terakhir adalah dari jenis ketuat 'periungual' yang menyerang bahagian kuku tangan dan kaki. Di antara kesemua jenis ketuat yang ada, ketuat 'periungual' akan paling banyak menyebabkan ketidak selesaan, malahan kesakitan apabila menjangkiti anda. Ini kerana lokasinya yang tumbuh di antara kuku dan kulit mampu menyebabkan rasa sakit pada anda.

Bagaimana nak mencegah dan merawat ketuat

ketuat pada bahagian mulut

Adakah ketuat serius? Sekiranya ketuat itu naik pada bahagian muka dan bahagian yang sensitif seperti kemaluan, mulut dan hidung, silalah dapatkan rawatan doktor. Sekiranya rawatan tidak didapatkan, takut-takut boleh berlaku pendarahan atau jangkitan kuman seperti nanah pada bahagian kulit anda. Rasa sakit pada ketuat juga petanda yang anda perlu mendapatkan rawatan segera.

Sekiranya anda mahu mencuba sendiri rawatan, terdapat beberapa kaedah boleh dicuba. Rawatan sendiri menggunakan ubat yang mengandungi asid salicylic amat mudah untuk didapati. Ubat itu biasanya datang dalam bentuk cecair yang perlu disapu atau dititiskan terus pada permukaan ketuat tersebut.

Rawatan doktor pula merangkumi pelbagai jenis cara. Rawatan menggunakan nitrogen cair, pembedahan yang digelarkan 'elektrosurgeri' dan tembakan laser boleh dijadikan pilihan anda. Selain itu pembedahan kecil membuang ketuat juga boleh dilakukan, seandainya anda merasakan itu lebih selamat pada anda.

plantar warts ketuat

Untuk mengelakkan jangkitan sepenuhnya memang sangat sukar kerana virus HPV mudah merebak dan menjangkiti kita. Virus itu mampu hinggap pada kita berbulan lamanya sebelum berjaya menemui jalan masuk akibat kesan calar pada kulit. Dalam memastikan anda tidak diserang ketuat, pastikan anda mengelakkan diri anda daripada terluka.

Orang lelaki yang mencukur juga haruslah bercukur dengan berhati-hati kerana mata bilah yang melukakan kulit, meninggikan lagi risiko serangan ketuat. Pastikan anda kerap mencuci tangan dan kaki, serta tidak membiarkan kedua-duanya berada dalam keadaan lembap. Tips paling kerap dikongsikan dalam mencegah ketuat adalah dengan mengamalkan pemakaian selipar ketika berada dalam bilik air.

Bagi kaum wanita, anda haruslah mengawasi kebersihan bahagian faraj anda. Sekiranya muncul serangan ketuat di faraj, jangkitan itu boleh merebak sehingga mengakibatkan kanser serviks.




Hakcipta iluminasi.com (2017)