Kredit foto: Astro Gempak & Instagram Syatilla Melvin
Memberikan kebebasan untuk suaminya berkarya, Syatilla Melvin bagaimanapun mahu Shaheizy Sam menyedari status yang dipegangnya, sebagai suami dan bapa.
Syatilla yang juga seorang pelakon itu memberitahu, dia meletakkan kepercayaan penuh kepada Sam dan sedaya mungkin tidak akan mengganggu kariernya.
"Tipulah kalau dikatakan tidak timbul sekelumit pun rasa cemburu, namun saya tidak mahu terlalu mengikut perasaan hingga mengganggu kerja Sam.
"Biasanya, dia juga takkan berkongsi perkara yang boleh membuatkan saya tidak senang hati. Begitupun, ia bukan bermakna dia menyorokkan sesuatu daripada saya.
"Lumrah wanita memang suka berfikir, jadi rasanya tidak wajiblah untuk dia bercerita mengenai perkara yang dirasakan tak perlu. Ada masanya, Sam akan berkongsi juga peristiwa yang berlaku di lokasi penggambaran dan sebagainya, namun lebih berkisar mengenai dirinya saja.
"Saya pula memang memberikan kebebasan kepada Sam untuk bekerja, namun dia sendiri perlulah ingat statusnya sebagai bapa dan suami. Itu saja yang penting," katanya memetik portal BH Online, sewaktu menghadiri majlis tayangan filem terbaru lakonan suaminya, Pinjamkan Hatiku, pada Selasa.
Filem yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 30 November itu, antara lain dibintangi Ayda Jebat dan Farid Kamil.
Syatilla membuat kenyataan apabila diminta mengulas isu pelakon yang kebelakangan ini sering terjebak dalam cinta lokasi, walaupun sudah berumah tangga.
Syatilla dan Sam berkahwin pada 8 Februari tahun lalu dalam sebuah majlis yang berlangsung di Bukit Jawi Golf Club, Pulau Pinang.
Menyentuh perkembangan karier seninya, Syatilla atau nama penuhnya Siti Nur Syatilla Amirul Melvin, 26, berkata dia rindu untuk kembali ke lokasi penggambaran.
Namun niat itu tertangguh kerana tanggungjawab membesarkan anaknya, Syeriv Samheizy, yang kini berusia enam bulan.
"Anak masih kecil lagi, malah saya juga tidak percaya orang luar untuk menjaganya. Tunggulah sehingga dia besar sedikit, barulah saya akan menerima tawaran bersesuaian," katanya yang pernah meledak menerusi siri Sha & Shah (2016).
Sumber berita: BH Online