Oleh pada 28 Feb 2018 kategori

jangan gunakan kad kredit untuk 5 perkara ini

Kad kredit dianggap sebagai satu alternatif memudahkan hidup kita dimana pembelian dengan hanya satu leretan. Malah, ia amat berguna jika anda mahu membeli sesuatu yang mahal, tanpa perlu membawa wang tunai yang banyak.

Tapi tahukah anda ia juga merupakan satu perangkap dalam senyap. Ramai yang bergelar muflis disebabkan bahana kad kredit. iluminasi.com kongsikan 5 perkara yang anda tidak digalakkan menggunakan kad kredit.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Wang pendahuluan membeli kereta

jangan gunakan kad kredit untuk pendahuluan kereta

Pengunaan kad kredit untuk tujuan ini amatlah tidak digalakkan. Ia merupakan satu petanda bahawa anda sebenarnya tidak mampu jika anda memerlukan dua jenis pembiayaan iaitu kad kredit dan pinjaman sewa beli, untuk membeli sesuatu.

Faedah yang dikenakan sangat tinggi bagi kedua-dua pembiayaan ini dan anda hanya akan menambahkan hutang anda. Pilihan yang bijak aalah mencari pinjaman tanpa pembayaran muka yang ditawarkan bagi banyak model kereta yang lain.

Alternatif lain adalah dengan menyemak pelan pembiayaan yang membolehkan anda mula membayar dengan kadar yang rendah dan semakin bertambah di kemudian hari apabila gaji anda bertambah.

2. Bil perubatan

jangan gunakan kad kredit untuk bil perubatan

Ya, penggunaan kredit kad untuk membayar bil perubatan hanyalah berbaloi kerana anda mempunyai penyata yang boleh disemak jika anda ingin menuntut pelepasan. Namun, bil perubatan biasanya sangat tinggi serta mempunyai faedah. Jika anda tak bayar tepat pada masa, jumlahnya akan makin bertambah.

Alternatif kepada membayar bil perubatan menggunakan kad kredit adalah membuat pengeluaran EPF. Jadi anda tak perlu risau tentang faedah yang semakin bertambah.

Namun, kaedah yang paling baik adalah mempunyai insurans perubatan memandangkan kos perubatan kini yang semakin meningkat.

3. Pembiayaan pinjaman rumah

jangan gunakan kad kredit untuk pembiayaan rumah

Seperti membeli kereta, sama juga dengan situasi membeli rumah. Bagi anda yang mendapat pinjaman ansuran rumah kurang daripada yang diperlukan, anda mungkin terfikir untuk menggunakan kad kredit sebagai penambah. 

Ya, memang boleh, namun jika anda tak mampu membayar bil kad kredit mengikut tempoh yang diberikan, anda bukan sahaja terperangkap dengan satu tetapi dua pinjaman yang berfaedah.

Hutang anda akan makin bertambah dan akhirnya akan memberikan kerunsingan. Lebih buruk, status kewangan anda mungkin akan disenarai hitam. Cara terbaik adalah menggunakan EPF bagi mengurangkan pinjaman anda.

4. Majlis perkahwinan

jangan gunakan kad kredit untuk perbelanjaan kahwin

Ini merupakan antara salah satu masalah yang tak perlu dihadapi sebenarnya. Siapa tak mahu perkahwinan yang mewah yang membuatkan orang lain memuji kan? Alasan mereka adalah hanya sekali seumur hidup. Namun, kemampuan mereka jarang diendahkan.

Memang nampak gah apabila membayar segala persediaan perkahwinan menggunakan kad kredit, namun jika anda tidak memantau penggunaannya, akan membawa padah di kemudian hari.

Malah, pinjaman peribadi pun tak digalakkan dipohon bagi melangsungkan perkahwinan, kerana ia membuatkan anda lebih bernafsu untuk meminjam.

Adalah lebih baik jika melangsungkan perkahwinan dengan apa yang mampu, dan lebihan wang boleh digunakan bagi menjalani kehidupan selepas berkahwin. 

Terdapat kes di mana pasangan bercerai walhal pinjaman peribadi untuk perkahwinan belum habis dijelaskan. Berbaloikah?

5. Pembiayaan perniagaan

jangan gunakan kad kredit untuk perbelanjaan perniagaan

Dikala ekonomi yang semakin menekan, ramai yang cuba untuk berniaga bagi menampung kehidupan. Ada yang mempunyai idea memulakan perniagaan kecil-kecilan namun tidak mempunyai modal yang cukup.

Perlu diingatkan penggunaan kad kredit sepatutnya menjadi jalan terakhir. Hutang anda akan menjadi bertimbun jika tidak digunakan dengan berhati-hati membiayai perbelanjaan perniagaan.

Malah, perniagaan anda pula tidak tentu akan memberikan pulangan yang mampu untuk membayar kad kredit, membuatkan anda gagal membayar tepat pada masa. Akibatnya, faedah akan dikenakan dan berakhir dengan hutang yang tak mampu dibayar.

pantang larang memiliki kad kredit

Pilihan yang baik adalah memohon pinjaman peribadi atau perniagaan dengan faedah yang rendah. Jika mampu, lebih baik gunakan wang simpanan, walaupun sedikit, mulakan perniagaan dari bawah. Ia lebih selamat.

Rujukan:

1. Ringgit Plus

2. Forbes

3. CNBC




Hakcipta iluminasi.com (2017)