Sejak 25 Mac lalu, kumpulan muzik antarabangsa, Coldplay, telah mengumumkan secara rasmi di media sosial mereka untuk menaja sebuah jentera yang mampu membersihkan sisa sampah di sungai-sungai yang tercemar di Malaysia.
Sebenarnya, Coldplay telah lama menjadi penyokong inisiatif hijau dan kini sedang berusaha untuk menghentikan sampah daripada memasuki lautan melalui sungai-sungai yang tercemar. Kerja pembersihan ini dilakukan menggunakan Interceptor 005, sebuah mesin yang dibina oleh organisasi Belanda iaitu The Ocean Cleanup.
BESARKAN TEKS A- A+
Ini merupakan kali kedua Malaysia menerima jentera seumpama ini. Jentera ini dijangka akan membersihkan sampah terutamanya plastik sebanyak 100 tan sehari. Namun, tahukah anda bahawa jentera hebat ini sebenarnya dicipta oleh seorang remaja? Berikut adalah kisah bagaimana dia melakukannya.
Bagaimana ia bermula
Semuanya bermula apabila seorang remaja berusia 16 tahun, Boyan Slat, melakukan selam skuba di Greece dan terkejut melihat lebih banyak plastik berbanding ikan.
Setelah mengkaji mengenai pencemaran plastik dengan mendalam, Boyan hairan kerana tiada sebarang usaha serius dilakukan untuk mengatasi masalah ini.
Persoalan ini sering bermain di mindanya dan Boyan menggunakan projek sains sekolahnya untuk lebih memahami masalah ini dan mengkaji mengapa pembersihan lautan sering dianggap mustahil.
Ternyata membersihkan sampah dari laut dengan menggunakan kapal dan jaring akan memakan waktu yang sangat lama dan menelan belanja yang amat besar. Malah, ia juga berbahaya bagi hidupan laut dan akan mengakibatkan pencemaran lain seperti pelepasan karbon (asap enjin kapal).
Cara mudah yang lebih efektif
Terdapat lima zon utama pengumpulan sisa plastik di dunia di mana ia terbentuk melalui arus lautan yang membawanya. Zon pengumpulan sisa plastik ini dikenali sebagai “garbage patches.”
Sebahagian besar sisa plastik di lautan tidak akan hilang dengan sendirinya tetapi perlahan-lahan terpecah menjadi mikroplastik. Setelah setahun bereksperimen dengan idea dan ujian ringkas, Boyan mengemukakan idea untuk membangunkan sistem penumpuan pasif.
Dia mahu menggunakan arus laut sebagai kelebihannya dan membiarkan alam semula jadi melakukan tugasnya dengan cekap. Daripada membazirkan tenaga, masa dan sumber untuk keluar mencari sisa plastik, arus laut membolehkan sisa itu datang dengan sendirinya.
Setelah tamat sekolah menengah, Boyan Slat telah dijemput untuk membentangkan ideanya di persidangan TEDx pada tahun 2012. Namun, ideanya kurang mendapat sambutan.
Tidak mudah berputus asa
Boyan kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa di TU Delft (Universiti Teknologi Delft) di Belanda tetapi masih mengusahakan minatnya membersihkan sisa plastik pada masa yang sama.
Setelah enam bulan, Boyan memutuskan untuk berhenti belajar dan mengasaskan organisasi The Ocean Cleanup menggunakan wang simpanannya sebanyak 300 euro (RM 1460) sebagai modal permulaan.
Nasib Boyan tiba-tiba berubah pada satu malam sekitar Mac 2013 apabila video pembentangan ideanya di persidangan TEDx telah dimainkan beberapa laman web berita. Ini menyebabkan ideanya itu menjadi viral.
Beberapa hari kemudian, The Ocean Cleanup telah berjaya merekrut pasukan awal dan mengumpulkan dana sebanyak USD 90,000 (RM 370,000) menggunakan kaedah crowdfunding. Maka, bermulalah projek The Ocean Cleanup yang bertujuan untuk membangun dan mengusahakan sistem pembersihan sisa sampah di lautan.
Ketika itu, Boyan Slat hanya berusia 18 tahun.
Menyekat punca utama
Selain membersihkan sisa sampah sedia ada di lautan, The Ocean Cleanup juga berusaha untuk menyekat punca utama pencemaran iaitu sisa sampah yang dibuang ke dalam sungai. Melalui sungai, sisa sampah ini kemudiannya akan menuju ke laut.
The Ocean Cleanup muncul dengan jawapan tepat untuk masalah ini dengan membangunkan The Interceptor, sebuah jentera yang mampu mengumpul sisa plastik daripada memasuki lautan dunia.
The Interceptor beroperasi menggunakan 100% tenaga suria dan mampu mengekstrak plastik secara automatik. Jentera ini juga mampu beroperasi di kebanyakan sungai paling tercemar di dunia.
The Ocean Cleanup bekerjasama dengan pemimpin kerajaan, individu dan korporat swasta dengan tujuan untuk membersihkan 1,000 sungai yang paling tercemar di seluruh dunia menggunakan The Interceptor dalam masa lima tahun selepas dilancarkan.
Bagaimana The Interceptor berfungsi
Jentera ini akan ditempatkan di kawasan strategik iaitu sungai yang mengalami masalah pencemaran yang teruk. Sampah yang dibawa arus sungai akan dihalang oleh penyekat The Interceptor. Sementara air melalui melepasinya, sampah pula akan ditahan dan dibawa masuk ke atas jentera menggunakan tali sawat.
Jentera utama akan menyebarkan sisa plastik secara automatik ke dalam enam bekas pengumpulan sampah. Dengan menggunakan sensor, bekas sampah diisi sama rata sehingga mencapai kapasiti maksimum. Jentera ini mampu mengumpul sehingga 50,000 kg sampah sehari.
The Interceptor dapat menyimpan sehingga 50 tan metrik sampah sebelum ia perlu dikosongkan. Apabila sampah hampir penuh, jentera ini akan menghantar pesanan teks kepada operator terlibat untuk datang dan mengumpulkan sampah.
Operator perlu mengosongkan sampah dari tong-tong The Interceptor di tepi sungai dan memasang semula tong-tong ini apabila selesai. Sampah kemudian akan dibawa ke pusat kitar semula tempatan untuk diproses.
Diharapkan agar program yang baik ini berjalan dengan lancar. Jika penghibur dan remaja dari luar negara prihatin dengan keadaan sungai kita, rakyat Malaysia seharusnya lebih peka mengenai isu ini dan memainkan peranan yang sewajarnya demi menjaga alam sekitar.
Rujukan:
1. Remaja Belanda ingin membersihkan lautan dari pencemaran plastik
2. Projek menyelamat Bumi The Ocean Cleanup