Dalam dunia moden hari ini, undang-undang yang menindas seperti aparteid tidak lagi digunakan terhadap rakyat sesebuah negara. Namun, 20 tahun lalu, undang-undang ini masih diguna pakai dalam sistem pemerintahan Afrika Selatan. Aparteid ini adalah sebuah undang-undang yang rasis, yang tidak sepatutnya langsung dipraktikkan di mana-mana negara di dunia ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Apa Sebenarnya Yang Dimaksudkan Dengan Aparteid
Pelantikan Nelson Mandela secara demokratik sebagai Presiden Afrika Selatan yang pertama pada tahun 1994 menyaksikan secara rasmi berakhirnya pemerintahan minoriti kaum kulit putih, yang dikenali sebagai 'aparteid'. Anda pasti pernah mendengar perkataan ini, namun apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan aparteid?
Aparteid adalah sebuah perkataan bahasa Afrika Selatan yang membawa maksud pengasingan. Ianya adalah sebuah sistem pengasingan berasaskan kaum yang memerintah Afrika Selatan selama hampir 50 tahun. Dasar ini dibuat secara khusus bertujuan untuk melindungi penguasaan kaum kulit putih di Afrika Selatan ke atas lain-lain bangsa, terutamanya mereka yang berkulit hitam, yang merupakan majoriti, dari segala aspek kehidupan.
Dasar ini tidak muncul secara tiba-tiba. Ketika perebutan kolonial antara Afrikaners (kumpulan etnik Afrika Selatan berketurunan Belanda, berkulit putih) dan penjajah British sekitar lewat abad ke-19, hak penduduk asal yang berkulit hitam di Afrika Selatan telah dipinggirkan. Apabila aparteid secara rasminya diluluskan sebagai sebahagian daripada undang-undang pada tahun 1948 oleh National Party di bawah pimpinan Afrikaners, ianya mengeruhkan lagi keadaan dan hubungan antara etnik kulit putih dan kulit hitam.
Undang-Undang Aparteid Menindas Sebahagian Besar Rakyat Afrika Selatan
Afrikaners percaya bahawa Afrika Selatan adalah tanah air yang diberikan oleh Tuhan kepada mereka, dan etnik berkulit putih adalah lebih tinggi darjatnya berbanding etnik kulit hitam yang lebih majoriti, yang dilihat sebagai ancaman. Terdapat 148 undang-undang aparteid di negara tersebut.
Antaranya adalah, etnik kulit hitam perlu sentiasa membawa permit pengenalan (ID), dan terpaksa mematuhi perintah berkurung yang ketat. Kemudahan awam diasingkan antara etnik kulit putih dan bukan putih, dan perkahwinan kulit putih dengan lain-lain etnik adalah dilarang sama sekali, yakni diharamkan dari segi-segi undang-undang.
Penduduk Afrika Selatan dikelaskan kepada 4 kategori, iaitu putih, hitam, india dan 'berwarna', iaitu mereka yang mempunyai darah campur. Mereka juga diasingkan dari segi kawasan perumahan.
Etnik kulit hitam dibahagikan kepada 10 kawasan penempatan, berdasarkan kumpulan suku kaum masing-masing. Tempat tinggal mereka ini terletak jauh di pedalaman, dan terlampau sesak dengan penduduk.
Kawasan tersebut juga tidak banyak peluang pekerjaannya, memaksa mereka untuk mencari pekerjaan di luar kawasan sebagai buruh kasar dengan gaji yang rendah, dan mereka diharamkan untuk melakukan bantahan atau mogok.
Aparteid juga sebenarnya mempunyai agenda ekonomi, di mana tenaga kerja murah diperlukan khususnya bagi operasi beberapa lombong emas di Afrika Selatan.
Syarikat-syarikat pelombong sangat menyokong akan dasar aparteid kerana mereka mempunyai kepentingan besar dalam memastikan tenaga buruh etnik kulit hitam sentiasa murah, bagi memberikan pulangan keuntungan yang lebih lumayan.
Di luar kawasan penempatan mereka sendiri, etnik selain kulit putih tidak mempunyai sebarang hak politik. Memandangkan mereka ini secara teknikalnya bukan rakyat, mereka tidak berhak untuk mengundi.
Eksploitasi Kulit Hitam Dan Berakhirnya Aparteid
Pemerintah juga menubuhkan sistem pendidikan yang berasingan untuk etnik bukan kulit putih, dan mereka hanya menerima sebahagian kecil dana pembangunan, berbanding sekolah-sekolah etnik kulit putih yang menerima peruntukan yang tinggi.
Pendidikan mandatori buat etnik bukan kulit putih (terutamanya kulit hitam) tamat pada usia 13 tahun, dan distrukturkan untuk menjadikan etnik kulit hitam sebagai buruh kasar di luar kawasan. Keadaan ini dilihat sebagai eksploitasi haram yang dihalalkan menggunakan sistem pendidikan.
Sudah pasti tindakan ini telah menyebabkan kemarahan etnik kulit hitam, dan mereka menentang undang-undang tidak berperikemanusiaan ini. Bantahan kerap kali diketuai oleh pelajar dan remaja berkulit hitam, dan pemerintah bertindak balas dengan penindasan yang teruk terhadap mereka.
Perjuangan seperti ini berjaya melahirkan pemimpin-pemimpin seperti Nelson Mandela, Oliver Tambo dan Walter Sisulu, yang bekerjasama membantu menamatkan undang-undang aparteid di Afrika Selatan.
Kesimpulan dari kisah ini
Memandangkan anda sudah faham sedikit sebanyak tentang aparteid, bolehkah anda bayangkan hidup di bawah undang-undang ini, ditekan oleh pihak pemerintah walaupun ianya terang-terang menolak nilai kemanusiaan? Mujur Malaysia tidak mengamalkan undang-undang seperti ini.
Sebenarnya Israel adalah kuasa yang masih mengamalkan aparteid. Mereka menindas penduduk Palestin dengan pelbagai undang-undang tidak masuk akal, malah turut membunuh mereka yang tidak berdosa, terutamanya kanak-kanak dan wanita. Semoga rakyat Palestin suatu hari nanti akan dibebaskan daripada cengkaman Israel.
Rujukan: