Apabila ingin mengambil lesen memandu di Malaysia, antara ujian yang wajib diambil oleh setiap calon adalah ujian rabun warna. Mengikut undang-undang di Malaysia, seseorang yang rabun warna tidak dibenarkan mengambil lesen dan memandu di jalan raya.

Walaupun ujian rabun warna nampak mudah, terdapat kisah menarik mengenai ujian ini yang dahulunya dicipta sebagai ujian penyelidikan senjata yang dikenali sebagai Ujian Ichihara. Perkara ini pernah kami tulis dahulu dalam Sejarah Ujian Rabun Warna.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Larangan memandu ini mempunyai alasan yang kukuh memandangkan kekeliruan membezakan warna ini boleh mengakibatkan kemalangan disebabkan tidak mampu membezakan warna lampu trafik dan papan tanda jalan raya. 

Pernahkah anda terfikir apakah warna yang sebenarnya dilihat oleh seseorang individuu yang mempunyai masalah rabun warna ini? Tahukah anda bahawa terdapat beberapa jenis rabun warna dan setiap satunya menghasilkan visual atau warna yang berbeza kepada seseorang individu tersebut?

Salah faham mengenai rabun warna

buta warna

Buta atau rabun warna adalah keadaan yang sering disalah fahami. Ramai orang yang menganggap "buta warna" bermaksud seseorang itu hanya dapat melihat dalam warna hitam dan putih. Sebenarnya, sebilangan besar orang dengan buta warna melihat warna, tetapi mereka melihat dalam julat warna yang jauh lebih kecil daripada manusia biasa.

Dianggarkan bahawa seseorang dengan penglihatan warna normal dapat melihat hingga 1 juta warna yang berbeza tetapi orang yang buta warna dapat melihat hanya 10 ribu warna, iaitu hanya 1% dari julat normal.

Jadi, apakah kesan sebenar buta warna pada penglihatan? Gejala utama yang dialami oleh orang buta warna adalah kekeliruan warna. Ringkasnya, kekeliruan warna adalah ketika seseorang secara keliru mengenal pasti warna, misalnya memanggil sesuatu yang berwarna oren walhal sebenarnya berwarna hijau.

Rabun warna terjadi disebabkan oleh perubahan atau pengurangan kepekaan satu atau lebih sel kon yang mempunyai sensitiviti terhadap cahaya pada mata. Mata manusia mengandungi berjuta-juta sel kon yang bekerjasama untuk menterjemahkan cahaya menjadi isyarat saraf yang dihantar saraf optik ke otak, membolehkannya mengenalpasti sesuatu warna. 

Masalah seharian yang dihadapi pesakit rabun warna 

buta warna lampu isyarat 463

Kekeliruan warna boleh mewujudkan banyak masalah dalam kehidupan seharian antaranya padanan pilihan warna pakaian yang tidak sesuai, penamaan warna yang salah dan kesukaran menafsirkan maklumat berkod warna seperti carta, grafik dan peta yang mungkin disalahertikan sebagai gangguan pembelajaran pada awal pendidikan. 

Tugas lain yang boleh menyukarkan individu yang mempunyai rabun warna adalah memandu kereta. Bagi orang yang buta warna, cahaya hijau cenderung kelihatan seperti hijau pucat atau hampir putih, dan cahaya merah mungkin kelihatan lebih dekat dengan oren.

Akibat daripada masalah mengenalpasti warna ini, pemandu rabun warna sering mengatakan bahawa mereka lebih fokus pada kedudukan lampu isyarat daripada warna sebenarnya. Masalah juga timbul apabila lampu isyarat mempunyai orientasi berbeza daripada konfigurasi menegaknya yang biasa.

Sekiranya anda menemui pemandu yang ragu-ragu atau memperlahankan kenderaan ketika lampu hijau, terdapat kemungkinan bahawa mereka mungkin pemandu buta warna yang terkeliru dengan warna yang dilihat. 

Mereka yang buta warna juga tidak dapat melihat pemandangan menarik ketika matahari terbenam. Keunikan warna merah merah jambu, kuning, ungu, merah dan oren ketika peristiwa matahari terbenam tidak dapat dilihat oleh individiu yang rabun warna.

Kedudukan cahaya matahari terbenam yang lebih rendah bercampur dengan kehadiran warna merah pada kebanyakan warnanya menjadikan kejadian matahari terbenam kelihatan hambar dan warnanya agak seakan-akan sama melintasi langit. Mereka yang buta warna tidak dapat melihat lapisan warna-warna ini.

Faktor-faktor terjadinya rabun warna

salah faham rabun warna

Antara faktor utama rabun warna adalah faktor kongenital atau masalah yang wujud sejak kelahiran. Perkara ini terjadi akibat pembawaan genetik dan keturunan.

Tahap keseriusan rabun warna juga berbeza antara individu dimana ada individu yang langsung tidak dapat mengecam sebarang warna, ada yang tidak dapat mengecam warna merah dan hijau dan ada antaranya yang tidak dapat membezakan warna biru dan kuning. 

Selain itu, rabun warna juga boleh terjadi akibat faktor perolehan seperti penyakit. Contoh-contoh penyakit yang boleh mendorong terjadinya rabun warna adalah kencing manis, faktor penuaan, katarak, glaukoma dan kecederaan mata. 

Selain itu, sesetengah ubat seperti ubat bagi penyakit artritis rheumatoid dan ubat bagi penyakit Tuberculosis (TB) juga dikenalpasti mempunyai kesan sampingan yang boleh mengakibatkan rabun warna dalam jangka masa panjang. 

Gambaran sebenar dilihat oleh individu rabun warna

jenis rabun warna

Terdapat beberapa jenis rabun warna dan setiap satunya akan menghasilkan warna berbeza yang dilihat oleh seseorang individu tersebut. Berikut merupakan beberapa jenis rabun warna 

  1. Deuteranomaly - Menyebabkan warna hijau kelihatan lebih merah.
  2. Protanomaly - Menyebabkan warna merah kelihatan lebih hijau.
  3. Protanopia & Deuteranopia - Kedua-dua keadaan menyebabkan masalah membezakan antara merah dan hijau.
  4. Tritanomaly - Menyebabkan biru dan hijau akan kelihatan sama dan merah dan kuning akan kelihatan sama.
  5. Tritanopia  - Menyebabkan  kesukaran untuk membezakan warna yang mempunyai sifat biru dan kuning, seperti hijau, ungu, merah dan merah jambu. 
  6. Monochromacy - Buta warna penuh, sangat jarang ditemui.

penyakit rabun warna

masalah rabun warna

penyakit buta warna

Kredit:

  1. MyHealth
  2. Enchroma
  3. Healthline
  4. Bored Panda



Hakcipta iluminasi.com (2017)