Bila disebut filem adiwira, pasti akan ada reaksi peminat filem yang seakan-akan merendahkan isi kandungannya sebagai filem ringan, hanya sesuai untuk tontonan santai.
Walaupun begitu, sekiranya dikupas sedikit demi sedikit apa yang dipaparkan dalam filem 'Avengers : Infinity War', sebenarnya wujud percanggahan dua falsafah yang kerap kali ditimbulkan dalam kehidupan kita;
BESARKAN TEKS A- A+
Persoalan yang boleh difikirkan - berapakah nilai sebenar nyawa seseorang ? Yang kedua - berbaloikah kita mengorbankan hanya satu nyawa untuk menyelamatkan lebih ramai manusia?
Kompas dilema Captain America
Di permukaannya, filem seperti Avengers dilihat ringan. Tidak dapat dinafikan perkara itu. Bagaimanapun, andaian ini tidak memadai seandainya kita tidak merujuk kembali salah satu babak dalam Infinity War. Dalam adegan tersebut, ada keperluan mendesak untuk watak salah seorang Avengers bernama Vision dimusnahkan, bagi mengelakkan 'Batu Minda' yang berkuasa tidak jatuh ke tangan watak jahat Thanos.
Bagaimanapun, permintaan Vision itu ditolak oleh Captain America dengan satu hujah; "we don't trade lives here."Terjemahannya berbunyi - "kita tak tukar satu nyawa dengan nyawa lain."
Pegangan yang ditunjukkan oleh Captain America itu sebenarnya adalah salah satu cabang falsafah moral bergelar prinsip deontologikal, dipopularkan oleh seorang ahli falsafah Jerman bernama Immanuel Kant. Deontologi mementingkan kita lebih mementingkan perbuatan yang akan kita lakukan sama ada betul atau salah, berbanding matlamat yang hendak kita capai tak kiralah pengakhirannya menguntungkan atau tidak.
Falsafah Kant menjelaskan : seseorang itu patut meletakkan prinsip kesamarataan pada semua orang dalam setiap situasi, terus berpegang kepada kod moral yang bersifat universal tanpa membeza-bezakan apa-apa faktor sekalipun.
Thanos yang bercanggah
Berbeza dengan Captain America yang agak lurus pegangannya, Thanos membawa prinsip yang duduk di spektrum berlawanan. Jika Captain America merasakan semua perbuatan perlu dinilai terlebih dahulu dengan prinsip betul atau salah, Thanos pula lebih menitik beratkan keputusannya betul atau salah.
Prinsip yang dipegang Thanos dalam cabang falsafah digelarkan sebagai falsafah utilitarianisme, dipopularkan beberapa orang ahli falsafah seperti Jeremy Bentham dan John Stuart Mill. Individu yang berpegang kepada cabang falsafah ini berpendapat sesuatu perbuatan itu perlu dinilai berdasarkan kesan baiknya pada kelompok yang ramai, tanpa perlu mengambil kira dilema moral yang timbul semasa tindakan itu diambil.
Sekiranya prinsip deontologi dan utilitarian dinilai daripada sudut ekstrim, kedua-dua falsafah ini boleh kelihatan rapuh logiknya. Sebagai contoh, pendapat Kant bermakna kita tidak patut membunuh walaupun satu nyawa bagi menyelamatkan dua atau lebih nyawa. Namun Kant juga berpandangan kita tidak boleh menipu pada sesiapa pun seandainya tindakan menipu dapat menyelamatkan lebih ramai nyawa.
Falsafah utilitarian pula mula tampak longgar apabila asas prinsip tersebut dibuka sempadan had matlamatnya. Ahli falsafah moden Australia, Peter Singer sangat terkenal sebagai pendokong utilitarian zaman sekarang kerap kali mendebatkan keperluan untuk kita membunuh sahaja mana-mana bayi yang lahir dan didapati mempunyai kecacatan, bagi mengelakkan kesusahan pada dia dan ibu bapanya kemudian hari.
