Oleh pada 27 Sep 2024 kategori

Kredit foto: Instagram TV3 Malaysia

       

Menambahkan koleksi pilihan buat penonton, Tonton membawakan siri 'Salju Rindu Di Bumi Auckland' di platform penstriman mereka mulai 16 September 2024 setiap hari Isnin hingga Khamis.

        

sinopsis salju rindu di bumi auckland

Kredit foto: Instagram Tonton MY

       

Mewarnai penceritaan ini adalah wajah-wajah yang mencipta nama dalam dunia seni Malaysia, antaranya Riena Diana, Keith Foo, Nabil Aqil, Emelda Rosemila dan Husna Mustaffa.

       

salju rindu di bumi auckland episod

Kredit foto: Instagram Riena Diana

       

Bersumberkan novel 'Salju Rindu Di Kota Edinburgh' oleh Haitun Kamarazaman, kisah adaptasi ini diceritakan semula dengan sentuhan visual di layar kaca.

        

Sinopsis

Salju Rindu Di Bumi Auckland mengisahkan tentang Juraini (Riena Diana), seorang gadis kampung yang menjalani kehidupan di bawah kawalan ketat bapanya, Ustaz Talib. Talib, seorang lelaki yang menggunakan topeng agama untuk memanipulasi orang lain, tidak segan silu menindas demi kepentingan dirinya. Dengan berpegang pada agama secara dangkal, dia mengejar kekayaan dengan cara licik — menipu orang ramai menerusi agensi perlancongan umrah yang diuruskannya.

Disebabkan kesempitan hidup gara-gara bapanya, Juraini sering menjadi mangsa keadaan. Berkali-kali dia terpaksa mengorbankan keinginannya sendiri demi menanggung beban keluarga. Duit simpanannya habis dikorbankan untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dicipta Talib, termasuklah kerenah ahli keluarganya yang lain. Hidup Juraini porak-peranda, namun dia terus bertahan walaupun perit dengan memikul beban yang bukan sepatutnya menjadi tanggungannya.

Di tengah derita yang menyelubungi hidup Juraini, takdir menemukan dirinya dengan seorang pelancong asing bernama Nathan (Keith Foo). Nathan, seorang lelaki berketurunan Cina yang dilahirkan di Malaysia namun dibesarkan di New Zealand, walaupun bukan Islam, mempunyai jiwa yang penuh kelembutan dan kebaikan. Hubungan mereka yang pada mulanya hanya perkenalan biasa, perlahan-lahan bertukar menjadi benih cinta yang mekar.

Namun, di saat Juraini mula merasa kebahagiaan itu, datanglah badai yang mengganggu kehidupannya. Azman, pengurus di tempat kerjanya, menunjukkan perangai. Penghinaan dan pengkhianatan yang dilakukan Azman tidak hanya mencederakan hati Juraini, malah menjatuhkan maruahnya. Kejadian yang mengaibkan itu mengubah hidupnya dalam sekelip mata hingga meninggalkan luka yang dalam dan membuatkan segalanya terasa kacau-bilau.

Dalam kekalutan hidup, ditambah pula dengan rasa tertekan akibat sikap keluarganya, terutama Talib, Juraini akhirnya nekad untuk meninggalkan segalanya di belakang. Dia memilih untuk memulakan hidup baru bersama Nathan di bumi Auckland, jauh dari kampung halaman yang selama ini menghimpit kebebasan dan kebahagiaannya. Bagi Juraini, perpindahan ini bukan sekadar melarikan diri, malah sebuah perjalanan untuk mencari maruah diri dan jati dirinya sebagai seorang wanita yang selama ini terpendam dalam bayangan kesedihan.

Namun, meskipun dia telah menetap di kota asing yang beribu batu jauhnya, bayangan peristiwa hitam yang pernah menggelapkan hidupnya masih membayangi setiap langkahnya. Kesakitan itu terus menghantui dan menekan dirinya dalam kesunyian. Hinggalah pada suatu saat, Juraini sedar bahawa untuk benar-benar bebas, dia perlu melakukan perubahan besar dalam cara hidupnya.

Juraini, dalam usahanya melupakan masa silam, membuat keputusan drastik — dia menukar identiti menjadi seorang dengan nama baru, Joanna. Bersama identiti barunya, dia membina hidup baharu dengan Nathan, lelaki yang telah memberi nafas dalam kehidupannya. Perkahwinan mereka dilimpahi kebahagiaan dan kehadiran anak perempuan mereka, Samantha, yang mewarisi iras wajah Juraini, melengkapkan dunia baru mereka di Auckland.

