Oleh pada 08 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Astro Awani (Gambar sekadar hiasan)

Kementerian Pendidikan tidak mengizinkan para guru membawa serta memakai telefon bimbit semasa berada di dalam bilik darjah.

Menurut Datuk P Kamalanathan selaku Timbalan Menteri Pendidikan, garis panduan tentang tegahan tersebut ternyata telah wujud.

Namun, menerusi kejadian seorang pelajar, M Vasantha Piriya (14 tahun) yang didakwa tertekan akibat dituduh mencuri telefon pintar kepunyaan gurunya lalu menggantung diri dan meninggal dunia minggu lepas, masih tidak dapat disahkan sama ada guru tersebut membawa telefon bimbit ke dalam kelas atau sebaliknya.

"Guru dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah, namun tidak dibenarkan membawanya ke dalam kelas di mana sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

"Bagi kes Vasantha Piriya, belum dapat dipastikan lagi setakat ini. Kita bagi ruang kepada polis untuk melakukan siasatan," ujarnya.

Beliau berkata kepada pemberita setelah mengikuti Mesyuarat Bengkel Penulisan Kertas Cadangan Penyelidikan bagi pada guru yang mengajar Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil.

Minggu lepas, Vasantha Piriya disahkan meninggal dunia setelah 9 hari berjuang semasa menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang akibat percubaannya untuk membunuh diri.

Pelajar tingkatan dua itu didakwa tertekan akibat dituduh mencuri telefon pintar kepunyaan gurunya lalu nekad memutuskan untuk menggantung diri.

Kamalanathan turut menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan tidak akan melindungi sesiapa dan tindakan bakal diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

"Tindakan seterusnya yang akan diambil kementerian terhadap sesiapa saja yang bertanggungjawab bergantung kepada laporan siasatan polis," ujarnya.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)