Pendapat ini ibarat mempunyai banyak persamaan seperti apa yang mahu dicapai Thanos melalui petikan jarinya. Dia tahu tindakannya bakal mengorbankan jutaan (billion?) nyawa namun dia tetap berpegang fokusnya adalah untuk memastikan kelangsungan kehidupan lebih terjaga. Perdebatan deontologi dan utilitarian yang berlawanan inilah tema yang dipaparkan secara sangat terbuka dalam filem Infinity War, tanpa kita sedari.
Benarkah tindakan Thanos salah?
Dari luarannya - apa yang dilakukan oleh Thanos kelihatan salah serta layak dipertikaikan. Walaupun begitu, sejarah manusia sendiri seakan-akan menyokong pandangan Thanos. Perang dunia kedua yang berlaku mengorbankan jutaan nyawa berjaya memulakan perkembangan ekonomi dunia yang pesat.
Tempoh 1945 hingga 1960 adalah tempoh yang digelarkan sebagai 'post war economy' atau ekonomi selepas perang di Amerika Syarikat, mengangkat mereka sebagai kuasa besar ekonomi dunia dengan perkembangan GDP berlipat kali ganda, seterusnya meramaikan lagi golongan pertengahan di negara tersebut.
Jumlah pengeluaran kenderaan di Amerika Syarikat meningkat, kadar jualan kediaman naik dan syarikat-syarikat konglomerat berkembang besar. Jenis pekerjaan penduduk juga berubah daripada majoriti pekerja perkhidmatan kepada pekerjaan kolar putih seperti pengurus, guru, jurujual dan juga pekerja pejabat.
Negara kita sendiri seakan melalui proses serupa dengan kedatangan Jepun, ancaman komunis dan insiden rusuhan kaum yang mengorbankan nyawa, tetapi secara tidak langsung membawakan lonjakan yang diperlukan untuk ekonomi kita lebih berkembang. Adakah ini bukti yang cukup untuk mengatakan manusia memerlukan pengorbanan berlaku untuk maju bergerak ke depan?Dalam salah satu adegan, Thanos menerangkan rancangan mahu mengorbankan separuh nyawa di seluruh dunia pada anak angkatnya, Gamora. Gamora membalas "you're insane?" ("kau gila?"). Bagaimanapun malangnya pertanyaan Gamora terhenti di situ. Hanya sekadar satu pertanyaan. Di pihak Avengers dan watak-watak baik, tidak ada pihak yang benar-benar berkeupayaan mempertikaikan Thanos dari segi inteleknya.
Secara simboliknya adegan itu menjelaskan walaupun Avengers berada di pihak baik, Thanos sebenarnya mempunyai pemikiran yang jauh terkedepan berbanding mereka.
Adiwira yang berfikiran lurus
Prinsip deontologi yang dipegang Captain America sebenarnya boleh disanggah, sekiranya kita mahu melihat apa yang tak dipaparkan secara terbuka pada kita dalam filem. Keengganan Captain America mengorbankan Vision serta berkeras mahu menyelamatkan anggota Avengers itu dengan cara lain, sebenarnya sudah mengorbankan ratusan nyawa rakyat Wakanda yang terpaksa berperang.
Moral yang ditunjukkan Captain America merupakan satu perkara yang bukan unik kepada watak tersebut sahaja, malahan menjadi tenet asas pembinaan watak mana-mana adiwira popular. Lihat sahaja bagaimana reaksi orang ramai apabila watak Superman bertindak mematahkan leher Jeneral Zod bagi menyelamatkan nyawa lebih ramai tawanan. Mengapa rata-rata peminat tidak berpuas hati dengan tindakan Superman ketika itu?
Kita sudah dibiasakan dengan tanggapan watak seperti Superman akan berjaya mencari jalan mengekalkan prinsipnya untuk tidak membunuh, berbanding mengorbankan nyawa. Superman pada kita, adalah seorang stereotaip berfikiran deontologikal. Bagaimanapun ketika membunuh Zod, dia bertukar menjadi seorang utilitarian yang membuang prinsip yang dipegang serta mengubah pandangan orang ramai terhadap watak itu. Itu sebabnya adegan itu dikecam teruk - kita sudah ada persepsi sendiri.
