Oleh pada 23 Aug 2017 kategori

Kredit foto asal: Instagram.com/davidteo99

Penerbit David Teo meluahkan pendapatnya bahawa kejayaan sesebuah drama adaptasi novel yang menjadi fenomena masa kini bukanlah berpunca daripada pemilihan pelakon popular semata-mata. Sebaliknya, ia adalah disebabkan kualiti drama itu sendiri yang bertanggungjawab menghasilkan aktor dan aktres yang dikenali ramai.

Menurut David lagi, perkara tersebut merupakan bukti kepada corak penerbitan drama yang sudah berubah disebabkan kebijakan penonton dalam membuat pilihan memandangkan kemunculan drama sebegitu yang 'bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan'.

Zaman sudah berubah dan pelakon tidak lagi menjadikan sesuatu drama fenomena atau mendapat rating tertinggi sebaliknya karya yang bagus akan mencipta bintang terkenal dan popular.


Namun itu tidak bererti pelakon tidak penting sebaliknya elemen keseluruhan dalam penerbitan sesebuah drama sebenarnya kunci menjadikan ia fenomena .

Sementara itu, David turut berkata bahawa pihaknya juga tidak mementingkan populariti seseorang pelakon itu ketika menerbitkan drama. Sebaliknya, dia percaya drama yang berkualiti akan dengan sendirinya mengangkat nama pelakon baru yang ditampilkan.

Menerusi drama Mencintaimu Mr Photographer saya tampilkan Hannah Delisha yang sebelum ini tiada siapa kenal dan hanya mempunyai 25,000 pengikut di Instagram.


Selepas drama itu ditayangkan Hanna popular dan pengikutnya di Instagram sudah pun mencecah 600,000 pengikut dalam tempoh sebulan.


Sebelum ini juga saya ambil Siti Elizad berlakon dalam drama Si Kolot Suamiku selepas hampir dua tahun tidak berlakon dan lihat bagaimana karier lakonannya kembali berkembang selepas itu .

Namun begitu, David menegaskan yang dia tetap menitikberatkan semua elemen dalam penerbitan drama demi menghasilkan karya yang berkualiti tinggi.

Gabungan pemilihan novel, jalan cerita, watak dan perwatakan, pelakon, pengarah sangat penting dalam menghasilkan sebuah karya berkualiti.


Jika harapkan kepada novel sahaja ia belum tentu akan diterima baik peminat dan pada bila-bila masa mereka boleh beralih kepada drama adaptasi lain kerana sekarang pilihan sudah banyak .

Sumber berita: mStar Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)