Kredit foto: Instagram Fairuz Selamat

       

Fairuz Selamat, yang suatu ketika dahulu pernah menjadi vokalis kumpulan Q Face dan Antz pada awal 2000-an, kini kembali untuk mencuba nasib di pentas Gegar Vaganza 2024 (Musim 11).

        

fairuz q face keluarga adik beradik

Kredit foto: Instagram Fairuz Selamat

       

Baginya, pentas GV11 adalah ruang terbaik untuk menghidupkan semula namanya dalam industri muzik tanah air yang pernah menerangi perjalanan seninya suatu masa dulu.

Namun, usaha mendapatkan trofi juara bukanlah mudah. Fairuz bakal bersaing sengit dengan peserta-peserta berbakat yang turut berjuang di GV11, iaitu nama-nama besar seperti Liza Aziz, Ning Baizura, Ronnie Hussein, Yazid Lovehunters, Arrora Salwa, Reshmonu, Illa Sabry, Zehra Zamri, Nai Dinamik, Sheila Abdul, serta bintang-bintang dari seberang — Inka Christie, Dyrga Dadali dan kumpulan The Lima dari Indonesia.

Malam-malam Ahad penonton akan dihiasi dengan persembahan penuh tenaga dari konsert GV11, yang bermula 24 November 2024, pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104), dengan siaran langsung turut boleh dinikmati di Astro Go dan Sooka.

      

Biodata

Nama sebenar: Mohd Fairuz bin Selamat

Nama komersial: Fairuz Selamat, Fairuz Q-Face

Umur: 39 tahun (2024)

Tarikh lahir: 23 Mei 1985

Tempat lahir / Asal: Batu Pahat Johor

Pendidikan: Jurusan Seni Persembahan (Drama) daripada Universiti Malaya (UM)

Pekerjaan: Penyanyi, Pelakon, Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

Instagram (IG): @fairuzselamat

Tiktok: @fairuzselamat

        

Latar Belakang

1. Fairuz, bekas vokalis kumpulan remaja popular Q-Face, pernah mengukir nama sebaris dengan kumpulan popular sekitar tahun 2000 seperti New Boyz dan Boboy. Kumpulan Q-Face terdiri daripada lima remaja lelaki belasan tahun yang memenangi hati peminat dengan lagu-lagu seperti Izinkanlah, Cinta Tak Sehaluan, Dewanaku dan Kesal.

Album yang dihasilkan mereka berjudul Izinkanlah dan Fantasia Musim Cinta (selepas pengunduran Fairuz).

Selain Fairuz, anggota asal Q-Face termasuklah Allahyarham Angah atau Mohd Hafizi Bakir sebagai gitaris utama; Azan atau Nor Azan Syah sebagai pemain bass; Noh atau Mohd Noh Muin sebagai gitaris kedua dan Qimie atau Mohd Haqimie Abdul Risam di posisi dram. Namun, ketika nama Q-Face semakin memuncak, Fairuz membuat keputusan untuk meninggalkan kumpulan itu, walaupun masih baru bersama mereka.

2. Selepas 'berpisah' dengan Q-Face, Fairuz dilamar sebagai vokalis kumpulan baharu, Antz, yang bernaung di bawah label rakaman FMC Music. Bersama Antz, dia melancarkan single pertama mereka, Sebati, tidak lama selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekitar hujung 2002.

Antz terdiri daripada empat remaja, termasuk Fairuz sebagai vokalis, dan turut dianggotai oleh E-in atau Azri bin Abu Bakar sebagai pemain bass; E-jan atau Syahrizan bin Zainaldin di posisi dram dan Nan atau Noor Afnan sebagai gitaris. Bersama-sama, mereka menghasilkan album bertajuk Pintas dan Antz2 Sengat, yang memuatkan lagu-lagu yang menambat hati pendengar seperti Sebati, Lydia, Cinta Remaja (duet bersama Elyana), Lagu Buat Lisa, Epilog Cinta, Kesepian dan banyak lagi.

