Seperti yang diketahui, tubuh badan manusia mempunyai pelbagai fungsi unik. Fungsi ini membantu kita dalam proses pertumbuhan, pernafasan, pencernaan, dan perkumuhan.

Namun, beberapa fungsi badan hampir mustahil untuk dilakukan serentak. Sebagai contoh, kita tidak boleh bersin dengan mata terbuka walaupun kita cuba melakukannya. 

Satu lagi fungsi tubuh yang sering menjadi persoalan ialah adakah kita boleh kentut dan sendawa pada waktu yang sama? Walaupun kedengaran pelik, mesti ada yang pernah terfikir mengenai perkara ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebelum menjawab persoalan ini, sangat penting untuk memahami bagaimana dan mengapa seseorang itu sendawa dan kentut terlebih dahulu.

Kentut dan sendawa

Menurut penolong profesor di College of Osteophatic Madecine New York, Niket Sonpal, apabila kita makan, minum air bergas atau makan terlalu cepat akan menyebabkan udara terkumpul dalam perut.

Fungsi sendawa adalah proses membebaskan udara yang terkumpul dalam perut. Malah, makan juga boleh membebaskan udara itu tetapi ia berbeza dengan gas yang dihasilkan sistem pencernaan.

sendawa

Semasa makan dan menelan, kita biasanya menghadam sekitar satu sudu udara pada masa yang sama. Apabila cukup banyak udara masuk ke dalam perut, esophageal sphincters (sekumpulan otot di bahagian bawah esofagus yang bersambung dengan perut) akan mengendur dan membolehkan udara yang terkumpul keluar dari mulut.

Jika ditambah dengan karbon dioksida daripada minuman bikarbonat, gas yang bercampur dengan udara membuatkan anda sendawa dengan lebih jelas dan kuat.

Sementara itu, kentut pula didorong oleh gas yang terkumpul dalam usus. Ia berpunca daripada proses bakteria memecahkan makanan dalam usus. Sesetengah gas tertentu seperti metana boleh mengakibatkan bau.

Usus atas dan bawah

Namun, terdapat sesetengah makanan yang sukar dipecahkan seperti kacang dan brokoli. Lebihan gas dalam usus dapat diserap oleh badan tetapi banyak yang perlu dikeluarkan. Kentut adalah sebahagian daripada proses pencernaan dan secara purata seseorang itu kentut 15 kali sehari.

kentut 493

Ini menerangkan bahawa sendawa adalah proses mengeluarkan gas yang berlaku akibat tindakan saluran gastrousus atas manakala kentut pula dari tindakan saluran gastrousus bawah.

Terdapat juga kentut (angin dari saluran gastousus bawah) yang keluar dari mulut jika ditahan terlalu lama di mana gas diserap semula oleh badan dan kemudian dihembuskan.

Begitu juga dengan angin sendawa di mana ia dapat disalurkan ke usus kecil dan kemudian ke usus besar sehingga mengakibatkan kembung perut atau berangin (flatulen).

Bolehkah kita mengeluarkan kedua-dua angin serentak?

Menurut Dr. Sonpai, kebanyakan orang boleh mencuba untuk lakukannya. Ini kerana kedua-duanya memerlukan tekanan positif pada ruang perut untuk mengeluarkan udara di mana anda hanya perlu mengecutkan otot perut anda.

Namun, biasanya kentut dan sendawa tidak berlaku pada masa yang sama. Paling hampir pun ia berlaku berturut-turut tetapi bukanlah serentak. Sebagai contoh, anda mungkin sendawa dahulu kemudian kentut sejurus selepas itu.

menahan kentut

Kenapa? Ini kerana berlaku pengecutan otot yang berbeza jika anda cuba kentut dan sendawa serentak. Anda akan mengecutkan bahagian atas untuk sendawa manakala bahagian bawah perut untuk kentut tetapi kemungkinan besar anda tidak berjaya melakukan kedua-duanya sekali.

Walaupun fenomena kentut dan sendawa serentak ini sangat sukar berlaku tetapi ia bukanlah mustahil. Apa lagi perkara yang badan boleh lakukan ketika kentut? Sebenarnya boleh seperti bersin dan kentut serentak.

Menurut Dr. Sonpal, ia boleh berlaku tetapi mempunyai akibatnya. Apabila anda memberi tekanan lebih kepada perut, anda mungkin akan mengalami kebocoran air kencing. Sama seperti sesetengah orang terkencing sedikit ketika bersin.

Jika anda memaksa perut melakukan perkara serentak sama ada seperti bersin, batuk, kentut atau sendawa, mungkin berlaku kebocoran air kencing atau najis. Maka, adalah lebih baik untuk membiarkan anda melakukan pelepasan semula jadi pada satu-satu masa.

Jika anda pernah melakukannya tanpa sebarang akibat sampingan, ia mungkin satu pencapaian hebat. Jika anda berjaya melakukannya lebih daripada sekali, anda mungkin memiliki kuasa terpendam.

Rujukan:

1. Perbezaan gas, kentut dan sendawa

2. Bolehkah anda kentut dan sendawa serentak

3. Kentut dan sendawa pada masa yang sama




Hakcipta iluminasi.com (2017)