Pelakon dan bekas graduan Universiti Oxford, United Kingdom antara yang diumumkan sebagai senarai 14 peserta yang layak untuk menyertai program 'Clever Girl Malaysia' musim kedua yang akan mula keudara bermula 4 Ogos hadapan.
Gadis berusia 21 tahun, Hani Nazrina Hanizar yang menempa nama menerusi drama 'Shhh... I Love You' menjelaskan tujuan penyertaannya adalah untuk membuktikan yang dia seorang aktres yang mempunyai berpendidikan dan berpengetahuan luas, selain mampu menjadi inspirasi kepada para gadis di luar sana.
Bagi saya lakonan dan Clever Girl adalah dua perkara berbeza dan atas sebab itu juga saya berminat untuk menyertainya.
Lakonan itu bakat tetapi program ini menguji kepintaran dan ilmu yang ada pada individu jadi saya ingin buktikan saya bukan sahaja boleh berlakon tetapi ada pengetahuan .
Hani yang juga merupakan Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mewakili negeri Perlis dan yakin dengan kemampuannya untuk bersaing dengan peserta-peserta lain untuk memenangi pertandingan tersebut.
Saya memang sudah bersedia dan banyak persiapan dilakukan malah ada tawaran saya tolak bagi memberi fokus kepada Clever Girl.
Namun saya tidak menafikan penyertaan ini dapat memberi impak kepada karier lakonan saya nanti .
Dalam pada itu, seorang lagi peserta lain bernama Noor Syakirah Mohd Azam yang merupakan pelajar universiti Oxford mengakui yang latar pendidikannya itu merupakan suatu cabaran buat dirinya berikutan harapan tinggi orang ramai.
Saya belajar Sains Kejuruteraan ketika di universiti dan soalan dalam program itu nanti bukannya hanya semata-mata berkaitan dengan perkara yang saya belajar.
Tetapi saya sedar latar pendidikan saya memberi tekanan juga kerana akan ramai meletakkan harapan tinggi untuk saya menang .
Lebih manja disapa Kiera, gadis berusia 27 tahun yang mewakili Pulau Pinang itu juga menyimpan hasrat untuk menjadi sumber inspirasi kepada golongan muda untuk sentiasa berusaha bersungguh-sungguh jika tersingkir awal.
Senarai 14 Peserta 'Clever Girl Malaysia' Musim Kedua:
1. Sara Amelia Muhammad Bernard (24 tahun)
2. Aliasuraiya Mohd Isa, (25 tahun)
3. Vishebannu Krishnan, (22 tahun)
4. Nur Ilya Badaruddin, (27 tahun)
5. Mas Syahmi Izzah Izhar, (24 tahun)
6. Fadila Zukaira Mohd Nor, (24 tahun)
7. Nurul Shazalina Zainudin, (30 tahun)
8. Nurul Ain Aziz, (27 tahun)
9. Nur Emyllia Halmi, (28 tahun)
10. Syafiqah Ishak, (30 tahun)
11. Shazana Kamarzaman, (24 tahun)
12. Camellia Onn, (28 tahun)
13. Hani Nazrina Hanizar, (21 tahun)
14. Noor Syakirah Mohd Azam, (27 tahun)
Program 'Clever Girl Malaysia' akan mula ditayangkan secara langsung bermula 4 Ogos ini pada setiap hari Jumaat jam 9 malam. Para peserta merebut peluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 berserta trofi. Penyanyi dan pelakon Alif Satar menggalas tanggungjawab sebagai pengacara.
Sumber berita & foto: mStar Online