Semut tentera terbahagi kepada dua kelas iaitu semut tentera Old World dan semut tentera New World. Semut tentera Old World berasal daripada Afrika Tengah, Afrika Timur dan kawasan tropika Asia.
Manakala semut tentera New World pula berasal daripada Amerika Utara, Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Semut tentera adalah sejenis pemangsa yang menakutkan. Mereka makan serangga, benih, minyak dan roti yang lebih kecil.
BESARKAN TEKS A- A+
Walau bagaimanapun, semut tentera memperolehi namanya bukanlah disebabkan mereka pandai memburu tetapi daripada sifat agresif ketika mereka berbaris. Semasa proses perpindahan, semut tentera akan memotong, menggigit dan menghancurkan apa-apa halangan di laluan mereka.
Walaupun mereka berbaris dan berjalan dengan senyap, haiwan lain dapat merasai kehadiran mereka. Ini kerana semut tentera ini dapat memusnahkan habitat di sekitarnya dengan begitu cepat sekali.
Tidak seperti kebanyakan baka semut lain, semut tentera tidak membina busut yang kekal. Mereka sebaliknya membina tempat tinggal sementara dengan menyatukan mendibel (rangka) dan kaki mereka dalam formasi yang dipanggil bivouac.
Apabila mereka bersedia meninggalkan tempat tinggal sementara itu, mereka hanya menguraikan ikatan antara satu sama lain dan kemudian meneruskan perbarisan. Keupayaan dan disiplin mereka untuk berarak tanpa henti menjadi inspirasi bagi nama mereka, sama seperti kebolehan yang dimiliki oleh pihak tentera di kalangan manusia.
Seperti tentera manusia, semut tentera ini juga bertindak sebagai satu unit untuk mempertahankan diri mereka dengan lebih berkesan. Untuk menangkap mangsa pula, mereka menggunakan dua jenis serangan.
Pertama, mereka akan melakukan serangan besar-besaran di mana sejumlah semut akan mengejutkan mangsa mereka daripada hadapan. Manakala dalam serangan serbuan pula, semut tentera akan membentuk kelompok kecil dan menyerang mangsa daripada pelbagai arah.
Formasi semut tentera adalah koloni yang terbahagi kepada tiga kelompok utama iaitu permaisuri, dron dan pekerja. Permaisuri adalah semut betina yang menghasilkan telur. Dron pula adala semut jantan yang mengawan dengan koloni permaisuri, manakala pekerja pula adalah semut betina yang menangkap dan membawa balik mangsa, mengalihkan telur dan melindungi koloni.
Semut Permaisuri
Semut tentera dari koloni pekerja ini tidak mempunyai keupayaan untuk membentuk imej visual walaupun mereka dapat membezakan cahaya dari kegelapan. Oleh itu, mereka menggunakan deria bau untuk berjalan di laluan yang ditetapkan.
Mereka berkomunikasi dan memandu arah menggunakan pelbagai feromon yang diletakkan di atas laluan ketika berjalan. Mereka akan sesat sekiranya bau feromon itu semakin menghilang.
Setiap semut hanya mengikuti sahaja semut yang berada di hadapannya. Apabila mereka kehilangan bau feromon sebagai panduan, semut-semut ini akan berpusing dalam satu bulatan yang dipanggil sebagai ant mill.
Tidak seperti manusia, semut tentera tidak mempunyai keupayaan kognitif untuk membunuh diri. Walau bagaimanapun, semut yang tidak dapat mengikuti jejak feromon terpaksa menjadi penunjuk arah kepada semut-semut lain di belakangnya.
Sebagai contoh, semut tentera yang telah terperangkap dalam ruang tertutup sama ada secara semula jadi atau campur tagan manusia, akan berjalan dalam bulatan sehingga setiap ahli koloni mati keletihan.
Apabila sesebuah koloni semut itu berfungsi dengan baik, mereka dapat bergerak dengan lebih cekap dan jauh jaraknya. Sebagai contoh, sekiranya hasil buruan mereka berada dalam jarak 15 meter, koloni yang akan mengembara untuk mendapatkan buruan mungkin mencecah sehingga 100,000 ekor atau lebih.
Jadi apabila berlakunya satu ant mill atau bulatan kematian ini, kebolehan mereka untuk terus berjalan buat jangka masa yang lama kelihatan seperti satu peristiwa yang sangat aneh dan unik. Bulatan kematian paling lama yang dikenal pasti ialah sejauh 365 meter dalam diameter dan mengambil masa selama dua jam setengah.
Apa yang menariknya ialah, bulatan kematian yang berlaku akibat campur tangan manusia biasanya boleh dihentikan apabila terganggu. Namun, sekiranya bulatan kematian atau ant mill ini berlaku secara semula jadi, ia tidak boleh lagi dihentikan kerana semut-semut ini dalam keadaan bingung.
Dari sudut pandangan antropomorfik, ia mungkin kelihatan seperti takdir bagi semut itu untuk mati. Pada hakikatnya, ia adalah pilihan semulajadi untuk memastikan yang terselamat itu benar-benar kuat dan ia adalah untuk kepentingan koloni semut itu sendiri.
Kebolehan semut tentera untuk berkali-kali melakukan tugas dengan berkesan semasa kerja membantu memastikan kelangsungan hidup seluruh koloni. Ciri-ciri ini membolehkan mereka makan dengan cepat apabila berada dalam fasa nomad (berpindah) dan menggunakan seluruh koloni untuk memburu mangsa.
Oleh kerana keupayaan semut tentera ini berkembang secara tanpa sedar, mereka tidak boleh menyesuaikan diri apabila keadaan berubah. Mereka tiada pilihan selain menerima nasib yang telah ditentukan.
Rujukan:
1. MNN
2. Daily Mail
3. Mental Floss