Kredit foto: Instagram @mohd_benladin
Mendapatkan khidmat penyanyi rap terkemuka, Malique sebagai penulis lirik dan komposer (bersama Dedeq) bagi single Hikayat Benladin, penyanyi remaja, Ben Ladin, 17, mendedahkan pengalaman bersemuka dengan bintang hip hop sensasi itu.
Ben atau nama penuhnya, Muhammad Benladin Munshi Shaihan, berkata, gara-gara mengagumi kehebatan Malique, dia gementar sewaktu melakukan proses kerjasama dalam sesi pembikinan lagu yang berlangsung.
"Terus terang saya katakan, saya sangat gementar ketika pertama kali berjumpa Malique kerana saya amat mengagumi bakat yang dia miliki, tambahan pula saya masih baru dalam bidang nyanyian ini.
"Habis tiga botol air mineral saya minum sebab gementar," katanya memetik laporan Astro Gempak.
Bekas peserta pertandingan nyanyian kanak-kanak, Idola Kecil musim kelima itu bagaimanapun menyifatkan rapper itu seorang yang banyak memberikan tunjuk ajar kepadanya.
Kredit foto: Instagram @mohd_benladin
"Tapi lama-kelamaan, saya berasa selesa kerana Malique adalah seorang yang sangat profesional, baik dan suka membantu," katanya lagi.
Mengulas perkembangan terbaru, penyanyi yang sedang meningkat naik ini sedang sibuk menjayakan rangka promosi Hikayat Benladin yang berlangsung di seluruh Malaysia.
Terdahulu, Malique menjadi bahan berita media selepas misteri kehilangannya kerana enggan muncul di khalayak.
'Otai' muzik hip-hop tanah air itu disifatkan sedang 'bersembunyi' meskipun masih aktif berkarya di belakang tabir.
Info Ben Ladin
- Berasal dari Johor Bahru.
- Bernaung di bawah label Sony Music Malaysia.
- Juga merupakan seorang pelakon menerusi beberapa drama.
- Menerima pendidikan menggunakan 'home schooling' (belajar dari rumah).
- Video muzik 'Hikayat Benladin' di laman Youtube sehingga kini meraih lebih 16 juta tontonan sekaligus meledakkan nama beliau di kalangan peminat muzik hip hop tanah air.