Sumber foto: BH Online
Jenazah guru Penolong Kanan Pendidikan Khas yang meninggal dunia di Daegu, Korea Selatan pada Sabtu lepas tiba dengan selamat di negara ini malam tadi.
Normala Abdullah (56 tahun) yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ehsan, Kepong, Kuala Lumpur, menghembuskan nafas terakhir sewaktu menyertai Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas di Korea.
Jenazah Normala tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat Korean Air penerbangan KE671 pada pukul 10.20 malam tadi. Jenazah selepas itu dibawa menaiki van jenazah ke rumahnya di Bandar Baru Sungai Buloh Fasa 1.
Antara yang mengiringi jenazah ialah ahli keluarga termasuk adiknya Zainal Abidin (54 tahun) dan anak sulung arwah, Muniratul Akmal Mohd Azaiuddin (31 tahun).
Menurut Zainal Abidin, jenazah kakaknya itu bakal dibawa ke Masjid Al Ikhwan, Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor bagi tujuan solat jenazah.
"Jenazah kemudian akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Sungai Buloh Fasa 1 untuk dikebumikan kira-kira jam 9.30 pagi esok (hari ini).
"Alhamdulillah, semua proses semasa membawa balik jenazah arwah kakak berjalan dengan lancar dan tiada sebarang masalah berlaku," ujarnya.
Pada Sabtu lepas, Normala meninggal dunia setelah pengsan sewaktu meninggalkan lif hotel penginapannya, Piano Hotel, pada pukul 10.45 malam waktu tempatan.
Sumber berita: BH Online