Satu kajian terbaru yang diterbitkan dalam Molecular Psychiatry menunjukkan interaksi antara manusia dengan komputer semasa bermain permainan video boleh memberikan kesan negatif kepada otak.

Selama lebih sedekad yang lalu, saintis menyatakan bahawa orang yang suka bermain video aksi (action video games) menunjukkan kesan positif sistem kognitif di mana mereka mempamerkan perhatian visual, keupayaan pengendalian motor tubuh dan memori jangka pendek yang lebih baik berbanding orang yang tidak bermain permainan video.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, siri kajian yang dijalankan oleh Dr. Dr. Véronique Bohbot dari Douglas Mental Health University Institute dan Dr. Greg West dari Université de Montréal, menunjukkan yang permainan game first-person shooter (seperti Half Life, Overwatch, Call of Duty dan lain-lain) boleh memberikan impak kepada sistem saraf pemain.

Melalui ujian navigasi dan imbasan otak, kajian itu mendapati pemain yang bermain selama lebih daripada 90 jam akan menggunakan sistem autopilot dan ganjaran otak yang menyebabkan kehilangan jirim kelabu dari hipokampus.

ketagih game

Hipokampus vs Nukleus Kaudat

Berbentuk seperti seekor kuda laut, hipokampus ini merupakan bahagian otak utama yang membantu dalam mengorientasikan manusia (memori ruang) dan mengingati kembali peristiwa yang lalu (memori episodik). 

Pemandu teksi di London misalnya, telah terbukti mempunyai hipokampus yang lebih baik berbanding orang lain kerana kebolehan mereka mengingati jalan di keseluruhan bandar. Secara umumnya, lebih banyak jirim kelabu dalam hipokampus bermakna anda mempunyai otak yang lebih sihat.

hipokampus otak manusia seperti kuda laut

Walau bagaimanapun, ada satu lagi bahagian otak yang penting dipanggil striatum yang mengimbangi hipokampus. Ia mempunyai kawasan yang dipanggil nukleus kaudat yang membuatkan manusia bertindak secara 'autopilot' dan 'sistem ganjaran' seperti memberitahu kita untuk makan, minum dan melakukan pelbagai lagi aktiviti yang membuatkan kita hidup dan gembira. Nukleus kaudat ini juga membantu kita membentuk tabiat dan mengingati cara melakukan sesuatu perkara seperti menaiki basikal.

Melalui kajian ini, bermain permainan video menunjukkan rangsangan yang lebih banyak pada nukleus kaudat berbanding hipokampus. 85% pemain hanya bergantung kepada kawasan otak itu sahaja sepanjang bermain. Masalah akan mula timbul kerana apabila seseorang lebih banyak menggunakan nukleus kaudat, mereka akan kurang menggunakan hipokampus dan akan kehilangan sel dan atrofi.

ketagih main game

Video game dan sakit otak

Pasukan penyelidik telah memilih 64 subjek berusia antara 18-30 tahun untuk bermain permainan video menembak (Call of Duty, Killzone dan Borderlands 2) serta permainan 3D dari siri Super Mario 64 selama 90 jam.

Pada permulaaan kajian, strategi pembelajaran setiap peserta ditentukan, sama ada mereka pelajar berkeupayaan spatial ataupun respons. Selepas 90 jam bermain, keputusan mendapati permainan video yang berlainan memberikan kesan berbeza kepada otak. Subjek yang bermain permainan video aksi menyebabkan atrofi manakala permainan 3D pula meningkatkan jirim kelabu di dalam hipokampus.

Kekurangan jirim kelabu di hipokampus sering dikaitkan dengan risiko penyakit neuropsikiatrik seperti kemurungan, skizofrenia, PTSD dan Alzheimer. Walau bagaimanapun, hubung kait antara permainan video sebagai punca penyakit ini masih tidak dapat dibuktikan dan perlu lebih banyak kajian jangka panjang.

bermain video game boleh menyebabkan sakit otak

Menurut Prof Andrew Przybylski dari University of Oxford, kajian itu hanyalah satu kajian kecil dan tidak memberikan impak yang besar dalam penemuan perubatan. Data yang diberikan tidak cukup kukuh untuk membuktikan bahawa permainan video boleh menyebabkan kekurangan jirim kelabu di hipokampus. Lagipun kaedah dan hipotesis kajian juga tidak didaftarkan dengan lengkap sebelum pengumpulan data dibuat.

Apa-apapun, main video game itu berpada-padalah. Jangan sampai terkurung dalam bilik 24 jam sampai jadi katak bawah tempurung.

Rujukan:

1. McGill University

2. Science Media Centre




Hakcipta iluminasi.com (2017)