Kredit foto: Instagram Azrul Cham
Pelawak, hos dan aktor, Azrul Zaidi atau pernah dikenali dengan nama Azrul Cham, memohon jasa baik para peminat untuk mendoakan kesembuhan anaknya, Nur Raudhah Batrisya.
Azrul atau Asrul Zaidi Jamaluddin, 44, mendedahkan anak bongsunya itu sudah ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 13 hari.
Perkembangan itu dikongsi bersama netizen menerusi entri yang dimuatnaik di akaun Instagram peribadinya.
"Dua hari lalu, doktor sudah mengambil air dari tulang belakang untuk mengkaji kuman apa yang masih aktif, sebelum kuman itu merebak ke otaknya.
"Moga doa kalian akan menyembuhkan anak ku ini... Amin," tulisnya pada tiga hari lalu.
Bagaimanapun, sebuah lagi perkongsian terbaru olehnya menyatakan anak kecilnya itu sudahpun berada dalam keadaan stabil meskipun masih dipantau doktor.
Azrul merakamkan ucapan penghargaan kepada netizen yang turut sama memanjatkan doa demi kesihatan anaknya.
"Semoga jemari ini kembali menampar muka ku tiap pagi. Terima kasih pada semua yang mendoakan kesejahteraan Nur Raudhah Batrisya.
"Keputusan kuman masih belum diketahui. Teruskan berdoa," katanya.
Kredit foto: Instagram Azrul Cham
Kiriman itu disertakan tanda pagar #doafornurraudhahbatrisyia dan #prayingfornurraudhahbatrisyia.
Untuk rekod, Azrul merupakan naib juara rancangan pencarian bakat, Raja Lawak Astro musim kedua menerusi gandingan bersama Along dalam kumpulan Cham.