Bagi peminat Formula 1 mahupun yang hanya menonton sekadar suka-suka, anda pastinya tahu bahawa kereta F1 tidak menggunakan kokpit tertutup.
Jika kita fikirkan tentang kelajuan pecutan kereta F1, pastinya apa-apa serpihan kecil sahaja sudah cukup untuk menyebabkan kecederaan teruk.
Jadi, mengapa kereta F1 tidak menggunakan kokpit tertutup?
Untuk menjawab persoalan ini kita perlu kembali ke masa di mana F1 pertama kali mengumumkan bahawa mereka akan menggunakan "halo".
BESARKAN TEKS A- A+
(Kereta Formula 1 dengan peranti halo)
Halo adalah sistem perlindungan kemalangan pemandu yang digunakan pada ketika ini dalam siri perlumbaan terbuka seperti F1.
Halo terdiri daripada palang melengkung pada bahagian hadapan kereta bertujuan untuk melindungi kepala pemandu. Walaupun ada yang menyukai idea ini, ia tidak terlepas daripada mendapat kritikan yang agak hebat.
Namun, jelas sekali kita perlu bersetuju bahawa halo adalah antara salah satu keputusan terbaik yang pernah dibuat oleh F1.
Ia telah melindungi pemandu dari kemalangan yang boleh membawa maut, dari Charles Leclerc dalam 2018 Belgian Grand Prix hinggalah kepada Romain Grosjean di Bahrain pada tahun lalu.
Tetapi persoalannya adalah mengapa F1 memilih reka bentuk halo sedangkan terdapat beberapa lagi alternatif lain?
Keputusan sukar oleh FIA
Pertama sekali perlu diketahui bahawa keputusan ini bukanlah dibuat dengan mudah dan cepat oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Idea alat perlindungan kokpit telah dibincangkan selama bertahun-tahun dalam komuniti sukan permotoran terutama dalam kejuaraan seperti F1 dan IndyCar.
Pada tahun 2011, jurutera F1 menguji idea kanopi jet pejuang dengan bantuan dari FIA.
Ketika idea ini di awal ujian, pemandu terakhir yang mengalami trauma kepala yang teruk akibat serpihan objek dalam F1 adalah Felipe Massa.
Massa dihentam oleh spring yang longgar dari kereta Rubens Barrichello dalam kemalangan teruk ketika aksi melayakkan diri ke Grand Prix Hungary 2009.
Malah pada tahun 2009, semasa perbincangan mengenai kokpit tertutup berlangsung, banyak persoalan telah diajukan.
Antaranya adalah bolehkah pemandu dari kokpit dengan sendiri? Adakah strukturnya cukup kuat?
Apa yang akan berlaku sekiranya berlaku kebakaran? Bolehkah struktur ini runtuh ke atas pemandu? Dan adakah ini akan menyukarkan proses mengeluarkan seseorang dari kokpit oleh Marshall?
Ujian kokpit tertutup dilakukan
Kembali ke tahun 2011, FIA menjalankan 2 ujian untuk meneroka pilihan yang tersedia berkaitan dengan idea kokpit tertutup.
Ujian pertama melibatkan cermin hadapan polikarbonat dan eksperimen kedua menggunakan kanopi jet pejuang yang diperbuat daripada polikarbonat berspesifikasi aeroangkasa, di mana kedua-dua bahan ini adalah sangat kuat.
Semasa ujian-ujian tersebut dijalankan, pemasangan yang tepat seperti kereta F1 sebenar dibuat dan tayar F1 "ditembak" ke arah struktur tersebut pada kelajuan 225 kilometer sejam.
Ujian pertama melihatkan cermin hadapan mengalami kerosakan yang teruk semasa ujian walaupun berjaya menghalang tayar daripada menghentam tempat duduk pemandu.
Namun, ujian kanopi jet pejuang dianggap sebagai sangat berjaya kerana mampu mengelakkan pemandu daripada dihentam tayar dan kerosakan yang berlaku pada kanopi tersebut adalah sangat minimum.
Kerja-kerja pembaikan terhadap alternatif ini diteruskan pada tahun berikutnya dengan eksperimen yang sama dijalankan dengan reka bentuk "roll hoop" yang setanding dengan halo hari ini.
Reka bentuk hodoh
(Reka bentuk "roll hoop")
Walau bagaimanapun, apabila struktur roll hoop ini dibentangkan kepada kumpulan strategi F1 pada tahun 2013, idea ini dikritik teruk kerana rupa bentuknya yang sangat hodoh dan projek ini dihentikan.
Dan hanya setahun kemudian, dunia F1 dikejutkan dengan kemalangan yang membawa kepada kematian pemandu Perancis iaitu Jules Bianchi.
Walaupun siasatan memutuskan bahawa reka bentuk kokpit tertutup pun tidak akan mampu untuk menyelamatkan nyawa Bianchi semasa Grand Prix Jepun 2014 tersebut, tidak diragui bahawa ramai yang bersetuju dengan idea bahawa perlunya kokpit tertutup s erta mencegah kemalangan seterusnya.
