Setiap minggu, ramai golongan yang bekerja termasuklah juga majikan akan melalui apa yang dikatakan sebagai sindrom 'Monday Blues' - rasa malas yang amat sangat nak memulakan kembali kerja selepas cuti dua hari diperuntukkan.
Harus diingati, 'Monday Blues' tidak terpakai di negeri Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor yang mempunyai cuti pada hari Jumaat dan Sabtu. Di sana mereka mengidap 'Sunday Blues.'
BESARKAN TEKS A- A+
Kenapa setiap minggu seorang pekerja kebiasaannya perlu menghabiskan jadual kerja 8 jam sehari, 40 jam seminggu, 5 hari seminggu dan diberikan waktu rehat dua hari? Pasti ada sejarah disebalik konsep itu kan? Inilah ceritanya.
Nasib golongan pekerja tertindas
Ramai sebenarnya yang tak gemar dengan jadual kerja seharian kita, tetapi apa nak buat - kita turutkan saja. Bagaimanapun, sebelum bermulanya jadual kerja 5 hari seminggu yang kita guna pakai sekarang - jadual kerja yang ada tidak mempunyai sebarang kawalan. Ini bermakna, majikan boleh memperkenalkan sebarang jenis waktu dan masa bekerja yang mereka rasakan sesuai - terpulang pada budi bicara majikan.
Selain daripada ketiadaan kawalan, majikan juga mengambil peluang menekan pekerja dengan beberapa taktik keji. Berikutan penciptaan jam yang menjadi pengukur masa standard, majikan mula memanipulasi jam di kilang-kilang, menyebabkan pekerja tidak menyedari mereka sedang kerja melebihi masa mereka.
Ada pekerja yang dikerah bekerja sehingga 100 jam seminggu dan perkara seperti itu menjadi satu kebiasaan. Berikutan ketiadaan gerakan menjaga hak pekerja, perbuatan itu berlarutan berlaku. Yang lebih menyedihkan, kanak-kanak ketika itu boleh dipaksa bekerja, kerana tiada undang-undang menghalang majikan mengambil pekerja di bawah umur.
Kebangkitan gerakan kelas bawahan
Hanya pada pertengahan abad ke 19, sekitar tahun 1866 muncul sebuah persatuan bernama National Labor Union (NLU) mendesak supaya perubahan dilakukan bagi melindungi hak pekerja. Desakan mereka yang utama adalah pengenalan tempoh kerja 8 jam sehari. Malangnya, permintaan mereka ditolak kerajaan Amerika Syarikat ketika itu.
Setahun berikutnya, negeri Illinois meluluskan permintaan NLU bagi semua majikan yang beroperasi dalam negeri tersebut. Ini menyebabkan majoriti majikan membantah peraturan tersebut dan reaksi ini mendapat tentangan daripada golongan pekerja. Bantahan besar-besaran golongan pekerja ini akhirnya mencetuskan rusuhan pada 1 Mei 1967, namun kerajaan Illinois menarik balik peraturan itu - memenangkan pihak majikan.
Rusuhan itu sehingga kini dikenang sebagai May Day, hari di mana golongan pekerja bangkit melawan kekejaman majikan. Sehingga kini sebenarnya kita menyambut May Day. Peristiwa yang berlaku di Illinois itu menjadi simbol kebangkitan golongan pekerja di seluruh dunia yang kita peringati melalui Hari Pekerja, disambut setiap 1 Mei.
Terima kasih perusuh kerana mencipta cuti di seluruh dunia!
Pengenalan peraturan 8 jam sehari secara lebih meluas
Beberapa peristiwa terus berlaku selepas itu, memberikan pengaruh kepada pembentukan peraturan ini.
Kerajaan Amerika Syarikat memperkenalkan peraturan kerja 8 jam sehari untuk penjawat awam, dengan harapan agar pihak swasta turut mengikuti inisiatif ini. Bagaimanapun, sambutan terhadapnya masih dingin.
Perjuangan golongan pekerja tidak pernah dihentikan dengan tarikh 1 Mei terus menjadi hari di mana rapat umum dan bantahan besar-besaran diadakan. Pada 1 Mei 1886, beratus ribu pekerja berhimpun meminta majikan bersetuju dengan perubahan diperkenalkan kerajaan. Berikutan jumlah yang terlalu ramai, rusuhan berlaku sehingga menyebabkan ada yang terbunuh.
Walaupun satu tragedi, perkara itu memaksa majikan berubah bila semakin banyak majikan mula melonggarkan peraturan jadual kerja mereka, membolehkan setiap pekerja hanya perlu bekerja 8 jam sehari. Bagaimanapun masih ramai yang diwajibkan bekerja 6 hari seminggu.
Selepas hampir 30 tahun memperjuangkan isu ini, Ford Motor Company pengeluar kereta pertama dunia menjadi pemangkin kepada penyelesaian isu tersebut. Ford Motor memperkenalkan peraturan jadual kerja 8 jam sehari dengan kerja 5 hari seminggu pada seluruh organisasi mereka pada 25 September 1926.
Pada asalnya, Ford Motor menggunakan jadual 48 jam seminggu, 8 jam sehari dengan 6 hari seminggu. Mereka menjadi syarikat pertama membuang satu hari daripada jadual kerja mereka, memperkenalkan kepada dunia konsep jadual kerja 40 jam seminggu.
Apa yang menarik, selepas penurunan tempoh wajib kerja - pekerja di Ford Motor didapati menjadi lebih produktif.
Kerja 5 hari mula diadaptasi di seluruh dunia
Ford Motor menjadi pemangkin, namun tempoh 12 tahun tetap diperlukan oleh Kerajaan Amerika Syarikat untuk memperkenalkan undang-undang serupa. Hanya pada tahun 1938, Kongres Amerika Syarikat memperkenalkan akta standard buruh yang menghadkan masa bekerja semua pekerja kepada 44 jam seminggu sebelum diperbaiki pada tahun 1940 menjadi 40 jam maksima.
Walau demikian, masyarakat dunia memerlukan masa juga untuk mengadaptasi jadual baru ini dalam sistem masyarakat mereka. Sekitar tahun 1955, cuti dua hari mula digunakan di Britain. Pada tahun 1970-an, kesemua negara Eropah berjaya memperkenalkan langkah serupa menghadkan masa bekerja kepada 40 jam.
Di negara kita, berikutan penjajahan British ketika itu - kita turut sama terasa tempiasnya. Akta Pekerja kita digubal pada tahun 1955, tahun sama Britain menggunakan undang-undang serupa di negara mereka. Namun undang-undang kita masih membenarkan majikan mengerahkan pekerja bekerja maksima 48 jam seminggu dengan tempoh 8 jam sehari maksima.
Tidak ada syarat lima hari wajib bekerja diletak dalam akta pekerjaan 1955, membolehkan majikan di negara kita mewajibkan pekerja mereka bekerja 6 hari seminggu, kerana itu masih selaras dengan garis panduan akta.
Pihak majikan juga rata-ratanya berpendapat, undang-undang ini adil berikutan jumlah cuti bergaji di negara kita yang agak banyak memerlukan pekerja tetap dibayar, walaupun sedang bercuti.