Kredit foto: Instagram Meletop
Penampilan sulung pasangan Datuk Awie dan Erra Fazira sebagai pengacara undangan program MeleTOP menarik perhatian ramai.
Mana tidaknya, aksi mereka kelihatan tidak kekok dan begitu bersahaja walaupun baru pertama kali mengendalikan rancangan hiburan popular itu.
Selesai program siaran langsung itu ke udara pada Selasa lalu, para peminat tampil menyuarakan permintaan agar Erra dan Awie dapat kembali 'disatukan' sebagai pengacara.
“Alhamdulillah, pihak penerbitan suka dan berpuas hati dengan penampilan saya. Saya juga sangat gembira dan terharu kerana pihak produksi memilih saya untuk mengendalikan program ini bersama Awie. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan.
“Jika ditawarkan kembali saya sentiasa terbuka, tapi untuk menjadi pengacara sepenuh masa, rasanya tidak sesuai kerana program ini terlalu sinonim dengan Neelofa dan Nabil .
“Kalau setakat ganti untuk dua episod saya tiada masalah kerana program ini sangat menyeronokkan dan santai,” katanya.
Mengulas tentang gandingannya bersama Awie, Erra menganggap vokalis Wings itu seorang yang pandai berjenaka hingga audien pecah perut dibuatnya.
“Ketika dimaklumkan akan bergandingan dengan Awie, saya tidak mengambil masa lama untuk menerima lamaran itu kerana bekerja dengannya bukan perkara baru.
“Saya harap penonton berpuas hati dan terhibur pada malam itu,” katanya.
Dalam pada itu, Erra melahirkan hasrat untuk kembali menceburi bidang pengacaraan pada tahun ini.
“Selain aktif berlakon tahun ini juga saya memasang impian untuk kembali cergas dalam dunia pengacaraan.
“Saya impikan untuk mengendalikan program bual bicara sendiri. Harap-harap impian ini akan tercapai tahun ini,” katanya.
Pernah bergelar hos rancangan Primadona, Erra bagaimanapun mengimpikan sebuah program bual bicara yang berkisar tentang dirinya sendiri.
“Jika sebelum ini saya mengacara program Primadona bersama Datuk Ziela Jalil, Raja Azura dan Rozita Che Wan, tapi alangkah seronoknya andai ditawarkan untuk mengacara program yang berkaitan diri sendiri.
“Dari situ, saya boleh berkongsi pengalaman sepanjang berkecimpung dalam bidang seni dan berkomunikasi dengan peminat secara langsung,” katanya.
Sumber berita: Harian Metro