Kredit foto: Instagram @afieq.shzwn
Hubungan mesra antara penyanyi Afieq Shazwan dan Wani Kayrie tidak asing lagi rentetan kemesraan dipamerkan mereka sewaktu sama-sama menjayakan program realiti Big Stage tahun lalu.
Namun terkini, timbul desas-desus mengatakan pelantun lagu Darjat itu sudahpun melangsungkan pertunangan secara rahsia dengan Wani.
Ia susulan sekeping foto dimuat naik mereka di laman Instagram masing-masing yang menyaksikan kedua-duanya bergambar seolah berada di sebuah majlis pertunangan.
Kredit foto: Instagram @afieq.shzwn
"Tahniah... moga kekal ke jenjang pelamin, akhir hayat.
"Betul ke ni? Saya menangis. Tapi tahniah, saya doa yang baik-baik," respon beberapa netizen.
Meleraikan tanda tanya, akhirnya Afieq tampil memberikan kenyataan kepada portal Mstar Online.
Afieq atau nama lengkapnya, Muhammad Shafieq Shazwan Zamros, 22, menjelaskan foto yang tular itu sebenarnya diambil sewaktu majlis pertunangan kakaknya yang berlangsung pada Jumaat.
"Sebenarnya ia adalah majlis pertunangan kakak saya yang berlangsung pada Jumaat lalu. Namun tak sangka pula kehadiran Wani yang turut memeriahkan majlis mengundang spekulasi bahawa kami bertunang.
"Bukannya mahu mengelak untuk menjawab soalan rakan-rakan media, jauh sekali sebagai gimik dengan mendiamkan diri selama dua hari, namun saya dan Wani terlalu sibuk dengan beberapa sesi rakaman sebaik sahaja majlis pertunangan kakak saya berlangsung.
"Keluarga sudah lama mengenali Wani dan kehadirannya pada malam itu sekadar memenuhi jemputan rumah terbuka yang kami adakan serentak dengan majlis pertunangan kakak.
"Ramai juga yang tanya bila pula giliran untuk kami bertunang, namun biarlah habiskan pelajaran masing-masing dahulu sebelum memikirkan tentang alam pertunangan mahupun perkahwinan," katanya.
Tambahnya, ia bukanlah kemunculan sulung Wani bertemu keluarganya memandangkan hubungan yang terjalin sejak sekian lama.
Sumber berita: Mstar Online