Oleh pada 15 Aug 2022 kategori

Kejayaan filem 'Mat Kilau' memecahkan rekod kutipan yang dipegang oleh filem 'Avengers : Endgame', mencatatkan sejarah manis buat industri perfileman negara.

Jumlah kutipan melebihi RM90 juta yang dicapai membuktikan penerimaan masyarakat kita terhadap filem tempatan masih tinggi. Selain itu sambutan itu juga membuktikan dalam pasaran tempatan, ada filem tempatan bukan saja mampu bersaing - bahkan mengatasi filem-filem luar yang lebih gah promosinya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Hanya di Malaysia sebuah filem tempatan berjaya mengatasi pencapaian Avengers : Endgame, yang mendominasi pasaran lima negara. Tahukah anda apakah filem tempatan yang mencatatkan jumlah kutipan tertinggi di kalangan negara Asia Tenggara?

Berikut adalah lima filem yang memegang rekod itu di negara mereka.

1. Pee Mak (Thailand)

pee mak filem komedi seram thailand terlaris

Diberikan judul 'Pee Mak' atau 'Phi mak phra khanong' dalam istilah tempatan, filem ini merupakan sebuah filem komedi seram yang menceritakan semula kisah legenda popular Thailand berkenaan seorang wanita bernama Nang Nak, ibu yang meninggal dunia semasa melahirkan anaknya ketika suaminya diarahkan menyertai perang.

Selepas kepulangan suaminya yang tidak diberitahu kematian isterinya - dia mendapati keluarganya ada seperti biasa termasuklah isterinya, sehinggalah satu per satu petanda dapat dilihat suaminya.

Barulah dia menyedari isteri yang ada di depan mata, sebenarnya bukan manusia biasa.

Diterbitkan pada tahun 2013, tema filem ini nyata jauh berbeza berbanding filem seram popular 'Nang Nak' terbitan tahun 1999 yang pernah hangat di kalangan penonton Malaysia.

Dengan bajet hanya sekitar RM8.02 juta, 'Pee Mak' berjaya memecahkan rekod kutipan tertinggi Thailand yang sebelum itu dipegang filem epik tahun 2001 'The Legend of Suriyothai.' Pee Mak mengutip RM147 juta secara keseluruhannya, dibantu siri-siri tayangan di sekitar negara Asia Tenggara serta bergelar filem Thailand paling laku dalam pasaran Singapura. 

2. 'Ah Boys to Men' (Singapura)

ah boys to men filem singapura

Rekod filem paling laku di Singapura masih lagi dikuasai oleh filem-filem bertemakan adiwira keluaran Marvel, dengan ketiga-tiga filem 'Avengers' menduduki tangga 3 teratas; 'Avengers : Endgame' mencatatkan kutipan SGD19.59 juta keseluruhannya.

Bagi filem tempatan, sebuah filem komedi bertema ketenteraan berjudul 'Ah Boys to Men' memegang rekod kutipan tertinggi dengan jumlah SGD6.03 juta, dicatatkan dalam tayangan tahun 2012.

Dengan bajet sebanyak SGD3 juta, filem itu semasa tayangannya adalah filem paling mahal dalam sejarah industri filem republik tersebut.

Memaparkan kisah sekumpulan sahabat mengharungi suka duka menjalani latihan wajib tentera di bawah program khidmat negara, filem komedi ini dipecahkan kepada dua bahagian yang ditayangkan serentak.

Kejayaan filem ini membolehkan bahagian ketiganya diterbitkan pada tahun 2015, membariskan pelakon sama tetapi meletakkan mereka dalam situasi latihan tentera yang jauh lebih mencabar keupayaan mereka.

3. KKN di Desa Penari (Indonesia) 

filem kkn di desa penari

Setiap mahasiswa Indonesia yang memasuki program pendidikan tertiari wajib menjalani kursus KKN, singkatan kepada kuliah kerja nyata, di mana pelajar perlu menjalankan kerja khidmat masyarakat selama 1 ke 2 bulan, seiring dengan kursus pendidikan yang mereka ambil. 

Jadi tema yang dibawakan oleh filem 'KKN di Desa Penari' memang cukup sinonim dengan masyarakat mereka.

