Oleh pada 30 Jun 2022 kategori

Tradisi tayangan filem zaman sekarang sudah berubah, dipacu perubahannya oleh teknologi penstriman video berasaskan internet yang semakin mendapat sambutan - khususnya dalam tayangan perdana filem-filem baru.

Persaingan dengan teknologi strim ini sedikit sebanyak menekan pengusaha pawagam, yang sangat bergantung kepada penerbitan filem-filem baru bagi membolehkan penonton hendak ke premis mereka menonton agar pawagam boleh menjana pendapatan. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkah anda terfikir ke mana perginya wang yang anda belanjakan ketika di panggung wayang? Berapa pula pengagihan di antara pengusaha pawagam dan penerbit filem yang menghasilkan karya yang bakal ditayangkan?

Kita ada cukai hiburan!

cukai hiburan kadar penurunan tinggi kerajaan

Sebelum kita menjawab soalan utama kita, harus kami ingatkan terlebih dahulu kepada semua peminat-peminat filem. 

Walaupun jumlah kutipan filem kegemaran anda tinggi sehingga mencecah belasan jutaan ringgit, kita masih mengamalkan potongan cukai hiburan yang perlu dibayar oleh penerbit dan pengusaha panggung wayang kepada kerajaan, baik kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat. 

Nilainya agak tinggi dan berbeza-beza mengikut negeri. Menurut laporan Berita Harian, kadar cukai atau duti hiburan dikenakan di Malaysia adalah di antara 20 ke 25% jumlah pendapatan syarikat - dengan hanya Sabah tidak mengenakan potongan sama.

Cukai ini bukan saja dikenakan kepada pengusaha panggung wayang dan penerbit filem dan drama, malahan turut melibatkan premis taman tema, taman hiburan, pusat tarikan keluarga, petunjukan pentas, pusat snooker serta pusat sukan bowling.

Ini bermakna untuk setiap RM10 yang kita belanjakan sebagai tiket masuk ke taman atau premis yang disebutkan di atas, automatik RM2 atau RM2.50 adalah cukai. Kita belum ambil kira lagi GST atau SST ya!

Usaha untuk mendesak kerajaan agar merendahkan kadar ini seringkali dijalankan pengusaha dan penerbit, dengan tujuan untuk memaksimakan pendapatan yang boleh dijana syarikat serta menurunkan kadar caj kepada pengguna. 

Namun tarik tali di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam menentukan ketetapan peraturan, mengakibatkan perbincangan berkenaan topik ini jarang menemui solusi yang lebih tuntas.

Berapakah jumlah sebenar kutipan dan keuntungan sesebuah filem?

OK! Semua dah faham tentang kewujudan cukai dan bagaimana 20% hingga 25% nilai pendapatan adalah untuk membayar cukai yang wajib kan?

Dengan penerangan itu, kita sudah mempunyai gambaran awal bahawa seandainya sesebuah filem mempunyai kos produksi RM1 juta - penerbit perlu sekurang-kurangnya mendapatkan kutipan RM1.25 juta hanya untuk balik modal sekiranya jumlah cukai dikira.

Contoh lain, dengan mengambil kira filem epik persilatan 'Mat Kilau.' Kita diberitahu modal bagi menghasilkan filem tersebut adalah RM8 juta.

Seandainya filem itu berjaya memperolehi kutipan 8 juta sekalipun, mereka masih rugi kerana daripada kutipan RM8 juta itu, 25% atau RM2 juta adalah cukai.

Kutipan RM8 juta itu bukanlah kutipan yang mencukupi kerana hendak tak hendak, hanya kutipan RM10 juta dianggap baru balik modal. Mencabar kan? Bagaimanapun, masih ada banyak faktor kenapa kutipan perlu jauh lebih tinggi.

Jom kita tengok kenapa.

Pecahan keuntungan kutipan tiket wayang

tiket panggung wayang lama

Dalam urusan di antara penerbit filem dengan pengusaha panggung wayang, terdapat bermacam jenis model atau formula perjanjian diguna bagi memastikan semua pihak berpuas hati dengan pengagihan jumlah kutipan yang dijalankan.

Biasanya, kontrak di antara penerbit dan pengusaha pawagam dilakukan secara 50:50; di mana semua kutipan jualan tiket - jumlahnya akan dibahagikan secara sama rata. Ada juga beberapa kaedah berbeza, antaranya kaedah dinamakan dalam industri sebagai 'house nut formula'.

Dalam kiraan seperti ini, pengusaha pawagam diberikan hak untuk mengambil amaun kutipan dahulu sehingga mencapai kadar dipersetujui, sebelum jumlah kutipan mula dibahagikan sama rata antara pawagam dan penerbit.

Satu lagi kaedah dinamakan sebagai 'four walling formula', di mana penerbit akan mengeluarkan satu amaun yang telah dipersetujui terlebih dahulu sebagai bayaran pendahuluan kepada pengusaha pawagam untuk menayangkan filem mereka. Semua kutipan yang diterima pawagam, akan dibayar kembali kepada penerbit.

