Kredit foto: Instagram Raja Ilya
Aktres Raja Ilya, 32, menegaskan pengumuman tawaran lakonan dalam filem antarabangsa yang diwar-warkannya sebelum ini sudahpun disahkan terlebih awal.
"Saya tidak bodoh untuk mengumumkan sesuatu yang belum ada pengesahan lagi," katanya bercakap kepada portal Harian Metro.
Sebelum ini, beliau menjadi mangsa cemuhan netizen yang menganggap kononnya dia berbohong berkenaan tawaran membintangi filem francais Marvel di Hollywood, Amerika Syarikat.
Menceritakan semula episod perjalanannya dalam memburu kerjaya sebagai bintang antarabangsa, Raja Ilya atau Raja Ramilah Begum Raja Mohamad berkata, dia sememangnya menerima tawaran selepas berjaya melepasi sesi pemilihan ujibakat yang diadakan.
Kredit foto: Instagram Raja Ilya
"Saya ke Hollywood untuk menandatangani kontrak lakonan serta menghadiri sesi uji bakat filem itu. Segala urusan seni dibantu agensi yang bertapak di sana.
"Selepas mendapat watak itu barulah saya mengumumkannya. Sudah tentu saya teruja berpeluang berlakon dalam filem terbitan francais besar," beritahunya.
Cerita Ilya lagi, keputusan menolak tawaran berkenaan akhirnya terpaksa dibuat apabila menyedari ada babak yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Aktres kelahiran Ipoh, Perak itu enggan pembabitannya kelak memberi kesan kepada nama baik keluarga, termasuk imej negara.
Kredit foto: Instagram Raja Ilya
"Ketika membaca skrip baru saya mendapati ada bahagian menyentuh sensitiviti Islam.
"Sudah pasti saya tidak mahu mencemar imej Malaysia dan maruah keluarga, jadi dengan berat hati saya terpaksa menolak lakonan itu," ujarnya.
Ilya yang meledak menerusi filem Appalam berkata, persiapan untuk bekerja di Amerika Syarikat merupakan suatu proses yang rumit.
Namun, ibarat kata pepatah, satu pintu tertutup, pintu lain terbuka.... Ilya dikurniakan satu lagi tawaran untuk bekerjasama dengan sebuah produksi lain di sana.
"Saya terpaksa menunggu setahun menyiapkan segala dokumen dan keperluan ke sana termasuk mendapatkan visa khas.
"Pun begitu, sudah ada rezeki lain menanti saya di Amerika Syarikat dan akan kembali ke sana lagi," katanya.
Kini, Ilya memegang pendirian untuk tidak melayan sebarang kecaman yang dilontarkan netizen di ruangan komen akaun Instagram peribadinya.