Oleh pada 30 Dec 2017 kategori

Sekiranya sudah beribu orang yang sampai ke puncak Gunung Everest iaitu kawasan paling tinggi di dunia, mengikut rekod hanya 3 orang yang sudah berjaya sampai ke kawasan laut paling dalam di dunia iaitu Challenger Deep.

Challenger Deep ini terletak di kawasan Mariana Trench yang berada di kawasan Lautan Pasifik. Banyak kajian yang telah dilakukan dan kedalaman paling dalam yang direkodkan adalah sedalam 10994 meter. Jika diletakkan Gunung Everest 8848 meter disini maka sudah pasti ianya akan tenggelam.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mengapakah kawasan Mariana Trench ini sangat dalam?

Mengikut kajian geografi, ianya adalah titik pertemuan 2 plat tektonik (tectonic plates) bumi. Pelanggaran 2 plat bumi ini akan menghasilkan satu "longkang" (trench) yang dalam, maka terhasillah nama "Mariana Trench). Proses pembentukan trench di kawasan ini adalah kerana pergerakan dan pertemuan antara Plat Filipina dan Plat Pasifik.

Majoriti kawasan Mariana Trench ini kini telah diletakkan sebagai kawasan perlindungan milik Amerika Syarikat yang merupakan satu kawasan dalam projek Marianas Trench Marine National Monument.

Penentuan Kedalaman Mariana Trench

Usaha untuk megukur kedalaman sebenar Trench kali pertamanya dilakukan oleh kapal British, HMS Challenger yang digunakan oleh askar British untuk melakukan penyelidikan sekitar kawasan tersebut pada tahun 1875. Kedalaman yang paling dalam berjaya diukur pada ketika itu adalah 8184 meter atau 26,850 kaki.

Kemudian, pada tahun 1952 sebuah lagi kapal milik tentera marin British yang turut diberi nama HMS Challenger (bukan kapal yang sama dengan sebelumnya) telah digunakan untuk melakukan mengkaji lebih lanjut kawasan tersebut. Dengan menggunakan kaedah "echo sounding", mereka menjumpai satu lagi lokasi di sekitar kawasan tersebut yang mempunyai kedalaman 10,900 meter atau 35,760 kaki.

hms challenger

Bahagian Marina Trench yang sangat dalam ini diberi nama Challenger Deep sempena nama kapal HMS Challenger yang digunakan untuk melakukan kajian ini.

Pada tahun 2009, sekumpulan pengkaji telah melakukan pengukuran menggunakan teknik pemetaan gelombang sonar telah menjumpai satu lagi lokasi yang lebih dalam pada kedalaman 10,971 meters atau 35,994 kaki dengan ketepatan +/- 22 meter. Kajian terbaru oleh  United States Center for Coastal & Ocean Mapping pada 2010 mendapati lokasi ini mempunyai kedalaman 10,994 meter dengan ketepatan +/- 40 meter.

Ekspedisi ke Challenger Deep

kapal selam 235

Selain pengukuran kedalaman Challenger Deep yang telah dilakukan oleh beberapa pihak, terdapat juga beberapa ekspedisi yang telah dilakukan untuk pergi sendiri ke lokasi paling dalam di Challenger Deep ini. Mengikut rekod hanya 3 orang sahaja yang pernah sampai ke kawasan ini dan terdapat beberapa ekspedisi lain yang menggunakan kapal selam tanpa pemandu.

Ekspedisi manusia pertama ke Challenger Deep telah dilakukan pada 1960 oleh Jacques Piccard dan Don Walsh menggunakan satu kapal selam khas (bathyscaphe) yang diberi nama Trieste. Mereka berjaya berada di kedalaman 10,916 meter.

challenger deep 884

Pada 2009 pula, sekumpulan pengkaji dari Woods Hole Oceanographic Institution telah melakukan ekspedisi ke Challenger Deep menggunakan kapal selam tanpa pemandu.  Mereka berjaya mencapai kedalaman 10,902 meter.

Kawasan yang sangat bertoksik

buih toksik

Dalam kedalaman seperti ini yang jauh dari sumber cahaya matahari, Challenger Deep merupakan satu kawasan yang sangat gelap dan sejuk. Malah tekanan disini juga sangat tinggi, iaitu 1000 kali ganda tekanan atmosfera.

Permukaan lantai di kawasan ini juga didapati menghasilkan dan mengeluarkan cecair yang sangat berasid dan air yang sangat panas dari permukaannya. Walau bagaimanapun, ianya kaya dengan mineral penting yang diperlukan oleh hidupan di kawasan ini. Suhu air panas ini dikatakan boleh mencecah 450 darjah Celcius tetapi tidak mendidih disebabkan tekanan yang sangat kuat di kawasan ini.

Campuran air panas yang berasid tinggi dan air sejuk di kawasan ini telah menjadikannya satu kawasan yang sangat bertoksik.

Hidupan yang wujud disini

amphipods

Menariknya, keadaan di kawasan yang bertekanan tinggi, sangat sejuk dan bertoksik ini juga mempunyai hidupannya yang tersendiri. Sampel yang diambil di kawasan ini menunjukkan ianya menjadi habitat bagi organisma seperti xenophyophores dan amphipods.

Selain itu, sekumpulan saintis daripada University of Hawaii, Newcastle University dan University of Washington telah menemui ikan yang hidup pada kedalaman 8000 meter dari permukaan laut, kemungkinan ikan yang hidup di kedalam paling dalam di dunia. Ikan ini diberi nama saintifik Pseudoliparis swirei.

Para saintis percaya mereka bakal menemukan lebih banyak hidupan lain disini. Penemuan ini sangat penting dalam bidang sains dan bakal memberi mereka idea bagaimana hidupan yang ditemui ini mampu mengadaptasi pada keadaan yang ekstrim di kawasan ini.

Kredit:

  1. Popular Mechanics
  2. Deep See Challenge
  3. Geology.com
  4. National Geographic



Hakcipta iluminasi.com (2017)