Walaupun kami menyebutkan tiga kaedah pengagihan, dalam industri sebenarnya ada banyak lagi kaedah kiraan yang diamalkan - tetapi 3 yang disebutkan di atas adalah yang paling kerap digunakan.

Bagaimanapun harus diceritakan - dalam perbincangan di antara penerbit dengan pengusaha pawagam, biasanya pengusaha mempunyai suara lebih besar kerana mereka tahu bukan hanya satu filem saja berebut mahu ditayangkan.

untung ke buat filem wayang cukai tinggi

Ada beribu-ribu filem setiap tahun beratur menunggu masa tayangan, jadi kelebihan ini biasanya digunakan sepenuhnya pawagam untuk menentukan terma perjanjian.

Melainkan dalam kes-kes perjanjian melibatkan nama-nama besar serta berpengaruh yang sudah dijangkakan pasti meletup jualan tiketnya. Dalam situasi sebegini, penerbit mempunyai suara lebih besar bagi menetapkan apa kaedah akan diamalkan.

Kalau setakat penerbitan bebas, memang diketahui sukar nak dapat pecahan tiket sama rata. Penerbitan bersifat kendiri atau independent yang tidak melibatkan rumah penerbitan berpengaruh, pecahan nisbah kutipan biasanya ditetapkan di antara 28 ke 35%.

Senang cerita untuk setiap RM10 tiket terjual, bolehlah dapat pendapatan kepada studio sebanyak RM2.80. 

Kita andaikan 100,000 tiket terjual pada harga RM10 satu tiket, jumlah kutipan adalah RM1 juta. Penerbit pula hanya akan mendapat RM280 ribu. Tolak-tolak modal yang telah dikeluarkan serta kos pemasaran, entah berapalah agaknya yang diperolehi studio-studio kecil. 

Itupun kalau kutipan cecah RM1 juta. KALAU! Masih banyak filem kita nak lepas RM500,000 kutipan pun dah semput. Kutipan bawah RM50,000 pun banyak selepas tayangan di pawagam.

Berapakah keuntungan yang diterima penerbit filem? 

filem munafik 2 kutipan tertinggi malaysia

Jika anda tanya berapa untung penerbit - untuk mendapatkan angka yang benar-benar tepat memang sukar, kerana kita tidak tahu bagaimanakah perjanjian yang dibuat penerbit dan pengusaha pawagam.

Apa yang boleh kita buat adalah buat anggaran. Katakanlah kita menggunakan contoh filem Ejen Ali : The Movie, filem ketiga dalam senarai kutipan tertinggi negara kita dengan jumlah kutipan RM30 juta. 

Kos filem ini dilaporkan menggunakan bajet sebanyak RM6.5 juta keseluruhannya, dengan sasaran kutipan RM20 juta ditetapkan. 

Walaupun kutipan penuh filem animasi ini mencapai RM30 juta, automatik 25% daripada amaun tersebut terus pergi kepada cukai hiburan sebanyak RM7.5 juta dibayar oleh dua pihak penerbit dan pengusaha pawagam.

Ini bermakna ada baki lagi RM22.5 juta untuk dibahagikan di antara penerbit dan pengusaha panggung. Kita gunakan kiraan nisbah 50:50 yang menjadi standard; penerbit dan pengusaha panggung wayang masing-masing memperolehi RM11.25 juta.

Kita juga dah tahu kos pembikinan filem tersebut adalah RM6.5 juta. Untuk itu, kita tolakkan saja RM6.5 juta daripada RM11.25 juta; memberikan studio yang menghasilkan filem animasi itu pulangan pendapatan sebanyak RM4.75 juta sebagai anggaran kasar.

Sekarang mari kita bandingkan kutipan filem tersebut dengan pendapatan filem paling laku di Malaysia iaitu filem 'Munafik 2.' Berapakah kos penghasilan filem tersebut?

Hanya RM2.8 juta. Anda boleh cuba kira sendiri berapakah keuntungan yang diperolehi penerbit filem tersebut. 

Kami teringin untuk membawa anda turut membincangkan kadar keuntungan yang diperolehi pengusaha pawagam hasil jualan tiket, tetapi jelas perkara itu sukar dibuat kerana tiada data yang lebih jelas.

Apa yang kita diberitahu - pawagam perlu menjalankan perniagaan jualan sampingan seperti makanan, minuman dan cenderamata bagi meningkatkan lagi pendapatan bagi menampung kos operasi. 

Apa yang semua pembaca Iluminasi dah tahu - bertih jagung atau popcorn adalah antara produk jualan paling menguntungkan penjualnya, kerana mampu memberikan keuntungan sehingga 19 kali harga kos sebenar. 

Berapa lama lagi model perniagaan pawagam akan kekal relevan - sukar diramal. Kemajuan penstriman video sudah semakin diterima baik, membuatkan semakin ramai individu malas nak ke pawagam menonton. Harga tiket juga semakin lama semakin meningkat. 

Janganlah sampai harga satu tiket bersamaan sebulan langganan pakej filem strim di internet sudahlah. 

Rujukan

The economics of the operation




Hakcipta iluminasi.com (2017)