Terdapat kira-kira 500 spesies ikan jerung di seluruh dunia. Jerung adalah spesies unik yang mempunyai kepelbagaian dalam strategi pembiakan mereka. Kebanyakan spesies ikan jerung melahirkan anaknya manakala sebahagian yang lain pula membiak secara bertelur.
Apabila merujuk kepada telur, kita akan terfikir objek berbentuk bulat atau bujur seperti telur ayam yang mungkin mengandungi embrio yang sedang berkembang.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, telur jerung adalah sangat berbeza berbanding telur haiwan lain yang anda kenali. Beberapa spesies haiwan ini menghasilkan telur yang mungkin pertama kali anda lihat. Walaupun berbentuk pelik tetapi ia mempunyai fungsinya yang tersendiri.
Bagaimana jerung membiak?
Semua jerung membiak melalui persenyawaan dalaman di mana sperma jerung jantan menyuburkan telur di dalam jerung betina. Jerung jantan mempunyai dua organ pembiakan berbentuk skrol yang dipanggil sebagai "klasper".
Otot pada organ klasper ini akan menggunakan air laut untuk mengepam dan melepaskan sperma jerung jantan ke dalam organ pembiakan jerung betina.
Jerung melahirkan anak
Seperti yang diterangkan di atas, sekitar 70% jerung membiak secara vivipariti iaitu melahirkan anak yang telah matang di dalam rahim ibunya manakala 30% lagi membiak secara ovipariti iaitu dengan cara bertelur.
Apa yang menariknya, sebahagian spesies jerung menghasilkan telur yang berbentuk unik dan berbeza berbanding spesies ikan lain.
Sebagai contoh, embrio spesies catshark membesar di dalam telur yang berbentuk panjang seperti kantung. Beberapa lagi spesies jerung yang mempunyai telur berbentuk aneh adalah bamboo shark, zebra shark dan bullhead shark.
Bagaimana telur unik ini terbentuk?
Boleh dikatakan, proses pembentukan telur jerung adalah mirip dengan proses pembungkusan keropok. Bahagian bawah plastik akan dicantumkan terlebih dahulu supaya menjadi kantung kepada keropok. Setelah keropok dimasukkan, bahagian atas pula dicantumkan.
Begitu juga dengan pembentukan telur jerung yang bermula dari bahagian bawah bersama-sama sulur seperti benang. Kulit telur ini diperbuat daripada keratin (protein) dan albumen (putih telur).
Kulit telur yang sedang terbentuk akan berkembang saiznya. Kemudian, telur akan disalurkan ke dalam dan disaluti albuman dan keratin. Apabila selesai, bahagian atas kantung telur ini akan ditutup tetapi mempunyai sulur yang terus terbentuk.
Proses pembentukan ini selesai apabila telur turun ke saluran ovum. Terdapat satu belahan kecil pada kulit telur yang membolehkan proses pernafasan berlaku.
Warna dan kelegapan kulit telur jerung bergantung pada usia telur. Kulit telur yang baru dihasilkan agak lutsinar dan mula menjadi lebih gelap dari masa ke masa. Kulit telur yang matang juga akan menjadi keras dan lebih berdaya tahan.
Mermaid's Purse dan Devil's Purse
Mermaid's Purse (dompet duyung) adalah istilah yang diberikan kepada telur sesetengah spesies jerung seperti swell shark, carpet shark dan angel shark. Ia kelihatan seperti sebuah kantung yang mengandungi telur yang disenyawakan.
Mermaid's Purse
Mermaid's Purse ini juga mengandungi kuning telur yang membekalkan nutrisi kepada janin. Biasanya, kapsul telur ini mengandungi satu embrio tetapi ada juga sebilangan kecil yang mempunyai beberapa embrio (kembar).
Kantung telur ini ditutup pada semua sisi tetapi mempunyai empat belahan kecil untuk pernafasan janin jerung ini. Beberapa jenis telur ini mempunyai sulur panjang bercantum dengannya dan menjadi penaham supaya melekat pada rumpai laut dan alga agar tidak dihanyutkan ombak.
Devil's Purse
Ada juga telur beberapa spesies jerung kelihatan seperti kantung bertanduk dan ia dikenali sebagai "Devil's Purse".
Telur berlingkar
Beberapa spesies jerung seperti bullhead shark dan horn shark pula mempunyai telur berbentuk seperti kon dengan rabung lingkaran. Horn shark boleh menghasilkan enam atau lebih telur ke dalam air pada satu-satu masa. Kulit telur yang berat ini akan tenggelam ke dasar laut.
Telur Horn Shark
Ibu jerung kemudian akan memutarkan telur ini ke dalam celah-celah batu atau pasir agar ia tidak dibawa arus. Telur jenis ini juga mempunyai sulur untuk memberikan sokongan tambahan.
Tidak seperti haiwan lain, horn shark tidak menjaga telur-telurnya. Mereka akan beredar setelah menghasilkan telur. Sebenarnya, mereka telah menyediakan makanan yang cukup bagi janin di dalam telur itu untuk makan dan membesar.
Banyak lagi sebenarnya spesies jerung yang mempunyai telur berbentuk unik. Berikut adalah beberapa lagi di antaranya.
Telur Australian Swell Shark
Telur Ghost Shark
Telur Zebra Shark