Bahasa Melayu adalah bahasa yang sangat unik dan mempunyai keisitimewaan tersendiri. Keunikan bahasa ibunda kita antaranya terletak di sebalik penggunaan simpulan bahasa dan juga peribahasa.
Kedua-dua ini digunakan oleh orang-orang dahulu untuk memaksudkan sesuatu secara berkias.
Ia masih digunakan sehingga kini, namun hanya sesetengah peribahasa sahaja yang digunakan dan masih terdapat banyak peribahasa yang kita tak pernah diketahui. iluminasi.com ingin kongsikan 70 peribahasa yang sangat jarang didengari.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Bagai kucing dibawakan lidi
Maksud : Berlari kerana ketakutan
2. Seperti katak disimbah air
Maksud : Seseorang yang tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan
3. Ular menyusur akar, takkan hilang bisanya
Maksud : Orang besar yang merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya
4. Adat gajah terdorong
Maksud : Orang yang berkuasa sering menyalah gunakan kuasanya
5. Akal labah-labah, di gua buruk suka merakut
Maksud : Orang jahat yang suka menipu orang
6. Air keruh, ikan limbat keluar
Maksud : Apabila berlaku keadaan kacau bilau atau huru-hara, orang jahat akan mencari untung
7. Alim bagai katak di tepi air
Maksud : Mempunyai banyak ilmu tetapi ilmu itu tidak mendatangkan faedah kepada dirinya
8. Yang tinggi tampak jauh, yang dekat julung bersua
Maksud: Dalam sesuatu usaha, pemimpinlah yang bertanggungjawab dan dialah yang mendapat pujian atau celaan
9. Asal terbang burunglah, asal insang ikanlah
Maksud: Tidak memilih-milih
10. Awak tikus, hendak menampar kepala kucing
Maksud: Ingin melakukan sesuatu tapi tidak berdaya
11. Bagai kacang direbus satu
Maksud: Melonjak-lonjak kegirangan kerana mendapat untung
12. Bagai jawi terkurung siang
Maksud: Sangat gelisah kerana tidak bebas.
13. Bagai jawi belang puntung: didahulukan dia menyepak, dikemudiankan dia menanduk
Maksud: Orang bodoh yang tidak dapat diajak berunding (belang puntung = merah kehitam-hitaman, jawi = lembu)
14. Bagai ilak bercerai dengan benang
Maksud: Bercerai untuk selama-lamanya (ilak = ukuran untuk menentukan lebar kain yang akan ditenun)
15. Bagai haruan di dalam tuar
Maksud: Tidak tetap keadaannya, kerana sakit atau susah (tuar = lukah)
16. Bagai hantu makan dedak
Maksud: Bersungut-sungut dengan tiada tentu sebabnya
17. Bagai getah dibawa ke semak
Maksud: Perkara yang semakin kusut dan susah menyelesaikannya.
18. Bukannya diretak panas
Maksud: Sesuatu kejadian itu berlaku kerana terlalu banyak diperkatakan orang
19. Buka mata pasang telinga, tutup mulut simpan di hati
Maksud: Sesuatu perkara yang tidak ada sangkut-paut dengan kita, boleh juga dilihat dan didengar, tetapi jangan dicampuri mulut
20. Bingung tengkar, cerdik begar
Maksud: Orang-orang yang sukar diajak muafakat (tengkar = bantah, begar = susah, keras)
21. Bertegang urat leher, berkeras buku lidah
Maksud: Tidak mahu mengalah
22. Bertampar biar sama bercincin, bertendang biar sama bersepatu, bercakar biar sama bercanggai
Maksud: Mencari lawan biarlah dengan orang yang sepadan dengan kita (canggai = kuku buatan)
23. Bersukat darah, bertimbang daging
Maksud: Melawan sampai mati
24. Bila pula biawak duduk?
Maksud: Pertanyaan untuk sesuatu yang mustahil
25. Ya sepanjang hari, janji sepanjang jalan
Maksud: Mudah membuat janji tapi sukar melaksanakan
26. Anak kuda bulu kasap
Maksud : Anak muda yang tidak tahu susah
27. Yang tajam tumpul, yang bisa tawar
Maksud: Segala persengketaan dapat diselesaikan dengan perbincangan dan perkataan yang lemah lembut
28. Yang pekak pelepas bedil, yang buta pengembus lesung, yang bisu penggera ayam, yang lumpuh penghuni rumah
Maksud: Setiap orang ada fungsinya
29. Yang berbaris, yang berpahat; yang bertakuk, yang bertebang
Maksud: Kerja ikut peraturan
30. Yang berpuru selalu hendak menggaru
Maksud: orang yang bersalah tidak pernah tenang hatinya.
