Walaupun peperangan adalah satu perkara buruk yang seringkali menyebabkan kematian ribu manusia, dalam sejarah kita tidak dapat nafikan bahawa kerana peperanganlah, banyak teknologi-teknologi baharu yang tercipta antaranya penghasilan senjata api, kapal terbang, kenderaan banyak lagi.
Kebiasaannya negara yang terlibat akan berusaha menghasilkan sesuatu yang lebih canggih dan efektif bagi menyayingi kekuatan tentera pihak lawan. Walau bagaimanapun, tidak semua hasil inovasi ciptaan itu membantu mereka. Adakalanya, ianya boleh menyebabkan kemalangan atau malapetaka yang tidak disangka-sangka. Itulah yang terjadi sehingga menyebabkan sebuah kapal selam milik tentera Jerman, U-1206, karam.
BESARKAN TEKS A- A+
Penciptaan sistem pengurusan sisa kumbahan kapal selam
Semasa Perang Dunia Kedua, Jerman merupakan pelopor atau peneraju sistem pengurusan sisa kumbahan bagi kapal selam. Ketika mana kapal selam lain masih menyimpan sisa kumbahan dalam tangki septik, pihak Jerman sudah mencipta teknologi yang membolehkan sisa kumbahan dilepaskan secara terus ke laut.
Walau bagaimanapun, pada peringkat awal teknologi ini mempunyai kelemahan. Sisa kumbahan tersebut hanya dapat dibuang atau dilepaskan ke laut apabila kapal selam mereka berada berhampiran permukaan laut dimana tekanan udara pada ketika ini adalah rendah.
Walau bagaimanapun, apabila perang semakin sampai ke kemuncaknya, pihak Jerman merasakan bahawa ianya akan membahayakan kapal selam mereka kerana mudah dikesan pihak musuh. Mereka terus berusaha mencipta teknologi baru yang membolehkan sisa kumbahan dibuang ketika kapal selam berada di dalam laut.
Revolusi sistem pengurusan sisa kumbahan
Menjelang 1945, pihak Jerman akhirnya berjaya mencipta teknologi baru yang membolehkan sisa kumbahan di buang ke laut ketika kapal selam berada di dalam laut. Walau bagaimanapun, sistem kumbahan ini lebih kompleks dan memerlukan setiap pengguna dilatih terlebih dahulu sebelum menggunakannya.
Antara kapal selam Jerman terawal yang menggunakan sistem ini adalah kapal selam U-1206. Ketika kejadian malang ini berlaku, kapal ini sedang berada kira-kira 16km daripada pesisir pantai Scotland. Kapten kapal ini, Karl-Adolf Schlitt telah ketandas untuk membuang air. Malangnya, beliau tidak dilatih bagaimana untuk mengoperasi sistem pengurusan sisa kumbahan yang baru itu.
Seorang jurutera yang telah dilatih untuk mengoperasikan sistem tersebut telah dipanggil untuk membantu beliau. Malangnya, jurutera tersebut telah memusingkan injap ke kedudukan yang salah. Akibatnya, sisa kumbahan yang sepatutnya dibuang ke luar telah disedut ke dalam bersama-sama dengan air laut.
Selain bau yang kurang menyenangkan, limpahan air yang tersangat banyak itu telah memenuhi ruang dalam kapal selam tersebut dan membanjiri ruang enjin kapal selam yang terletak betul-betul di bawah tandasnya. Campuran air laut dan asid pada bateri kapal telah menyebabkan tindakbalas kimia yang menghasilkan gas klorin, satu gas yang beracun dan merbahaya.
Dalam keadaan kecemasan ini, kapten kapal telah mengarahkan agar kapal selam naik ke permukaan laut dengan segera. Krew kapal juga telah bertindak menembak peluru torpedo bagi meningkatkan keapungan kapal, seterusnya membantu mempercepatkan kapal selam naik ke permukaan laut.
Sudah jatuh ditimpa tangga
Malangnya, tindakan melepaskan peluru torpedo ini berjaya menarik perhatian pihak musuh. Mereka telah diserang secara bertubi-tubi dari arah udara. Kapten kapal telah mengarahkan semua krew untuk keluar kapal dan berenang ke pesisir pantai. Dalam kejadian ini, dilaporkan 3 orang krew telah menemui ajal sementara yang lain telah ditangkap.
Kisah kerosakan tandas ini yang mengakibatkan karamnya sebuah kapal selam ini merupakan satu contoh bagaimana kesilapan kecil manusia boleh meragut nyawa. Peristiwa ini juga memberi pengajaran kepada para jurutera agar lebih teliti dalam pengoperasian, penghasilan dan penciptaan sesuatu perkara.
Sehingga kini, kapal selam U-1206 dikatakan masih terdampar di dasar laut di tempat kejadian ini berlaku.
Kredit: