Kredit foto: klick.my & ohbulan.com

Percubaan sulung pelawak dan hos Jihan Muse menyanyi menerima respon positif daripada netizen.

Ini kerana mutu vokalnya dalam lagu berjudul 'Adiwarna' yang dimuatnaik di laman Youtube sejak tiga hari lalu itu, dikatakan mampu pergi jauh jika wanita ini memberi komitmen serius dalam bidang tersebut.

Bukan sahaja dipuji merdu, malah dikatakan setanding dengan penyanyi popular sedia ada. 

"Jihan sangat berbakat. Mengacara, berlakon, berlawak dan sekarang menyanyi. Dari orang hina dia, sampai sekarang saya masih setia menjadi peminatnya.

"Lagu yang sangat sedap dan suara Jihan pun merdu. Seronok kalau dengar dalam kereta lagu ni.

"Pertama kali dengar sampai sekarang terniang-niang lagu ini dalam kepala," antara beberapa komen jujur peminat di laman Youtube.

Video lirik karya gubahan Aiyad Sakti dan Ijoo Omar itu sehingga kini meraih hampir 200,00 tontonan.

Difahamkan, lagu ini dibuat khas untuk anak lelakinya yang lahir pada 25 Januari lalu, malah turut dimuatkan sebagai lagu tema program Hi Mommy Jihan.

Dalam pada itu, Jihan mengakui terpaksa merahsiakan projek lagu itu daripada rakannya, Nabil Ahmad dan Datuk Ramli MS kerana takut 'dihentam'.

Dalam masa sama, Jihan turut menegaskan bahawa rakaman itu hanya dibuat 'suka-suka', sekaligus meminta peminat berhenti meletakkan harapan tinggi untuk melihat dirinya menyanyi seperti dalam versi rakaman.

"Janganlah harapkan saya menyanyi macam dalam video itu sebab itu rakaman, sah-sah ada banyak tapisannya.

"Nyanyian 'live' saya masih seperti di Gegar Vaganza. Saya bukan penyanyi dan ini pun projek suka-suka dan hadiah untuk baby," jelasnya.

Katanya lagi, lagu itu dirakamkan ketika dia hamil lima bulan.

Proses rakaman di studio pula mengambil masa empat jam dan dibantu oleh penyanyi Ronnie Hussein selaku pelatih vokal.

"Dari pukul 10 malam hingga dua pagi di studio. Tukang jaga vokal adalah Ronnie Hussien dan terima kasih kepadanya kerana tidak berputus asa!," katanya.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)