Kredit foto: Instagram Fathia Latiff
Aktres, Nur Fathia Latiff mendedahkan nasib malang yang menimpa dirinya sekeluarga apabila perjalanan mereka menuju ke Switzerland terkandas di Jerman.
Fathia berkata, mengikut perancangan asal mereka sepatutnya mendarat di Switzerland tetapi perkara sebaliknya berlaku apabila pihak penerbangan terpaksa mendarat di Jerman disebabkan faktor cuaca yang tidak mengizinkan.
Namun apa yang membuatkan pelakon Ariana Rose itu tidak berpuas hati apabila beg mereka yang mengandungi barangan peribadi penting terutama ubat bapanya tidak dapat dikesan.
Kredit foto: Instagram Fathia Latiff
"Mereka akan mendapatkan kami bas dan kami akan ke Switzerland dengan menaiki bas. Bagaimanapun, beg kami tidak dapat dijumpai.
"Ini kali kedua saya tidak mendapat beg ketika ketibaan dan berharap pihak penerbangan dapat berbuat sesuatu," tulisnya dalam kiriman Twitter sekitar jam 1.20 pagi semalam.
Menurut Sinar Harian, hasil semakan mendapati perjalanan bas dari Jerman ke Switzerland mengambil masa kira-kira tujuh jam.
Sementara itu, menerusi Insta Stories selebriti terbabit, dalam lingkungan jam 7 pagi semalam beliau dilihat sudah selamat tiba di bandar St. Gallen, Switzerland.
Fathia sekeluarga yang berlepas ke London empat hari lalu sempat merakamkan ucapan Selamat Hari Raya kepada para peminatnya.