31. Yang buntal kutil-mengutil, yang jerung luluh-meluluh
Maksud: Yang miskin hidup berjimat-cermat, yang kaya boros berbelanja
32. Yang disangka tidak menjadi, yang diam boleh ke dia
Maksud: Seorang yang telah bertunang, akhirnya orang lain yang berkahwin dengan tunangnya
33. Yang disuruh tenggelam, yang menyuruh pun tenggelam
Maksud: Yang malas disuruh mengawasi yang malas juga, akhirnya sia-sia sahaja
34. Walau disepuh emas lancung, kilat tembaga tampak jua
Maksud: Walau bagaimana sekalipun orang biadap diajar, akan kelihatan juga perangainya yang kurang baik
35. Usir asap, meninggalkan api
Maksud: Mengharap untung besar yang belum pasti, dibuang untung kecil yang ada
36. Untung tak dapat diraih, malang tak dapat ditolak
Maksud: Nasib tidak dapat diubah
37. Upah bidan pun tidak berbayar
Maksud: anak-anak nakal yang menyusahkan ibu-bapanya
38. Terenang-renang tak hanyut, terapung-apung tak timbul
Maksud: Nampak sibuk bekerja tapi hasilnya tak seberapa
39. Terdorong kaki badan merasa, terdorong lidah emas padahnya
Maksud: Berbuat sesuatu mestilah berhati-hati
40. Terendam sama basah, terampai sama kering
Maksud: Perhubungan yang sangat karib
41. Terdorong gajah kerana besarnya
Maksud: Malang kerana kelebihannya
42. Terbuka mulut, terpancut hati
Maksud: Orang yang banyak bercakap, tak pandai menyimpan rahsia
43. Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud: Sangat sedih atau kecewa
44. Kepala ke bawah, kaki ke atas
Maksud: Orang yang selalu sibuk bekerja tak henti-henti siang malam
45. Mati puyuh hendakkan ekor
Maksud: Ingin mendapat sesuatu yang tidak mungkin tercapai
46. Tak dahaga si penunggu telaga
Maksud: Berkawan dengan orang pandai tak akan susah
47. Mati enau tinggal di rimba
Maksud: Orang yang hina jika mati tidak akan disebut orang lagi
48. Laksana pohon kayu tidak berbuah
Maksud: Ilmu yang ada tidak digunakan
49. Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud: Orang lelaki yang merisik bakal isterinya
50. Bagai belacan dikerat dua: yang pergi busuk, yang tinggal hanyir
Maksud: Perkara yang mendatangkan aib kepada kedua-dua belah pihak
51. Apa sakit berbini janda, anak tiri boleh disuruh
Maksud: Alasan yang berlawanan dengan maksud yang sebenarnya.
52. Dari telaga yang jernih, tak akan mengalir air yang keruh
Maksud: Daripada sifat yang mulia, tak akan lahir budi bahasa yang kasar
53. Laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak
Maksud: Orang yang elok dan tampan tetapi tidak berbudi bahasa atau biadab
54. Batu pun empuk, jangankan hati manusia
Maksud: Perkataan yang lemak manis dapat menawan hati yang keras
55. Seberapa panjang sarung, begitulah panjang matanya
Maksud: Perangai (perkataan) yang baik atau jahat menunjukkan sedikit banyaknya ilmu seseorang
56. Umpama semut mempersembahkan paha belalang kepada raja
Maksud:Pemberian yang tidak ada ertinya
57. Ada beras, taruh dalam padi
Maksud: Rahsia hendaklah disimpan baik-baik
58. Sampai bersalam, pulang berterajang
Maksud: Masuk ke negeri orang dengan nama yang baik, tetapi pulang dengan nama yang jahat
59. Sayangkan kain, buangkan baju; sayangkan lain, buangkan aku
Maksud: Isteri yang mencari kekasih lain
60. Buat di alang tahun, belayar di luar musim
Maksud: Melakukan sesuatu salah masa
61. Bersihkan halaman sendiri dulu, baru bersihkan halaman orang
Maksud: Urus hal sendiri dahulu baru urus hal orang
62. Kalau kerbau sekawan dapat dikawali, manusia seorang tiada dapat dimaklumi
Maksud: Sangatlah sukar untuk menghadapi manusia kerana tiap-tiap orang berlainan pendapatnya
63. Dikacak betis sudah bak betis, dikacak lengan sudah bak lengan
Maksud: Orang yang menyangka dirinya telah cukup kuat (tentang wang atau akal) sehingga tidak perlu meminta bantuan daripada orang lain lagi
64. Longgar sendat lapang bertukul
Maksud: Hanya berpura-pura menerima sesuatu kebenaran tetapi sebenarnya tidak
65. Segigi tajam bertimbal, nak hujung pangkal menjelma
Maksud: Orang yang mempunyai dua pendirian
66. Jangan menumbuk di periuk, bertanak di lesung
Maksud: Jangan berbuat sesuatu pekerjaan yang menyalahi kebiasaan
67. Di mana tumbuh, di situ disiang
Maksud: Jika terjadi suatu perkara atau perselisihan, hendaklah diperiksa dan diselesaikan di situ juga
68. Enak lauk dikunyah-kunyah, enak kata diulang-ulang
Maksud: Nasihat yang baik perlu diulang-ulang menyebutnya
69. Ingat ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencocok, duri yang akan mengait
Maksud: Hendaklah selalu beringat tentang segala bahaya dan rintangan ketika melakukan sesuatu pekerjaan
70. Intan dikalungkan di leher anjing
Maksud: Memberikan sesuatu (barang, nasihat) kepada orang yang tidak mahu atau bukan pada tempatnya
Rujukan:
1. itla4amthal
2. Peribahasa
3. Kujie2
4. Malay Arts
5. Sam Senangje