3. Fairuz kemudian membuat keputusan untuk mengundur diri dari industri, kali ini demi mengejar ilmu di menara gading. Ini lantaran selepas dia menamatkan Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Sulaiman, dia perlu memilih antara dua jalan — sama ada meneruskan kerjaya sebagai penyanyi atau menempuh kehidupan sebagai seorang mahasiswa.

Dorongan daripada kakaknya yang mahu dia mengejar ilmu demi masa depan yang lebih cerah mendorong Fairuz melangkah ke Universiti Malaya (UM) pada 2005. Di sana, dia memilih pengajian Seni Persembahan (Drama) sebagai bidang pembelajarannya.

4. Selepas menamatkan pengajian, dia menyertai Perkhidmatan Awam, mula bertugas sebagai Penolong Pengarah di Jabatan Pendaftaran Negara, sebelum berpindah ke Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Kini, dia menjawat peranan sebagai Timbalan Pengarah di JKKN.

       

Fakta Menarik

1. Fairuz menempuh zaman persekolahannya di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Soga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Sulaiman, Batu Pahat, Johor.

2. Sepanjang zaman pengajian di universiti, bakat seninya terserlah dalam pelbagai acara, dari festival seni, nyanyian, nasyid, teater, puisi, hingga tarian dan kumpulan muzik.

3. Kejayaan Fairuz bersama kumpulan Q-Face dan Antz pada ketika itu melonjakkan namanya sebaris dengan artis remaja lain seperti Tomok dan Naqiu, yang menjadi kegilaan ramai gadis muda. Setiap kali muncul di pentas, nama Fairuz sering disebut-sebut, malah surat peminat pernah bertali arus membanjiri dirinya — pernah mencecah hingga 200 pucuk sehari — suatu pengalaman manis bagi anak kampung sepertinya yang menempa populariti di usia muda.

4. Pada 2018, dia pernah digosipkan dengan penyanyi Wany Hasrita yang mengundang spekulasi di kalangan peminat. Foto-foto bersama di Instagram menambah desas-desus, namun kedua-duanya menegaskan bahawa hubungan mereka sekadar teman rapat, tidak lebih daripada itu.

5. Lagu 'Izinkanlah' yang pernah menaikkan nama Fairuz bersama Q-Face, pernah diberi sentuhan moden pada tahun 2022 oleh dua penyanyi muda, Tuah Adzmi dan Zack Zakwan, yang menghidupkan kembali irama nostalgik itu kepada generasi baharu menerusi rakaman semula.

6. Tidak ramai yang tahu, lirik lagu 'Izinkanlah' sebenarnya hadir dengan mesej bertemakan ketuhanan, sekaligus menawarkan sentuhan yang berbeza daripada lagu-lagu boy band tempatan era tersebut, yang kebanyakannya cenderung mengangkat kisah 'cinta monyet' remaja.

7. Selain menyanyi, Fairuz turut berbakat dalam memainkan alat muzik keyboard.

8. Dia menyimpan cita-cita untuk melahirkan sebuah single baru pada masa akan datang.

9. Dalam soal peribadi, Fairuz yang masih berstatus bujang berharap agar jodohnya akan tiba tidak lama lagi.

10. Pada 2021, dia berkongsi di Instagram mengenai usahanya untuk memulihkan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak. Dia berhadapan dengan tekanan emosi yang berat hingga menyebabkan sakit kepala dan masalah rambut gugur yang ketara.

11. Kisah hidupnya pernah menjadi bualan pada 2017 apabila ada khabar angin yang mendakwa dia bakal mendirikan rumah tangga dengan Siti Murni Abdul Aziz, seorang pembaca berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pemilik perniagaan tudung. Berita mengenai pernikahan yang dijadualkan pada 25 Mei itu timbul berdasarkan kad jemputan perkahwinan yang tersebar, namun akhirnya cerita itu hilang begitu sahaja tanpa sebarang lanjutan.