Namun begitu, di sebalik senyuman dan ketenangan yang tampak dari luar, hati Joanna masih tidak pernah sunyi daripada bayangan masa lalu. Kerinduan pada kampung halaman dan keluarga yang telah lama ditinggalkan, terus mencengkam jiwanya. Meski hidup bersama Nathan penuh kebahagiaan, perasaan kehilangan dan kekosongan tanpa keluarga tetap menghantui hidupnya, seolah-olah ada bahagian dalam dirinya yang belum sempurna di tanah asing ini.

Selepas tiga dekad menghilang dari tanah air, sebuah babak baru terbuka dalam hidup Joanna. Keluarganya yang lama ditinggalkan kini menghantar Iman (Nabil Aqil), anak buahnya untuk menjalankan misi besar — membawa Joanna kembali ke pangkuan keluarga.

Dalam usaha memujuk Joanna, Iman sering mengungkit memori silam dan kenangan manis yang pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya sebagai Juraini. Setiap ingatan yang diusik bagaikan membuka semula luka lama di hati Joanna, membawa rasa sedih yang tidak pernah pudar.

Konflik antara masa lalu dan masa kini mula bergolak dalam hidup Joanna, yang mana dia terperangkap dalam dilema. Haruskah dia pulang dan memulihkan semula hubungan yang telah sekian lama renggang? Atau terus kekal di tanah asing, di mana dia telah menemui kebahagiaan baru, namun masih dibelenggu perasaan rindu dan rasa tidak sempurna yang menghantui setiap detik kehidupannya.

       

Baca: Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Ternyata Sebuah Bahagia (Slot Tiara Astro Ria)

Baca: Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Uncle Bos Mama (Slot Megadrama Astro Ria)

Baca: 10 Drama Melayu Terbaru TV3 Mesti Tonton (2024), Juga Tersedia Online!

        

sinopsis salju di bumi auckland

Kredit foto: Instagram Drama Sangat

        

Pelakon / Cast

Melengkapkan naratif cerita ini adalah wajah-wajah yang dikenali dalam dunia drama tanah air seperti Riena Diana, Keith Foo, Nabil Aqil, Emelda Rosemila dan Husna Mustaffa.

       

salju di bumi auckland

Kredit foto: Instagram Riena Diana

       

Kisah ini dikuatkan lagi dengan kehadiran bakat-bakat di arena drama tempatan seperti Kodi Rasheed, Shamsul Ghau Ghau, Rosnah Johari, Zera Hariz, Azwan Kombos, Louisa Chong, Azhar Amir, Alif Hadi, RJ Helmi, Mas Anizan dan Ku Frisha.

        

Watak Pelakon

Riena Diana sebagai Juraini (Muda) / Samantha

Keith Foo sebagai Nathan

Nabil Aqil sebagai Imaan

Emelda Rosemila sebagai Juraini / Joanna

Husna Mustaffa sebagai Suri

Shamsul Ghau Ghau sebagai Pak Talib

Rosnah Johari sebagai Mak Yam

Kodi Rasheed sebagai Aziz

Azhar Amir sebagai Azman

Zera Hariz sebagai Zainun

Azwan Kombos sebagai Hidayat

Mas Anizan sebagai Mak Su

Louisa Chong sebagai Anne

Alif Hadi sebagai Fikhri

Ku Frisha sebagai Maya

RJ Helmi sebagai Dr Johan

       

Pengarah Dan Syarikat Produksi

Drama 'Salju Rindu di Bumi Auckland' dihasilkan menerusi arahan Riza Baharudin, dengan penerbitannya digerakkan oleh syarikat Global Station Sdn Bhd.

Karya skrip ini adalah hasil garapan penulis Fara Alya Ashaari.

      

Lagu Tema (OST)

Kredit video: TERLERAI - SUKI LOW [OFFICIAL FULL LYRIC VIDEO OST SALJU RINDU DI BUMI AUCKLAND]

      

Tajuk: Terlerai

Penyanyi: Suki Low

Komposer: Mas Dewangga, Jova Devito

Penulis lirik: Mas Dewangga, Jova Devito

       

Tarikh Dan Waktu Tayangan

Penggemar drama boleh mula menstrim 'Salju Rindu Di Bumi Auckland' dengan 28 episod, bermula 16 September 2024 hingga 31 Oktober 2024, setiap Isnin hingga Khamis hanya di Tonton.

       

Tajuk cerita? Salju Rindu Di Bumi Auckland

Berapa episod? 28 episode

Setiap hari apa? Isnin hingga Khamis

Bila tayang? Mulai 16 September 2024

Tonton di mana? Platform online di aplikasi Tonton atau laman web www.tonton.com.my

       




Hakcipta iluminasi.com (2017)