Oleh pada 19 Jul 2019 kategori

Albert Einstein bukanlah satu nama yang asing lagi terutamanya dalam bidang fizik dan sains. Ini kerana sumbangan dan penemuan luar biasanya yang membuatkan dia diangkat menjadi salah seorang saintis terbaik sepanjang zaman. 

Namun, tidak mudah bagi ahli keluarganya yang lain untuk membawa legasi Albert Einstein. Salah seorang daripadanya ialah cucu beliau sendiri, Evelyn Einstein. Kehidupan wanita itu terjejas oleh pelbagai tekanan psokologi dan sosial yang berpunca dari nama keluarga yang dibawanya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Evelyn hadir dalam keluarga Einstein bukanlah melalui pertalian darah tetapi sebagai anak angkat. Dia adalah anak angkat kepada anak kedua Albert Einstein iaitu Hans Albert. Namun, terdapat juga khabar angin dan teori mengatakan bahawa Evelyn sebenarnya adalah anak kandung Albert Einstein sendiri.

Membesar sebagai seorang Einstein

evelyn einstein

Evelyn Einstein

Evelyn dilahirkan di Chicago pada tahun 1941 oleh seorang gadis berusia 16 tahun bernama Joan Hire. Anak kedua Albert Einstein iaitu Hans Albert dan isterinya, Frieda, telah mengambil Evelyn sebagai anak angkat ketika dia baru berusia lapan hari.

Evelyn bukanlah satu-satunya anak Hans dan Frieda. Pasangan itu juga mempunyai seorang lagi anak kandung, Bernhard Caesar Einstein, yang dilahirkan sedekad sebelum Evelyn. Dua lagi anak mereka telah meninggal dunia sewaktu masih bayi.

Beberapa tahun selepas membela Evelyn, keluarga empat beranak itu telah berpindah ke Berkeley, California, di mana Hans Albert menjadi seorang profesor kejuruteraan hidraulik.

Hans Albert tidak menceburi bidang yang sama dengan bapanya tetapi dia juga seorang saintis yang cemerlang dengan caranya tersendiri. Namun, membesar dalam keluarga Einstein telah membuatkan Hans Albert berasa tidak yakin dengan kejayaannya sendiri. Malah, rakan-rakannya juga percaya bahawa adiknya, Eduard Einstein, adalah orang yang mewarisi kebijaksanaan ayahnya.

Beban menjadi genius

hans albert bernhard caesar dan albert einstein

Tiga generasi. Dari kiri : Hans Albert, Bernhard Caesar dan Albert Einstein

Menurut Evelyn, bapanya sering berasa tidak cukup baik berbanding adiknya Eduard yang kemudian didiagnos mengalami skizofrenia dan ditempatkan di institut psikiatri di Switzerland sehingga dia meninggal dunia.

Evelyn jarang berjumpa dengan datuknya yang terkenal itu walaupun dia pernah tinggal sementara waktu di sekolah asrama di Switzerland. Apabila berpindah ke Amerika, Albert Einstein tinggal di New Jersey yang jauh bertentangan dengan keluarga Hans Albert.

Ketika membesar, Evelyn adalah seorang pelajar yang pandai bertutur, bersuara lantang dan aktif dalam aktiviti pelajar. Pada tahun 1960, dia ditahan di San Francisco kerana menyertai satu tunjuk perasaan.

Evelyn kemudian berjaya belajar untuk bertutur dalam empat atau lima bahasa berbeza dan menerima ijazah sarjana dalam kesusasteraan abad pertengahan dari University of California, Berkeley. Malangnya, tekanan yang dialami bapanya sebagai ahli keluarga Einstein juga turut diwarisi oleh Evelyn.

Bukan mudah menjadi seorang Einstein

keluarga albert einstein 910

Dalam satu temubual, Evelyn memberitahu bahawa bukanlah mudah menjadi seorang ahli keluarga Einstein. Dia juga mendakwa sering diberitahu oleh keluarga dan rakan-rakannya bahawa dia sebenarnya mempunyai pertalian darah dengan keluarga Einstein.