Beberapa minggu selepas kematian Bianchi, bintang IndyCar iaitu Justin Wilson pula terbunuh selepas serpihan objek mengenai topi keledarnya pada 2015 ABC Supply 500.
Ketika inilah baru wujudnya rasa yang sangat mendesak dari komuniti sukan permotoran bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikan kejadian seperti ini berlaku lagi.
Halo mula diuji
Pada tahun berikutnya, peranti halo pertama diuji pada sebuah kereta F1 dalam ujian pra musim.
Pada mulanya, ia ditolak untuk digunakan pada musim 2017 selepas pasukan dan pemandu bimbang halo akan mengganggu pandangan.
Namun bermula dari tahun 2018, perubahan telah dilakukan dan pengginaan halo adalah diwajibkan.
Teknologi Red Bull juga membantu menghasilkan cermin depan pada tahun 2016 yang serupa dengan kanopi jet pejuang yang diuji oleh FIA lima tahun sebelumnya.
Akan tetapi, ia tidak diterima oleh F1. Mengapa? Apa yang kita tahu adalah ia bukanlah kerana alat perlindungan kokpit ini dianggap tidak selamat.
Malah, IndyCar bekerjasama dengan Red Bull melibatkan reka bentuk ini pada tahun 2020 dan kini menggunakannya dalam kejuaraan mereka untuk memastikan pemandu dilindungi yang rata-rata mencapai kelajuan sekitar 252 kilometer sejam dalam acara seperti Indy 500.
Peranti kokpit tertutup yang kini digunakan oleh IndyCar hampir-hampir seperti kacukan antara kanopi dan halo.
Reka bentuk seperti ini yang mempunyai cermin hadapan mampu menghalang serpihan objek dan cukup kuat untuk memantulkan objek lebih besar seperti spring atau tayar.
Secara keseluruhan, struktur ini boleh menahan daya melebihi 15 tan.
Prototaip aeroskrin asal yang diuji semasa FP1 di Sochi pada tahun 2016 tidak mempunyai sokongan tambahan halo seperti mana ada pada IndyCar.
Malah, ketika lakonan semula digital dari Grand Prix Belgium 2018 yang berlaku melibatkan Alonzo dan Charles Leclerc dibuat menggunakan reka bentuk aeroskrin yang serupa, diputuskan bahawa peranti sedemikian hanya akan memberikan perlindungan sebanyak 10% sahaja berbanding apa yang diberikan oleh peranti halo kepada Leclerc.
Masalah kokpit tertutup
Penyelesaian yang diambil oleh IndyCar untuk menggunakan kokpit tertutup dengan memasangkan skrin jet pejuang pada kereta mereka bukanlah sesuatu yang mudah. Ia sangat sukar, malah mempunyai satu masalah besar iaitu penyejukan.
Seperti yang kita tahu, memandu dengan kelajuan dahsyat ini akan membuatkan angin terasa sangat kuat dan sejuk.
Namun apabila skrin dipasang, udara segar ini tidak lagi dirasai oleh pemandu, membuatkan pemandu berasa seperti berada dalam sauna dan bukannya dalam kereta lumba.
Malah bukan kepala pemandu sahaja yang memerlukan angin, tetapi bahagian badan dan kaki juga perlu berada dalam suhu yang sesuai sepanjang perlumbaan.
Ketika menguji alternatif pada perlumbaan tahun lalu, reka bentuk "nostril" atau lubang hidung digunakan untuk mengalirkan udara kepada pemandu. Malah, IndyCar mencipta sistem lain yang mengambil udara dan mengalirkannya melalui hos ke topi keledar pemandu.
IndyCar juga membenarkan pasukan mengubah suai kanopi dengan saluran penyejuk di kedua-dua sisi skrin, dengan sekurang-kurangnya salah satu dari saluran ini mesti disalurkan ke topi keledar pemandu dan yang satu lagi boleh disalurkan ke mana-mana bahagian mengikut pilihan pasukan.
Skrin ini juga boleh dipasang atau dibuang dalam tempoh 15 minit untuk membantu mengeluarkan pemandu dari tempat duduk atau hanya untuk penyelenggaraan asas.
Jadi, apa yang dilakukan oleh F1 dengan idea ini?
Kedua-dua reka bentuk ini sesuai untuk kejuaraan pilihan IndyCar dan F1. Dari segi perlindungan keseluruhan, boleh dikatakan bahawa pilihan kokpit IndyCar adalah lebih selamat berbanding F1.
Namun buat masa ini, F1 masih memilih dan mesti meneruskan penggunaan reka bentuk halo kerana ia dianggap yang terbaik dari segala aspek keselamatan dan keselesaan.
Dan dengan peraturan baharu yang akan berkuatkuasa tahun 2022, reka bentuk perlindungan kokpit generasi kedua bakal menyusul.
Rujukan:
1. Red Bull
3. WTF1
4. Wired