Pada hari ini, kemajuan teknologi di sekeliling kita kadang-kala menjangkaui pemikiran manusia. Daripada penciptaan kenderaan tanpa pemandu hingga kepada roket dihantar ke planet lain, teknologi sememangnya bergerak dengan pantas. Kini, dunia sudahpun mempunyai cyborg pertama iaitu seorang lelaki bernama Neil Harbisson dan dia telah diiktiraf secara rasmi oleh Kerajaan British.
BESARKAN TEKS A- A+
Neil Harbisson adalah seorang penggiat seni yang dilahirkan dengan keadaan buta warna sepenuhnya. Walaupun dia menganggap keadaannya itu sebagai satu aset, namun lelaki ini ingin mengenali dan penglihatan secara lebih mendalam.
Oleh hal yang demikian, dia telah menjalani satu pembedahan mengimplan sensor yang ditanam ke dalam otaknya untuk membolehkannya menterjemahkan gelombang dalam kepalanya. Pihak Kerajaan British telah menamakannya sebagai cyborg rasmi pertama di dunia.
Neil Harbisson dilahirkan dengan kondisi yang diberi nama achromatopsia. Keadaan itu menyebabkan dia mengalami buta warna yang melampau di mana dia hanya dapat melihat semua objek dalam warna kelabu.
Dia mula mengembangkan minatnya dalam bidang muzik dan seni pada usia yang masih muda. Ketika dia menuntut dalam bidang seni di Institut Alexander Satorras pada usia 16 tahun, dia diberi kelonggaran untuk menghasilkan seni tanpa menggunakan warna yang pelbagai.
Neil Harbisson tidak pernah melihat keadaannya sebagai kecacatan tetapi dia ingin memahami kepelbagaian sensasi warna dan cahaya. Ini yang membuatkannya untuk mecipta satu sensor yang boleh menangkap gelombang dan menukarkannya menjadi getaran. Harbisson kemudian mengalami getaran sebagai bunyi.
Selepas melakukan implantasi, dia terpaksa menghadapi beberapa masalah. Dia pernah ditolak untuk memperbaharui pasportnya, tetapi selepas beberapa minggu proses surat-menyurat dengan Pejabat Pasport UK, mereka akhirnya bersetuju untuk mempertimbangkan antena di atas kepalanya itu sebagai sebahagian daripada anggota badan Harbisson. Kini, Kerajaan British telah menerima Harbisson secara sah sebagai cyborg.
Harbisson mula membangunkan antenanya itu ketika berada di kolej pada tahun 2003 bersama Adam Montandon dan melakukan implan pada tahun 2004. Dia telah menyuruh lima orang rakannya yang setiap satunya berada di setiap benua untuk menghantar warna, imej, video atau bunyi terus ke kepala Harbisson. Teknologi ini begitu maju sehingga jika Harbisson menerima warna sambil tidur, warna dalam mimpinya juga akan turut berubah.
Harbisson adalah artis yang mereka bentuk organ deria itu. Diberi nama "Cyborg Art", dia mencipta deria dan organ, kemudian menggabungkannya untuk mencipta sesuatu yang tidak mungkin dilakukan pada organ-organ tubuh kita.
Pada awalnya, pembedahan implan yang ingin dilakukannya itu ditolak beberapa kali oleh jawatankuasa bioetika tetapi tetap dilakukan juga oleh seorang doktor yang tidak didedahkan namanya.
Antena yang dipasang itu kelihatan keluar dari tengkorak Harbisson. Sensor yang dikenali sebagai Antena Cyborg itu membolehkannya merasa dan mendengar warna dalam bentuk getaran yang terhasil dalam kepalanya.
Bukan sahaja warna biasa yang kita lihat tetapi juga warna yang tidak dapat dilihat mata manusia seperti warna ultraviolet. Peranti ini juga mempunyai keupayaan internet dan boleh menerima hantaran warna daripada sensor dan peranti lain.
Harbisson juga telah mengarahkan lima rakannya dari lima benua yang berbeza untuk menghantar kepadanya warna, imej, video atau bunyi ke otaknya secara langsung. Jika dia menerima warna yang dihantar ketika tidur, warna dalam mimpinya juga akan berubah.
Salah satu rancangan temu bual Al Jazeera iaitu The Stream telah menyiarkan demonstrasi awam pertama yang dilakukan Harbisson mengenai imej yang dihantar terus ke otaknya. Orang pertama yang menghubungi Harbisson di dalam otaknya ialah Ruby Wax.
Neil Harbisson bersama Steve Aoki
Seni Harbisson terdiri daripada penciptaan organ deria luaran. Selain daripada Antena Cyborg, Harbisson juga mencipta Solar Crown dan Blurtooth Tooth. The Solar Crown membolehkan anda mengetahui masa dan Harbisson mercadang untuk mencipta ilusi masa, seperti sebuah ilusi optik. Manakala Bluetooth pula adalah peranti untuk berkomunikasi antara dua gigi melalui Blurtooth.
The Solar Crown adalah satu titik haba kecil yang berputar di sekitar kepala Harbisson. Ia mengambil masa 24 jam untuk menghabiskan satu putaran lengkap. Apabila titik panas itu berada di tengah dari Harbisson, ia menunjukkan waktu tengah hari di London. Harbisson menggunakan teori relativiti masa Albert Einstiein untuk menghasilkan The Solar Crown dan mencipta ilusi masa.
Menurut Harbisson, ilusi masa adalah hampir sama dengan ilusi optik sebaik sahaja otak dapat menangkap tentang ilusi masa. Jika ini berfungsi, Harbisson mungkin akan dapat mengawal masa dan mengubah cara otaknya memahami umur dan perjalanan masa.
Neil Harbisson bersama Moon Ribas
Bluetooth Tooth pula adalah penggetar mini yang diselitkan pada gigi dan mempunyai keupayaan Bluetooth. Ia terdiri daripada komunikasi antara dua gigi, masing-masing diterapkan dengan peranti itu. Apabila butang ditekan oleh satu gigi, ia akan menghantar getaran kepada yang lain. Satu peranti dipasang pada gigi Harbisson manakala satu lagi dipasang pada gigi rakannya iaitu Moon Ribas. Mereka kini boleh berhubung dalam Kod Morse melalui gigi mereka sahaja.
Harbisson menganggap antena yang dipasang itu sebagai sebahagian daripada tubuhnya. Dia juga mengatakan bahawa pemahamannya tentang dunia telah menjadi lebih mendalam setelah melakukan implan. Harbisson juga mendapati dirinya lebih memahami alam sekitar dan menganggap dirinya sebagai trans-species.
Harbisson berkata dalam satu temubual bersama National Geographic, semakin anda memperluaskan deria rasa anda, semakin anda sedar akan kewujudan anda. Dia juga merasakan bahawa antenanya itu bukanlah sesuatu alat pelik yang dilekatkan pada tubuhnya. Dia berpendapat bahawa banyak lagi organisma lain dalam alam semula jadi yang mempunyai antena dan ia adalah normal.
Rujukan:
3. Cyborg Arts
4. BBC