Gina Zangger yang merupakan anak kepada Heinrich Zangger iaitu rakan baik Albert Einstein, menghadiri sekolah yang sama di Switzerland dengan ibu dan bapa angkat Evelyn. Gina mendakwa, ibu Evelyn iaitu Frieda pernah memberitahu rakannya bahawa mengambil Evelyn sebagai anak angkat adalah pertolongan yang besar terhadap Albert Einstein.

evelyn einstein 2

Evelyn Einstein

Sejak itu, Evelyn mencurigai statusnya sebagai cucu angkat kepada Albert Einstein. Dia pasti bahawa dia adalah anak kandung kepada saintis terkenal itu melalui hubungan tidak sah bersama dengan seorang penari balet dari New York. Evelyn juga mendakwa kakak iparnya, Aude, memberitahunya perkara yang sama.

Akan tetapi, tiada siapa yang mempunyai bukti kukuh tentang identitinya. Evelyn malah pernah hampir melakukan ujian DNA dengan menggunakan otak mendiang Albert Einstein.

Thomas Harvey, ahli patologi yang mencuri otak Albert Einstein untuk dikaji telah menawarkan sepotong otak Albert kepada Evelyn sebagai hadiah. Sayangnya, Harvey tidak pernah menunaikan janjinya itu dan melarikan diri bersama-sama otak yang dicurinya itu. Anda boleh membaca kisahnya di sini.

Kehidupan peribadi Albert Einstein

albert einstein dan mileva maric

Albert bersama isteri pertamanya, Mileva Maric

Evelyn Einstein juga memainkan peranan penting dalam penemuan tentang kehidupan peribadi Albert Einstein yang belum pernah diketahui sebelum ini.

Pada tahun 1986, Evelyn menemui sebuah manuskrip dalam simpanan ibunya yang mengandungi surat-surat cinta yang ditulis oleh Albert Einstein. Enam tahun kemudian, beratus-ratus surat lagi yang ditulis Einstein kepada isteri pertamanya, Mileva Maric, dan ahli keluarganya ditemui dalam satu peti simpanan di Berkeley. 

Surat-surat itu mendedahkan sifat intim saintis itu yang tidak diketahui ramai, terutamanya hubungan goyah Albert dengan anak dan isterinya. Antara rahsia terbesar yang didedahkan ialah Albert dan Mileva pernah mempunyai seorang anak perempuan bernama Lieseri sebelum mereka berkahwin.

thomas martin einstein

Thomas Martin Einstein

Sedekad kemudian, Evelyn bersama ahli keluarga yang lain memfailkan tuntutan undang-undang supaya mengeluarkan nama Thomas Einstein, anak lelaki Bernhard Einstain daripada tabung amanah keluarga kerana menyembunyikan surat-surat moyangnya bernilai hampir RM 61 juta daripada seluruh ahli keluarga yang lain.

Satu kata putus akhirnya diperolehi pada tahun 1996 tetapi syarat-syaratnya tidak didedahkan kepada umum. Pada masa itu, kesihatan Evelyn sudahpun semakin teruk akibat kanser payudara dan penyakit hati. 

Hidup dalam kemiskinan

Evelyn memberitahu, datuknya hanya meninggalkan wang sebanyak RM 20,000 sahaja untuknya. Semua harta-harta lain termasuk 75,000 kertas penulisan karya hidup Albert dan harta pusakanya diberikan kepada Universiti Hebrew di Palestine.

evelyn einstein 3

Evelyn Einstein

Selepas bercerai dengan suaminya, Grover Krantz, Evelyn berpindah semula ke rumah bapanya. Apabila Hans Albert meninggal dunia pada 1973, Evelyn tinggal merempat dalam keretanya. Ada masanya, Evelyn begitu susah sehingga terpaksa menyelongkar sampah. 

Kerana ketabahannya, Evelyn berjaya semula berpindah masuk ke rumah yang disewanya bersama tiga wanita lain di Berkeley. Dia juga menerima cek bantuan orang kurang upaya dan melakukan pelbagai pekerjaan pelik. Antara pekerjaan yang dilakukannya ialah penangkap anjing liar, pegawai polis, juruwang bank, penjaga perahu dan banyak lagi.

Menjelang akhir kehidupannya, Evelyn tidak lagi berhubung dengan keluarga Einstein. Pada penghujung kehidupannya, Evelyn memulakan satu lagi pertikaian dengan menuntut sebahagian daripada peninggalan Albert Einstein daripada Universiti Hebrew.

Evelyn memberitahu bahawa dia perlukan wang itu supaya dapat menampung segala kos perubatan dan keperluannya pada waktu dia memerlukannya. Tidak lama selepas itu, Evelyn Einstein meninggal dunia di rumahnya di California.

Rujukan:

1. Daily Mail

2. NY Times

3. ABC News




Hakcipta iluminasi.com (2017)