Ketika mana kapal sudah digunakan pada zaman peperangan suatu ketika dahulu, maka timbullah idea untuk mencipta satu "senjata" atau kelengkapan peperangan yang mampu menyerang kapal-kapal perang ini.

Maka, tercetuslah idea untuk mencipta kenderaan yang mampu bergerak dalam air tanpa dikesan musuh dan menyerang mereka dengan mudah. Kuasa-kuasa besar dunia pada ketika itu sangat teruja untuk menghasilkan kapal selam yang dijangka dapat memberikan kelebihan besar kepada mereka untuk menyerang musuh.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Salah satu idea terawal penciptaan kapal selam telah dilukis oleh seorang lelaki berbangsa Inggeris bernama William Bourne pada tahun 1578. Namun, idea ini hanya direalisasikan pada tahun 1620 oleh seorang individu berbangsa Belanda yang bernama Cornelius Drebbel.

Kapal selam yang dibina oleh Cornelius Drebbel ini dibina daripada kayu dan mempunyai dayung bagi membolehkannya digerakkan. Ianya umpama sebuah sampan yang perlu digerakkan menggunakan tenaga manusia. Bezanya cuma kapal selam ini boleh berada dalam air.

Kapal selam ini dikatakan boleh berada dalam air selama beberapa jam. Bagi tujuan pernafasan pula, terdapat tiub panjang yang akan menghubungkan kapal selam ini dengan udara daripada atas air. Walaupun rekabentuknya umpama tong drum, kapal selam ini berjaya menunjukkan penciptaan kapal selam boleh direalisasikan.

Demonstrasi kemampuan kapal selam

rekabentuk kapal selam terawal

Bagi membuktikan kemampuannya berada dalam air bagi tempoh yang lama, telah diadakan satu demonstrasi di Sungai Thames. Ketika itu, ribuan warga kota London telah hadir bagi menyaksikan sendiri kapal selam ini berada dalam air selama beberapa jam.

Seorang penyair dari Belanda, Constantijn Huygens yang menyaksikan sendiri demonstrasi tersebut kagum dengan kemampuan kapal selam ini dan melihat terdapat peluang yang cerah ciptaan sebegini mampu digunakan di medan peperangan bagi menyerang dan menenggelamkan kapal musuh.

Selain Constantijn Huygens, terdapat ramai lagi individu ternama yang dapat melihat potensi kapal selam ini digunakan dalam bidang ketenteraan. Namun, ianya mengambil masa hampir 100 tahun sebelum sebuah kapal selam berjaya dicipta bagi tujuan peperangan.

Penciptaan kapal selam bagi tujuan peperangan

kapal selam kayu 871

Replika kapal selam ciptaan Yefim Nikonov

Pada tahun 1718, seorang tukang kayu dari Russia bernama Yefim Nikonov telah menulis kepada Peter Alexeyevich (Peter the Great), iaitu pemerintah Empayar Russia pada ketika itu bahawa beliau mampu menghasilkan sebuah kapal selam yang turut mempunyai kemampuan menembak kapal musuh daripada jarah jauh.

Tertarik dengan idea tersebut, beliau telah dijemput datang ke Saint-Petersburg dan menunjukkan bagaimana kapal selam tersebut dibina. Peter Alexeyevich telah berjaya menyiapkan pembinaan kapal tersebut pada tahun 1721 dan membuat demonstrasi di hadapan Peter Alexeyevich.

Peter Alexeyevich berpuas hati dengan kemampuan prototaip kapal selam tersebut dan telah mengarahkan pembinaan sebuah kapal selam bersaiz besar untuk digunakan sebagai kapal perang rahsia. Kapal selam ciptaan yang dihasilkan ini dibina daripada kayu dan mempunyai rekabentuk umpama sebuah tong dram.

Bagi membolehkannya menyerang kapal musuh, terdapat satu tiub khas yang bersambung dengannya dimana tiub ini dapat melepaskan tembakan api umpama sebuah flamethrower.

Percubaan pertama menggunakan kapal selam ini berjaya dilakukan pada tahun 1724. Malangnya, ia berakhir dengan kecelakaan. Kapal selam tersebut karam. Yefim Nikonov dan 4 orang krew yang berada di dalamnya bernasib baik kerana menyelamatkan diri.

Yefim Nikonov telah beberapa kali cuba membina kapal selam baru dengan beberapa penambahbaikan namun masih gagal. Kerana berang dengan kegagalan demi kegagalan, kerajaan Russia telah menuduh beliau telah menyalahgunakan dana yang diberikan kerajaan. Statusnya juga diturunkan kepada tukang kayu biasa dan ditukarkan ke tempat lain.

Kejayaan kapal selam yang pertama

kapal selam turtle

Menurut rekod, kapal selam pertama yang benar-benar berjaya digunakan di medan peperangan pada tahun 1775 sewaktu Perang Revolusi Amerika. Kapal selam yang diberi nama Turtle itu telah dicipta oleh seorang jurutera Amerika bernama David Bushnell. Rekabentuknya berupa seperti telur dan hanya mampu memuatkan 1 orang.

Sewaktu Perang Revolusi Amerika, kapal selam Turtle yang dioperasikan oleh Sgt. Ezra Lee telah merancang untuk menyerang kapal perang British, HMS Eagle. Namun, rancangan tersebut terpaksa dibatalkan pada saat akhir apabila kapal selam itu telah berjaya dikesan oleh musuh sebelum ianya sempat menghampiri kapal tersebut.

Walau bagaimanapun, kisah ini hanya direkodkan oleh catatan sejarah yang berasal dari Amerika Syarikat sahaja. Tiada langsung catatang sejarah dari British yang merekodkan kejadian ini. Ini menyebabkan sesetengah sejarawan berasa ragu-ragu dengan kesahihan rancangan serangan oleh kapal selam Turtle ini.

Terdapat sesetengah pihak menganggap ianya hanya sebuah propaganda oleh pihak Amerika untuk menaikkan moral tentera mereka dan menanam rasa takut pada musuh. Replika kapal selam Turtle ini dipamerkan di muzium-muzium seluruh Amerika Syarikat dan Royal Navy Submarine Museum di England.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. History
  3. Atlas Obscura



Hakcipta iluminasi.com (2017)