Istana Potala adalah sebuah istana purba yang terletak di Lhasa, ibu kota Tibet. Suatu masa dahulu istana ini pernah menjadi Istana Musim Sejuk buat Dalai Lama, serta pihak kerajaan Tibet.
Di samping itu, Istana Potala ini juga dianggap sebagai simbol kepada Buddhisme Tibet seiring dengan sistem pemerintahan teokratik tradisionalnya. Apa yang lebih menarik mengenai Istana Potala ini ialah, ia merupakan istana paling tinggi dibina di dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
Lokasi dengan pemandangan menakjubkan
Istana Potala terletak di atas puncak Bukit Marpo Ri (yang bermaksud Gunung Merah). Ia menghadap Lembah Lhasa dari ketinggian 130 meter. Menurut legenda, terdapat sebuah gua suci di dalam bukit ini yang pernah menjadi tempat kediaman Avalokiteśvara yang juga dikenali sebagai 'Chenrezi' di Tibet.
Cherenzi adalah seorang bodhisattva yang merupakan kewujudan semula semua Buddha. Selain itu, Maharaja Songsten Gampo juga dipercayai pernah menggunakan gua ini sebagai tempat pertapaannya.
Semasa pemerintahan maharaja ini sekitar 637 Masihi, Istana Potala merupakan istana yang pertama dibina di atas Bukit Marpo Ri. Salah satu sumber menyatakan bahawa maharaja itu membina Istana Potala supaya dia dapat menyambut pengantin perempuannya iaitu Puteri Wencheng dari China.
Tempat rehat musim sejuk Dalai Lama
Lukisan Dalai Lama Ngawang Lobsang Gyatso
Walau bagaimanapun, struktur Istana Potala yang ada kini hanya dibina semasa pemerintahan Dalai Lama yang kelima iaitu Ngawang Lobsang Gyatso pada kurun ke-17. Pembinaan struktur baru istana itu bermula pada tahun 1645. Tiga tahun kemudian, Istana Putih yang digunakan oleh Dalai Lama sebagai tempat istirehat musim sejuk itu siap dibina.
Untuk keseluruhan struktur itu pula, ia mengambil masa selama beberapa dekad untuk disiapkan. Sebagai contoh, Istana Merah yang didedikasikan sebagai tempat untuk pengajian Buddhisme dan tempat berdoa hanya siap dibina pada tahun 1694.
Dalai Lama yang kelima itu tidak hidup cukup lama untuk melihat sendiri penyempurnaan pembinaan istana ini kerana ia mati pada tahun 1682. Berikutan kematian Dalai Lama yang kelima itu, para sami yang lain berasa bimbang sekiranya projek pembinaan Istana Potala itu akan tergendala.
Mereka memutuskan untuk merahsiakan kematian Dalai Lama Ngawang Lobsang Gyatso selama hampir 10 tahun sehinggalah Istana Merah selesai dibina. Ketika itu, salah seorang sami di situ yang kelihatan seiras Dalai Lama kelima itu telah ditugaskan untuk berlakon sebagai Dalai Lama yang palsu.
Penjajahan China
Pada tahun 1959, satu gerakan yang digelar sebagai Pemberontakan Tibet telah berlaku terhadap kerajaan negara China. Apabila pemberontakan itu gagal, Dalai Lama ke-14 iaitu Tenzin Gyatso telah melarikan diri ke India.
Sejak daripada itu, Istana Potala tidak lagi menjadi tempat kediaman Dalai Lama. Semasa tahun 1960-an dan 70-an, banyak struktur keagamaan di Tibet menjadi mangsa kemusnahan kepada tentera Pengawal Merah (Red Guards) yang fanatik semasa berlakunya Revolusi Kebudayaan.
Namun, Istana Potala telah terselamat daripada ikonoklasma ini kerana ia dilindungi oleh tentera Perdana Menteri Zhou Enlai sendiri. Istana Potala akhirnya telah diubah oleh kerajaan China menjadi muzium negeri. Hari ini, ia menjadi tapak penziarah yang penting serta dinamakan oleh UNESCO sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia.
Pembinaan yang mengagumkan
Salah satu kehebatan Istana Potala adalah seni binanya yang terkenal dan merupakan masterpiece dalam kelasnya yang tersendiri. Keseluruhan binaan istana itu diperbuat daripada gabungan kayu dan batu. Istana itu mengandungi lebih daripada 1000 buah bilik termasuk gereja dan dewannya sendiri.
Istana Potala ini juga menempatkan banyak karya-karya seni yang akan membuatkan pengunjung kagum. Ia termasuk patung-patung Buddha, barang-barangan antik serta mural.
Apa yang lebih mengagumkan ialah mural yang menghiasi dinding Istana Potala ini, yang mengambarkan peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah tibet dan kisah-kisah daripada kehidupan Dalai Lama sebelumnya.
Stupa Dalai Lama Kelima
Makam yang menempatkan lapan daripada Dalai Lama terdahulu yang terletak di Istana Merah juga merupakan salah satu tarikan pelancong yang mengagumkan. Selain itu, terdapat badan mumifikasi Dalai Lama kelima yang diabadikan dalam stupa (struktur berbentuk kubah) di bahagian barat Istana Merah.
Stupa itu adalah bersai 5 tingkat tinggi dan diliputi oleh lebih daripada empat tan emas serta bertatahkan sejumlah besar batu permata yang berharga.
Rujukan:
1. Sacred Sites
4. UNESCO