Atas sebab itulah kita juga teruja dengan kewujudan watak-watak anti-hero yang moral kompasnya sedikit songsang, seperti contoh watak Batman yang sanggup melakukan apa saja cara bersih atau kotor, asalkan dia dapat mengalahkan Superman dalam filem 'Batman vs Superman : Dawn of Justice.'
Ada persamaan di antara tindakan Batman dalam filem tersebut dan juga cara Thanos mahu menyelesaikan masalah populasi dunia. Matlamat menghalalkan cara mereka.
Satu Vision diselamatkan, ribuan nyawa terkorban
Dalam filem, sesuatu tindakan adiwira nampak benar atau betul disebabkan oleh jalan ceritanya yang sudah ditentukan. Kita sudah tahu sejak mula siapa watak baik, siapa watak jahat dan dengan siapa patut kita berpihak berharap dia menang. Bagaimanapun satu isu yang agak menarik untuk dibincangkan serta mempunyai perspektif berbeza - adakah tindakan Avengers cuba menyelamatkan Vision salah?
Jika diajukan soalan - berbaloikah Vision sekiranya dia dikorbankan lebih awal dan perang di Wakanda dapat dielakkan? Berbaloikah ratusan nyawa mereka yang terkorban hanya untuk mempertahankan Vision seorang?
Apakah faktor Captain America memilih untuk menyelamatkan Vision, sedangkan dia mampu menyelamatkan billion nyawa lain sejak mula? Pada penghujungnya Vision dimusnahkan juga dan 'Batu Minda' yang menjadi rebutan jatuh ke tangan Thanos. Mengikuti urutan apa yang berlaku, layakkah untuk kita mengatakan faktor moral yang terlalu lurus menjadi penyebab utama kekalahan Avengers.
Apa yang sangat istimewa berkenaan filem Infinity War, filem ini berjaya lari daripada cliche biasa filem adiwira lain. Thanos pada penghujungnya berjaya mendapatkan apa yang dia nak. Setiap ahli Avengers terpaksa hidup mengetahui kegagalan mereka menghalang Thanos. Mungkin juga ada antara Avengers yang menyesal tidak mengambil tindakan berbeza, namun takut dipaparkan kerana tak mahu dikritik penonton dan rakan sejawatan.
Kesimpulan
Prinsip deontologi yang mengajak kepada berbuat baik sepenuhnya tanpa mempedulikan matlamat dilumat-lumatkan dalam filem ini. Bayangan adiwira yang menjadi stereotaip selama ini, dileburkan Infinity War yang tanpa segan silu menunjukkan keberkesanan prinsip utilitarian Thanos.
Langkah menyelamatkan Vision hasil keputusan Captain America dibuktikan silap, membawa kemusnahan pada skala luar biasa. Bagaimana 'Avengers : Endgame' akan meneruskan naratif ini amatlah dinantikan, kerana percanggahan falsafah serta penamat Infinity War merupakan satu cabaran yang sangat besar kepada mana-mana penulis untuk 'memperbetulkan' kembali jalan ceritanya.
Kemenangan kepada prinsip utilitarian dalam filem, merupakan sesuatu yang jarang dipaparkan. Oleh sebab itulah, tidak menghairankan sekiranya di dalam 'Avengers : Endgame,' jalan ceritanya akan menuntut satu pengorbanan besar meluruskan kembali pertembungan 'etika lawan matlamat' yang nampaknya tak akan berkesudahan. Stereotaip adiwira mesti terus digambarkan berpegang deontologi dan jalan terakhir untuk mereka yang memegang falsafah ini kembali membuktikan diri, hanya dengan mengorbankan diri sendiri. Siapa yang terkorban? Kita belum tahu lagi. Yang pasti, dalam filem - penonton hanya akan senang bila 'penjahat' utilitarian tewas dengan perwira deontologi.
Artikel ini adalah olahan semula artikel The Irresovable moral dilemma at the heart of Avengers Infinity War yang diterbitkan pada 17 Mei 2018