12. Pada 2009, selepas sekian lama menghilang dari radar seni, Fairuz membuat kemunculan semula sebagai artis solo dengan sebuah album mini yang memuatkan empat buah lagu — Ku Undur Cinta, Palsu, Alahai Sayang dan Cinta Tak Sehaluan (dirakam kembali dalam versi orkestra).

13. Pada 2021, dia tidak dapat menahan rasa kecewanya apabila namanya tidak terpilih sebagai peserta Gegar Vaganza musim kelapan (GV8). Harapan peminat dan penyokongnya menjadi penyebab — berikutan ramai yang menyuarakan rasa kecewa atas situasi tersebut. Namun Fairuz menerima keputusan itu dengan reda kerana baginya, rezeki sudah tertulis dan perancangan Allah itu sentiasa terbaik, meskipun dia memahami betapa pentas GV mampu memberi impak besar untuk menghidupkan kembali kerjaya artis lama sepertinya.

14. Fairuz pernah meluahkan di Instagram tentang cabarannya mengatasi masalah jerawat yang teruk di wajah. Walaupun pelbagai cara sudah dicubanya — termasuk berpantang dari makanan laut bertahun-tahun lamanya — kesannya tetap mengecewakan. Namun, akhirnya dia menemui solusi apabila berjumpa pakar, mengutamakan tidur yang mencukupi dan menjaga pemakanan dengan lebih teliti.

15. Dalam menyertai GV11, dia berazam untuk memberikan persembahan terbaik, dengan impian besar untuk melangkah ke pusingan akhir. Selepas hampir 24 tahun dalam industri, dia berasa inilah masanya merasai pengalaman pentas besar yang sekian lama didambakan. Bagi memastikan persiapannya mantap, Fairuz mengambil cuti tanpa gaji untuk fokus sepenuhnya di GV11. Demi menjaga kualiti vokal, dia mengelakkan minuman berais dan mengutamakan waktu tidur yang cukup.

       

Baca: Biodata Terkini Reshmonu, Peserta Gegar Vaganza 2024 Musim 11 (GV11)

Baca: Biodata Terkini Zehra Zambri, Peserta Gegar Vaganza 2024 Musim 11 (GV11)

Baca: Biodata Terkini Arrora Salwa (Salwa Razak), Peserta Gegar Vaganza 2024 Musim 11 (GV11)

Baca: Biodata Terkini Illa Sabry, Peserta Gegar Vaganza 2024 Musim 11 (GV11)

Baca: Biodata Terkini Liza Aziz, Peserta Gegar Vaganza 2024 Musim 11 (GV11)

Baca: Biodata Terkini Sheila Abdull, Peserta Gegar Vaganza 2024 Musim 11 (GV11)

       

Foto

fairuz qface

fairuz selamat kahwin

fairuz selamat jkkn wikipedia

fairuz selamat q face

q face

qface

peserta gegar vaganza 44852

fairuz q face

fairuz selamat

gegar vaganza 11 11697

gegar vaganza 34696

gegar vaganza 2024 25668

Kredit foto: Instagram Fairuz Selamat

       

Video

Kredit video: Izinkanlah- Qface

      

Kredit video: Antz - Sebati (Official Music Video)

       

Sumber:

1. Fairuz Q-Face Tak Kesal Tinggal Dunia Glamour Kejar Ilmu

2. Sedih tak dapat masuk Gegar Vaganza 8

3. Fairuz Selamat Nak Kahwin Siti Murni 25 Mei Ini?

4. Wany Hasrita Berkawan Dengan Fairuz Selamat, Bekas Vokalis Q-Face

5. GV11: Ambil Cuti Tanpa Gaji & Tak Minum Ais Langsung, Fairuz Selamat Cabar Diri Mahu Bolos Ke Final – “Kita Dah Lama Tak Menyanyi, Bagilah Peluang”

6. Instagram Fairuz Selamat

       




Hakcipta iluminasi.com (2017)