Kredit foto: Instagram Hafiz
Kerana ingin merasakan bebanan yang dilalui isteri, penyanyi Hafiz Suip sanggup mengikat dumbel seberat satu kilogram di perutnya.
Menurut Hafiz, pengalaman tersebut benar-benar menginsafkan apabila menyedari pengorbanan sebenar seorang wanita hamil.
"Ini tidak main-main, saya pernah mengikat dumbel di perut dan pengalaman satu hari pun sudah cukup menginsafkan saya.
"Saya jadi sayu mengenangkan isteri terpaksa bawa beban yang semakin hari semakin berat sepanjang sembilan bulan demi melahirkan zuriat kami," katanya memetik laporan portal Mstar Online.
Hafiz dan isteri, Nureffy Jasreel Abdullah mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016 dan dijangkakan menyambut kelahiran cahaya mata sulung awal tahun hadapan.
Sementara itu, Hafiz berkata, dia sedang cuba memperbaiki sikap panas baran sebagai persiapan bergelar bapa.
Jelasnya, untuk mengawal perasaan marah, dia akan mengenangkan kesusahan yang dialami isteri, sebelum memenuhi permintaan wanita itu.
"Biasalah wanita mengandung ini banyak 'mood' yang tidak dijangkakan namun Alhamdulillah tidak ada yang pelik-pelik isteri minta.
"Cuma pernah sekali saya tersalah beli bahagian ayam kegemarannya dan dia minta saya belikan yang baru dan ketika inilah ujian buat saya.
"Yang lucunya dalam dia marah itu... apabila saya pulang, bahagian ayam yang tidak digemarinya itu sudah pun habis dimakannya," dedah Hafiz.
Dalam pada itu, Hafiz memberitahu, beliau kini giat bertanya kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang sudah mempunyai anak tentang cara penjagaan bayi.
"Perasaan sekarang takut dan pada masa sama teruja tetapi rasanya sudah bersedia untuk menerima kehadiran orang baru dalam keluarga kami.
"Saya pun banyak bertanya dengan kawan-kawan dan keluarga dan mereka memang membantu dengan pelbagai maklumat," katanya.
Sumber berita: Mstar