Sebuah filem seram arahan Awi Suryadi ini membawakan kisah berkenaansekumpulan pelajar yang memilih untuk melakukan latihan KKN mereka di sebuah kampung terpencil bernama Desa Penari.

Selepas ahli kumpulan pelajar itu melanggar pantang larang masuk ke kawasan larangan yang ditetapkan penduduk kampung serta mencetuskan gangguan kepada masyarakat Desa Penari, kumpulan mahasiswa itu mula berhadapan pengalaman ngeri yang datang dari dunia fizikal dan dunia ghaib.

Kejayaan filem tahun 2022 itu mengutip RM115 juta (sekitar Rp15 bilion) menjadikan 'KKN di Desa Penari' sebagai filem tempatan dengan kutipan tertinggi dalam pasaran Indonesia.

Seperti biasa kutipan tertinggi di kalangan semua filem di pasaran pula tetap dipegang 'Avengers : Endgame', yang memperolehi kutipan sekitar RM156.78 juta dalam pasaran negara tersebut.

4. 'Hello, Love, Goodbye' (Filipina)

alden richards kathryn bernardo hello love goodbye filem filipina

Sebuah filem cinta yang menceritakan suka-duka golongan migran Filipina yang berhijrah ke Hong Kong bagi memperbaiki taraf hidup, 'Hello, Love, Goodbye' mencetuskan fenomena besar di negara asalnya.

Filem ini memfokuskan jalan ceritanya kepada seorang wanita berpendapatan rendah bernama Joy, lakonan Kathryn Bernardo yang terbang ke Hong Kong bagi mencari pekerjaan sebagai pembantu rumah dan tukang cuci.

Kehadirannya di sana membawa kepada pertemuan beliau dengan seorang lagi migran Filipina bernama Ethan lakonan Alden Richards yang bertugas sebagai pelayan bar serta sedang menunggu status penduduk tetap pulau tersebut.

Berkenalan di negara asing mula menggugat hala tuju kedua-duanya, selepas Joy membuat keputusan untuk kembali ke Filipina. Keputusan ini cuba dihalang Ethan yang mahu Joy kekal bersama di sana...bersamanya.

Diterbitkan dalam tahun 2019, 'Hello, Love, Goodbye' berjaya memasuki pasaran antarabangsa dan lakonan yang cukup serasi di antara kedua watak utamanya menjadi tunjang kekuatan utama filem ini membolehkan 'Hello, Love, Goodbye' menguasai jumlah kutipan tiket filem tempatan Filipina. 

Bagaimanapun filem Avengers : Endgame memperolehi kutipan RM136.2 juta, dua kali ganda kutipan 'Hello, Love, Goodbye' yang hanya mencapai RM70.31 juta.

5. 'Bo Gia' (Vietnam)

bo gia filem vietnam

Pasaran Vietnam membawakan kisah sama; didominasi carta kutipan tertingginya oleh filem adiwira 'Avengers : Endgame'. 

Bagi filem tempatan, rekodnya dipegang filem bertemakan kekeluargaan 'Bo Gia' atau 'Dad, I'm Sorry' (judul antarabangsanya) - yang benar-benar sensasi sambutannya oleh masyarakat tempatan.

'Bo Gia' menjadi filem Vietnam paling pantas mencapai kutipan VND100 bilion (RM19.15 juta) yang dicapai hanya dalam masa 4 hari. Filem ini juga mencatat rekod kutipan sehari tertinggi di Vietnam memperoleh RM7.57 juta pada hari ke-4 tayangannya.

Memaparkan kisah sebuah keluarga berpendapatan rendah di Saigon, watak utama cerita itu adalah Ba Sang - ayah dan ketua keluarga yang sanggup melakukan apa saja demi memenuhi keperluan keluarganya walaupun berkhidmat hanya sebagai pemandu teksi.

Selepas dipersalahkan sebagai punca utama kesusahan yang menimpa keluarga mereka, Ba Sang yang sebelum itu sedaya upaya cuba mempertahankan keluarganya akhirnya terpaksa tunduk dengan tekanan kewangan dan sosial.

Filem ini bukan saja meletup di Vietnam, bahkan menjadi antara filem Vietnam paling berjaya di Amerika Syarikat dibantu oleh komuniti Vietnam yang duduk di sana, sehingga mendapat kutipan USD1.08 juta (RM4.81 juta) di pasaran Amerika Syarikat. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)