Kredit foto: Instagram TV3
Sepanjang tiga minggu bersiaran, program lawak Bintang Bersama Bintang (BBB) 2018 menerima 1.9 juta tontonan!
Ia meletakkan petanda peningkatan positif untuk episod mendatang program siaran TV3 yang berlangsung setiap hari Ahad itu.
Kerana persaingan hebat antara peserta, sehingga kini belum ada yang meraih gelaran juara mingguan sebanyak dua kali.
Penerbit Eksekutif BBB, Muhamad Sufian Che Isa berkata, program yang sudah ke udara selama empat minggu itu menampakkan perkembangan kreativiti para peserta.
“Saya berharap peserta boleh memberikan persembahan lebih baik pada minggu kelima.
“Mereka diberikan tempoh agak lama untuk membuat persiapan kerana kami akan memberi laluan kepada siaran langsung Anugerah Juara Lagu Ke-32 yang berlangsung Ahad ini,” katanya.
Episod lalu menyaksikan Ajak dan artis undangannya, Atu Zero menerima ganjaran wang tunai RM10,000 selepas meraih gelaran juara mingguan.
Mereka menampilkan pendekatan psikologi dalam paparan persembahan yang berkisar tentang kehidupan keluarga kecil di perkampungan nelayan.
Dalam plot ceritanya, Atu yang memegang watak sebagai anak mempamerkan keputusan ujian mengecewakan kepada bapanya, Ajak.
Namun tindakan bapa sungguh tidak diduga kerana memberi reaksi positif dengan memuji anaknya itu. Persembahan tersebut menerima tepukan hebat penonton serta komen positif daripada juri profesional.
Selebriti undangan lain yang menjayakan episod berkenaan ialah Bell Ngasri, Mamak Putih, Kak Girl, Jiggy dan Bazli (UNIC).
Aktres Izara Aishah pula muncul sebagai juri undangan.
BBB 2018 ke udara secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam setiap Ahad, jam 10 malam.
Untuk info lanjut termasuk undian pelawak secara atas talian, kunjungi laman sesawang www.xtra.com.my/BBB2018.
Undian dibuka pada hari program bersiaran dari jam 6 petang.
Sumber berita: Harian Metro